#6125: Plasma Darah dalam Bebola Ikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat satu berita berkenaan bebola ikan yang mengandungi plasma darah haiwan sebagai salah satu kandungannya. Menurut berita berkenaan, bebola ikan tersebut adalah najis dan haram dimakan dengan memetik kenyataan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Boleh ustaz jelaskan lagi? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami juga mengikuti paparan berita berkenaan menerusi Buletin TV3 yang bertarikh 28 April 2024. Berkenaan isu plasma darah dalam makanan ini, sebenarnya kami sudah menjawabnya dalam beberapa artikel kami yang lalu. Kami kemukakan di sini sebahagian daripadanya.

Terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan plasma darah itu dalam menentukan hukumnya. Ini bertepatan dengan kaedah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50).

Secara umumnya, darah kita terdiri daripada komponen darah dalam bentuk bahan cecair dan pepejal. Bahagian cecair yang dipanggil plasma diperbuat daripada air, garam dan protein. Manakala bahagian pepejal darah pula ialah sel darah yang dikenali sebagai sel darah merah, sel darah putih, dan platelet. Lebih separuh daripada darah terdiri daripada plasma.[1]

Plasma darah ialah komponen cecair kuning pucat di dalam darah yang biasanya mengekalkan sel darah di dalam seluruh darah dalam ampaian.[2] Kira-kira 55% darah terdiri daripada plasma, manakala selebihnya adalah sel darah merah, sel darah putih, dan platelet yang bercampur dalam plasma. Dipetik daripada jurnal yang diterbitkan di US National Library of Medicine, plasma terdiri daripada 91-92% air dan 8-9% pepejal dengan butiran di bawah:

  • Coagulant (bahan penggumpal), terutamanya fibrinogen, yang membantu pembekuan darah.
  • Protein plasma, seperti albumin dan globulin, yang membantu mengekalkan tekanan osmotik koloid pada kira-kira 25 mmHg.
  • Elektrolit, seperti natrium, kalium, bikarbonat, klorida, dan kalsium yang membantu mengekalkan pH darah.
  • Imunoglobulin, yang membantu melawan jangkitan dan sejumlah kecil enzim, hormon dan vitamin lain.[3]

Sepatutnya darah ialah bahan buangan yang perlu dilupuskan mengikut prosedur tertentu. Kini, plasma darah diekstrak daripada bahan buangan tersebut untuk dijadikan nilai tambah dalam produk makanan moden. Pada tahun 2001, industri makanan dianggarkan telah mengambil manfaat daripada darah di tempat penyembelihan haiwan sebanyak 30% dan dianggar meningkat saban tahun. Begitu juga plasma darah yang telah dihidrat digunakan sebagai ramuan protein yang membawa kepada ciri gel di dalam sesetengah makanan, terutamanya berasaskan daging. Malah, industri daging juga menghasilkan modifikasi tekstur dengan menggunakan pengikat terutamanya fibrinogen dan trombin yang diperoleh daripada darah. Terkini, enzim pembekuan darah trombin telah digunakan bersama dengan plasma darah sebagai pengikat daging dalam pemprosesan daging potong atau daging cincang.

Bukan itu sahaja, plasma darah juga diproses dan dimanfaatkan dalam bentuk aditif makanan. Aditif makanan ialah bahan yang dimasukkan ke dalam makanan bagi meningkatkan kualiti, keenakan dan keunikan makanan. Penggunaan plasma darah dalam produk makanan menjadi pilihan sebahagian pengeluar produk berasaskan daging seperti daging kisar, bebola ikan dan bebola daging. Hal ini kerana plasma darah mempunyai kemampuan melarut dan mengemulsi yang tinggi, kelikatan yang rendah serta kemampuan untuk membentuk gel yang kuat. Selain itu, ia boleh menambah tekstur dalam produk makanan diproses seperti daging dan ikan.[4]

Bebola yang Mengandungi Plasma Darah

Sebagaimana yang kita ketahui, darah merah yang mengalir dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan disebabkan oleh kenajisan darah tersebut. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan bahawa larangan memakan bangkai kerana ia adalah buruk lagi memudaratkan dan kebiasaannya juga ia mati (menjadi bangkai) disebabkan oleh penyakit. Maka, semakin bertambah lagi kemudaratannya. Syarak mengecualikan daripada keumuman larangan bangkai ini, bangkai belalang dan ikan serta haiwan laut kerana ia adalah halal lagi baik. Manakala darah yang dimaksudkan di sini ialah darah yang mengalir sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/81).

Firman Allah SWT:

أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا

Maksudnya:atau darah yang mengalir.”

(Surah al-An‘am: 145)

Inilah juga pendapat Ibn Abbas dan Sa‘id bin Jubair. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/8; Mughni al-Muhtaj, 1/112; Majmu‘ al-Fatawa, 21/17).

Selain itu, di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Selain itu, para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya. (Lihat al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Darah tersebut tidak boleh dimakan, mahupun diambil manfaat dengannya. Hal ini kerana ia mengandungi atau membawa bahan-bahan lebihan (buangan) daripada badan, termasuklah bahan-bahan yang berbahaya seperti bakteria dan mikroorganisma serta selainnya yang menyebabkan penyakit. Oleh itu, jika seseorang meminumnya, ia boleh memudaratkan dan penyakit yang dibawa oleh darah juga boleh berjangkit kepadanya.

Oleh itu, jelaslah bahawa haram untuk memakan darah yang mengalir berdasarkan kepada nas yang telah disebutkan di atas, tidak kira darah itu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya mahupun yang haram dimakan dagingnya, atau darah manusia. Akan tetapi dikecualikan daripada hukum darah yang mengalir itu, darah yang berbaki pada urat (yang terdapat pada daging haiwan) disebabkan oleh kesukaran dan kepayahan untuk menghindarinya.[5]

Begitu juga kami berpendapat bahawa plasma darah yang diekstrak daripada darah turut dihukumkan sebagai najis sebagaimana hukum darah itu sendiri. Hal ini kerana darah yang merupakan asalnya telah dihukumkan sebagai najis berdasarkan nas yang sahih. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya. Ini berdasarkan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Oleh itu, makanan yang mengandungi plasma darah juga dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan. Apatah lagi seseorang tidak boleh dengan sengaja memakan sesuatu yang bernajis mahupun mutanajjis kerana is termasuk dalam khaba’ith (benda-benda buruk). Justeru, ia diharamkan untuk dimakan dalam apa jua keadaan melainkan dharurah. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf : 157)

Fakhruddin al-Razi menyebutkan, ayat ini menunjukkan kepada pengharamannya. Jadi, semua najis adalah khaba’ith, maka wajib untuk berpendapat dengan keharamannya. Selain itu, umat juga telah bersepakat bahawa haram untuk memakan benda-benda najis. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 13/168-169).

Sekalipun begitu, terdapat dalam kalangan ulama yang mengharuskan penggunaan plasma darah dalam produk makanan dengan mengambil kira telah belaku proses istihalah padanya. Hal ini kerana ‘illah pengharaman adalah ‘darah mengalir’ dan ia tidak lagi berlaku ke atas plasma darah. Perlu diingatkan bahawa penghasilan plasma darah dalam produk makanan telah berlaku menerusi proses istihalah yang sempurna apabila identiti darah tidak dapat dilihat dengan mata zahir. Maka penggunaan plasma darah adalah dibenarkan dalam Islam. Kebanyakan para ulama kontemporari seperti Yusuf al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhaili dan Sa‘id Hawwa bersependapat dalam mengharuskan penggunaan plasma darah dalam produk makanan jika telah berlaku proses istihalah yang sempurna.[6]

Untuk memahami bab istihalah ini, kami nyatakan seperti berikut:

Kaedah istihalah “الاِسْتِحَالَة”, atau juga dikenali sebagai kaedah inqilab al-‘ain “انْقِلَابُ الْعَيْن”, atau disebut juga di sisi mazhab Hanbali dengan kaedah al-‘ain al-munghamirah “العَيْنُ الْمُنْغَمِرَة”.

Istihalah merujuk kepada teori perubahan jirim atau zat sesuatu bahan kepada zat bahan yang lain di mana identiti asalnya tidak lagi dapat dikenalpasti untuk dikaitkan dengan zat bahan yang asal. (Lihat al-Muhalla, 7/418). Manakala Dr. Wahbah al-Zuhaili mentakrifkannya sebagai perubahan sesuatu benda yang bernajis secara sendirian atau dengan melalui perantaraan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/100).

Dalam erti kata lain, ia merupakan satu tindak balas kimia yang berlaku terhadap sesuatu bahan yang menyebabkannya bertukar menjadi bahan yang lain. Contohnya minyak atau lemak haiwan yang bertukar menjadi sabun selepas berlaku satu tindakbalas kimia terhadap minyak atau lemak tersebut. (Lihat al-Mawad al-Muharramah wa al-Najisah fi al-Ghiza’, hlm. 8)

Dalam isu ini juga, Ibn ‘Abidin telah memberi pandangan yang amat baik. Beliau menyebutkan, sesungguhnya syarak telah meletakkan sifat kenajisan terhadap sesuatu benda. Hakikat sesuatu benda akan luput jika hilang sebahagian ciri-ciri asasnya. Apatah lagi jika hilang sama sekali ciri-ciri asasnya. Sebagai perbandingan, air mani adalah najis dan ia tetap najis apabila bertukar menjadi segumpal darah. Kemudian apabila ia bertukar menjadi seketul daging maka ia menjadi suci. Begitu juga dengan jus anggur. Ia adalah suci. Apabila ia bertukar menjadi arak maka ia dihukumkan najis. Apabila bertukar pula menjadi cuka maka ia bertukar menjadi suci. Maka jelaslah di sini bahawa proses istihalah memberi kesan hukum terhadap perubahan yang berlaku kepada sesuatu bahan. (Lihat Radd al-Mukhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, 1/217).

Fatwa-fatwa Badan Berautoriti

Selain daripada itu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah membincangkan mengenai Hukum Plasma Darah dalam Makanan Menurut perspektif Islam dan memutuskan seperti berikut:

(a) Penggunaan darah mengalir dalam segala jenis makanan atau minuman adalah haram secara ijma‘.

(b) Penggunaan plasma darah dalam produk makanan dan minuman semasa adalah haram berdasarkan hujah-hujah berikut:

  • Tidak berlaku sebarang proses istihalah tammah dalam penggunaan plasma darah. Produk makanan yang mengandungi plasma darah tidak menepati konsep istihalah kerana walaupun telah melalui proses perubahan tetapi ia tidak berlaku secara sempurna. Ini kerana plasma darah masih boleh dikesan pada produk akhir walaupun telah melalui proses perubahan kimia.
  • Penggunaan plasma darah dalam makanan dan minuman tidak sampai ke tahap mendesak atau darurat. Kaedah fiqh yang terkait dengan keadaan darurat ialah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya:Darurat (terdesak) boleh mengharuskan perkara yang dilarang.”

Berdasarkan kaedah fiqh yang dibincangkan, jelas bahawa makanan yang mengandungi plasma darah hanya boleh dimakan atau dimanfaatkan ketika berada dalam keadaan benar-benar darurat sahaja namun tidak boleh sewenangnya diamalkan. Penggunaan plasma darah dalam produk makanan pada masa kini tidak mencapai tahap yang boleh dianggap sebagai darurat.

  • Masih terdapat alternatif daripada sumber protein selain plasma darah. Sumber protein dalam makanan boleh diganti daripada sumber lain seperti gelatin halal dan protein tambahan. (Lihat Penentuan Hukum Plasma Darah dalam Makanan Menurut Perspektif Islam, terbitan JAKIM, hlm. 78-79)

Begitu juga Jabatan Mufti Negeri Selangor ada mengeluarkan fatwa bahawa penggunaan plasma darah dalam segala jenis makanan atau minuman adalah haram berdasarkan hujah-hujah berikut:

(a) Tidak berlaku sebarang proses istihalah tammah.

(b) Penggunaan plasma darah dalam makanan atau minuman tidak sampai ke tahap mendesak atau darurat kerana masih terdapat alternatif daripada sumber protein yang halal selain plasma darah.[7]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa bebola ikan yang mengandungi mengandungi plasma darah adalah najis dan haram untuk dimakan. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati).

Apatah lagi, penggunaan plasma darah dalam makanan dan minuman belum lagi sampai ke tahap yang terdesak atau darurat sehingga memerlukan kepada kita untuk menggunakannya kerana di sana masih terdapat lagi alternatif lain sebagai sumber protein yang halal yang boleh untuk digunakan.

Bagi mengetahui hukum penggunaan plasma darah secara umumnya, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1538: Penggunaan Plasma Darah.[8]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat artikel yang ditulis oleh Fajarina Nurin dan disemak secara perubatan oleh Dr. Michael Josiah, https://hellosehat.com/kelainan-darah/plasma-darah/. Diakses pada 23 Mei 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Plasma_darah. Diakses pada 23 Mei 2023

[3] Lihat artikel yang ditulis oleh Fajarina Nurin dan disemak secara perubatan oleh Dr. Michael Josiah, https://hellosehat.com/kelainan-darah/plasma-darah/. Diakses pada 23 Mei 2023

[4] Lihat Plasma Darah dalam Makanan daripada Perspektif Islam dan Sains oleh Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Nur Asmadayana Hasim, Rizafizah Othaman, et. al, Sains Malaysiana 46(10)(2017): 1779–1787.

[5] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 23 Mei 2023.

[6] Lihat Plasma Darah dalam Makanan daripada Perspektif Islam dan Sains oleh Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Nur Asmadayana Hasim, Rizafizah Othaman, et. al, Sains Malaysiana 46(10)(2017): 1779–1787.

[7] Lihat https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-tahunan/pewartaan/2017-terkini/1238-fatwa-hukum-plasma-darah-dalam-makanan-menurut-perspektif-islam. Diakses pada 24 Mei 2023.

[8] Lihat https://maktabahalbakri.com/1538-penggunaan-plasma-darah/. Diakses pada 12 Jun 2024.