#6128: Solat Jamak Qasar sebelum Menaiki Kapal Terbang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya akan bergerak pulang ke Selangor dari Sarawak dan akan duduk di rumah keluarga selama 2 minggu. Waktu ketibaan di Selangor adalah dalam jam 11 malam. Adakah saya boleh melakukan jamak maghrib dan isyak di Sarawak sebelum bergerak menaiki kapal terbang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah  untuk saudara menjamakkan solat sebelum menaiki pesawat kerana anda dalam musafir. Namun, setelah sampai di rumah keluarga, anda tidak boleh menjamakkan solat kerana anda telah mengetahui jumlah hari yang akan anda tinggal di rumah ibubapa anda iaitu selama 2 minggu dan ini telah melepasi syarat jamak yakni 3 hari 3 malam tidak termasuk hari sampai dan pulang.

Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)