#6131: Surau Depan Rumah, Namun Jemaah di Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apa hukumnya pergi berjemaah di masjid sedangkan surau di hadapan rumah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah dan ibadah-ibadah lain adalah ibadah yang agung di sisi Allah SWT, bahkan merupakan arahan dan tuntutan-Nya kepada sekalian orang-orang beriman.

Allah SWT berfirman:

﴿إِنَّمَا یَعۡمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمۡ یَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَۖ فَعَسَىٰۤ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَن یَكُونُوا۟ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِینَ﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang layak untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, mendirikan solat dan menunaikan zakat serta tidak takut kecuali kepada Allah. Mudah-mudahan mereka termasuk dalam golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Imam Abu Hayyan al-Andalusi berkata menafsirkan ayat di atas: “Di dalam ayat ini, Allah mengarahkan agar orang-orang beriman mengimarahkan rumah Allah dengan amalan yang menjadi tujuan utama pembinaan masjid (iaitu solat berjemaah),.. jua agar memakmurkan aktiviti di dalamnya seperti merancakkan ibadah dan berzikir di dalamnya.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 5/387)

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi ke masjid atau pulang dari masjid, Allah akan menyediakan buatnya sebuat tempat tinggal di dalam syurga selama mana dia berulang-alik pergi ke masjid.

Riwayat al-Bukhari (662)

Imam Ibn Battal berkata: “Hadith ini hakikatnya adalah gesaan untuk melazimi solat berjemaah di masjid, serta konsisten sentiasa bersolat di masjid. Hal ini kerana, untuk berulang-alik ke masjid pun sudah Allah berikan tempat tinggal di dalam syurga, maka apatahlagi seseorang yang solat berjemaah dalam keadaan ikhlas dan semata-mata mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT? Pasti lebih agung lagi ganjarannya.” (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 2/285)

Solat berjemaah juga mendatangkan pahala yang berlipat kali ganda berbanding solat bersendirian. Abdullah bin Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلاةُ الجَمَاعَةِ أَفضَلُ مِنْ صَلاةِ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ درَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah lebih utama berbanding solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda pahala.”

Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (650)

Al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah menyenaraikan beberapa faedah dan kebaikan solat berjemaah, antaranya:

  1. Bebas dan selamat daripada api neraka,
  2. Selamat daripada sifat orang munafik,
  3. Solat lebih diterima,
  4. Mendapat keampunan daripada dosa,
  5. Ganjaran pahala yang agung,
  6. Menghilangkan penyakit waswas dan dipelihara daripada syaitan.

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 289)

 

Solat di Masjid atau Surau (Musalla)?

Pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i adalah pergi ke masjid yang besar lebih utama berbanding bersolat di masjid yang kecil, surau atau musalla. Begitu juga, masjid yang paling jauh jaraknya, lebih ramai jemaahnya dan lebih banyak mengamalkan sunnah adalah lebih afdal.

Hal ini berdalilkan hadith Abu Musa al-Asy‘ari R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَعْظَمُ النَّاسِ فِي الصَّلَاةِ أَجْرًا أَبْعَدُهُمْ إلَيْهَا مَمْشًى فأبْعَدُهُمْ

Maksudnya: “Orang yang paling besar pahala solatnya adalah orang yang paling jauh rumahnya dengan masjid, kerana banyaknya langkah menuju ke masjid.”

Riwayat Muslim (662)

Begitu juga berdasarkan hadith Ubai bin Ka’ab R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ وَحْدَهُ, وَصَلَاتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ مَعَ الرَّجُلِ, وَمَا كَانَ أَكْثَرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ

Maksudnya: “Solat seseorang bersama seorang makmum lebih besar pahalanya berbanding solat seorang diri. Solat seseorang bersama dua orang makmum lebih besar pahalanya berbanding solat bersama seorang makmum. Lebih banyak makmum, lebih dicintai Allah SWT.

Riwayat Abu Daud (554)

Sudah tentu masjid lebih jauh dan lebih ramai makmum berbanding surau yang berada di sekitar taman perumahan kita kini. Maka, masjid tersebut memenuhi ciri-ciri keafdhalan seperti mana yang termaktub di dalam hadith di atas.

Solat di Masjid Jauh atau Masjid Dekat?

Imam Ibn al-Rif‘ah menjelaskan bahawa fuqaha’ mazhab al-Syafi’i mempunyai beberapa pendapat yang berbeza dalam hal ini:

  1. Afdal pergi masjid jauh yang lebih ramai jemaah, lebih amalkan Sunnah, berbanding masjid/surau yang dekat

Pendapat ini disokong oleh ulama al-Syafi’iyyah beraliran al-’Iraqiyyun serta al-Qadhi Abu al-Tayyib berhujahkan bahawa ketika Imam al-Syafi’i berada di Baghdad, beliau lebih suka untuk pergi ke masjid jauh yang solat Subuh lebih awal, berbanding tempat solat (masjid/musalla) berdekatan dengan rumah beliau yang solat Subuh lewat sedikit.

  1. Solat di masjid/surau yang dekat lebih afdal

Pendapat ini mengatakan bahawa mengutamakan solat di masjid yang berdekatan dengan rumah kita (masjid al-jiwar) lebih afdal. Ini merupakan pendapat Imam Muhammad bin Abdullah al-Mas’udi dalam kalangan al-Syafi‘iyyah. Namun, dihikayatkan bahawa pendapat ini dikritik oleh Imam al-Subki.

  1. Bersolat di masjid/surau berdekatan dahulu, kemudian bersolat sekali lagi di masjid jauh yang lebih banyak jemaah

Pendapat ini menganjurkan agar menggabungkan kedua-dua keutamaan agar beroleh pahala yang lebih banyak; iaitu pahala mengimarahkan surau berhampiran dan pahala bersolat jemaah di Masjid Jami’ yang lebih ramai jemaahnya, maka seseorang akan menunaikan solat fardu sebanyak dua kali di dalam satu waktu.

Dianjurkan untuk solat di masjid berdekatan secara cepat, kemudian bersegera menuju masjid yang lebih ramai jemaahnya untuk beroleh kedua-dua fadilat. Ini merupakan pendapat Imam al-Baghawi dan salah satu pendapat al-Qadhi Husain daripada ulama al-Syafi’iyyah.

Demikianlah pendapat-pendapat ulama’ al-Syafi‘iyyah berkenaan perkara ini. (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarah al-Tanbih, 3/534)

Pendapat kedua difatwakan oleh Imam al-Mas’udi atas dasar al-jiwar (hak jiran), iaitu masjid tersebut yang paling dekat dengan kita dan dianggap sebagai jiran tetangga kita. Maka, itulah masjid yang paling berhak untuk dilaksanakan solat di dalamnya sepertimana jiran merupakan golongan yang berhak ke atas diri kita juga. Pendapat ini dikritik oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarah al-Minhaj, 2/255)

Dapat kita ketahui bahawa ulama mazhab al-Syafi’i sendiri berbeza pendapat tentang perkara ini, namun yang menjadi pegangan dan amalan majoriti ulama mazhab al-Syafi’i adalah pendapat yang pertama.

Bagaimana Jika Tiada Jemaah di Surau?

Namun dalam keadaan tertentu seperti surau kekurangan jemaah dan takut surau terbiar tanpa dihidupkan, Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Maka lebih afdal seseorang itu menghidupkan surau/masjid berdekatan berbanding pergi ke masjid yang jauh dan lebih ramai jemaahnya. Terutamanya jika seseorang itu merupakan imam bertugas atau tokoh kenamaan yang diikuti dan diteladani masyarakat. Jika dia hadir ke masjid/surau, masyarakat pun turut sama. Maka, lebih afdal untuk dia mengutamakan masjid/surau terdekat terlebih dahulu.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/255)

Imam al-Syirazi turut berkata: “Sekiranya terdapat masjid berdekatan dengannya yang kurang jemaahnya, maka lebih baik bersolat di situ bertujuan untuk meramaikan jemaah, daripada menghadiri ke masjid yang sudah sedia mempunyai ramai jamaah.” (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, 1/176-177)

Imam al-Baghawi juga berpendapat: “Jika seseorang melihat masjid berdekatan dengannya tiada langsung orang dan ketidakhadiran dirinya akan menyebabkan masjid kosong terbiar (tiada solat jemaah), maka bersolat di masjid berdekatan tersebut lebih afdal.” (Lihat al-Tahzib fi Fiqh al-Syafi‘i, 2/249)

Ada pandangan di dalam mazhab al-Syafi‘i juga yang mengatakan bersolat di masjid yang lebih ramai jemaahnya adalah yang paling afdal secara mutlak dalam setiap keadaan. Namun, Imam al-Ruyani mengkritik pandangan ini di dalam kitab al-Talkhis sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn al-Rif‘ah di dalam kitab Kifayah al-Nabih yang kami nukilkan di atas.

Umumnya kini, setiap taman perumahan mempunyai jawatankuasa komuniti tersendiri. Ahli-ahli jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mengimarahkan masjid atau surau di taman perumahannya. Orang seperti ini lebih afdal mengimarahkan dan memeriahkan surau/masjid berdekatan rumah dan taman perumahan komunitinya itu.

Kesimpulan dan Nasihat Kami

Kita bebas untuk bersolat jemaah di mana sahaja yang kita biasa atau sukai. Namun yang paling afdal adalah bersolat jemaah di masjid yang lebih jauh, lebih ramai jemaahnya, dan lebih banyak mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW. Namun, jika masjid/surau berhampiran kita, atau depan rumah kita misalnya kekurangan jemaah, maka lebih afdal untuk solat di situ agar tidak membiarkan rumah Allah tersebut kosong dan lengang, sunyi sepi tanpa solat jemaah. Lebih-lebih lagi jika kita orang yang memainkan peranan penting atau dikenali dalam taman perumahan dan komuniti masyarakat.

Kami mencadangkan dan menasihatkan sekalian umat Islam agar:

  1. Istiqamah mendirikan solat berjemaah di masjid dan surau,
  2. Hidupkan surau atau masjid berdekatan rumah dengan aktiviti peribadatan dan kemasyarakatan,
  3. Lazimi juga amalan pergi ke masjid yang lebih jauh dan lebih ramai jemaah pada beberapa waktu untuk mendapat keistimewaan pahalanya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلِّفْ بَيْنَ قُلُوبِنَا، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِنَا، وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلَامِ، وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

Maksudnya: “Ya Allah, satukanlah hati-hati kami, perbaikilah hubungan antara kami, tunjukilah kami jalan-jalan keselamatan, selamatkanlah kami daripada kegelapan, menuju ke arah cahaya kebenaran.”

Wallahu a‘lam.