Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum berdoa ketika salam pertama dan kedua di dalam solat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Doa ketika salam pertama dan kedua ini merupakan salah satu dari amalan yang banyak dipraktikkan di bumi Nusantara. Doa yang dibacakan selepas salam pertama seperti berikut:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ رِضَاكَ والْجَنَّةَ
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon keredhaan-Mu dan juga Syurga-Mu.”
Dan dibaca pula doa berikut selepas memberikan salam kedua:
وَنَعُوذُبِكَ مِنْ سَخَطِكَ وَالنَّارِ
Maksudnya: “Dan kami memohon perlindungan dengan-Mu daripada kemurkaan Engkau dan juga daripada Neraka.”
Persoalan yang timbul adalah, dari manakah amalan ini diambil? Adakah terdapat sebarang sandaran syara‘ yang sahih dalam masalah ini? Berdasarkan kepada pembacaan serta penelitian kami yang terhad, tidak ditemui sebarang sandaran yang sahih dari nas-nas syara‘, tidak daripada al-Quran, al-Sunnah, mahupun persepakatan para ulama’ yang menyokong tuntutan berdoa selepas salam pertama dan salam kedua.
Anjuran Berdoa Sebelum Memberi Salam
Benar, sememangnya doa yang dibacakan tersebut membawa makna yang amat baik, akan tetap tempat dan masa dibacakan doa tersebut tidak bertepatan dengan apa yang diajarkan oleh syara‘. Sebaliknya, Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk berdoa usai menghabiskan bacaan tahiyyat akhir dan sebelum memberikan salam pertama.
Ini thabit dalam hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ، فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ، يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kalian selesai membaca tasyahhud (dalam tahiyyat akhir), maka mintalah perlindungan Allah dari empat perkara dengan membaca:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
‘Wahai Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari azab neraka Jahanam, dan dari azab kubur, dari fitnah semasa hidup dan saat kematian, dan dari fitnah al-Masih Dajjal’.”
Riwayat Muslim (588)
Dalam hadith ‘Ali bin Abi Talib R.A pula, beliau menyatakan:
يَكونُ مِن آخِرِ ما يقولُ بيْنَ التَّشَهُّدِ والتَّسْلِيمِ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Antara perkara terakhir yang Baginda baca di antara tasyahhud dan juga salam adalah:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
‘Ya Allah, ampunilah (dosa) aku yang telah aku lakukan dan yang aku telah tangguhkan. Dan apa yang telah aku rahsiakan serta apa yang telah aku zahirkan. Dan apa yang telah aku bazirkan, sesungguhnya Engkau lebih mengetahuinya lebih daripadaku. Engkau yang mendahulukan serta Engkau yang mengakhirkan. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau’.”
Riwayat Muslim (771)
Adapun berdoa setelah selesai memberi salam, maka ia sememangnya dianjurkan oleh syara‘, sehinggakan Imam al-Bukhari telah meletakkan satu bab khusus di dalam kitab Sahih beliau berkenaan doa selepas solat. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab beliau Fath al-Bari (11/134) mengatakan, munasabah bab ini diletakkan oleh Imam al-Bukhari adalah, orang yang berzikir selepas solat itu juga memperolehi apa yang diperolehi oleh mereka yang berdoa, sekiranya zikir tersebut menyebabkan dia tidak sempat untuk berdoa. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Ibn ‘Umar R.Anhuma secara Marfu‘, katanya:
يَقُولُ الرَّبُّ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى، مَنْ شَغَلَهُ الْقُرآنُ عَنْ ذِكْرِي وَمَسْأَلَتِي، أَعْطَيْتُهُ أَفْضَلَ مَا أُعْطِيَ السَّائِلِينَ
Maksudnya: “Tuhan yang Maha Suci dan Maha Tinggi berfirman, sesiapa yang disibukkan dengan bacaan al-Quran sehingga tidak sempat berzikir dan berdoa kepada-Ku, Aku akan berikan kepadanya yang lebih baik daripada apa yang Aku berikan kepada orang yang berdoa.”
Riwayat al-Tirmizi (2926)
Rasulullah SAW sendiri berdoa memohon keampunan dari Allah SWT usai Baginda selesai mengerjakan solat. Ini jelas disebutkan dalam hadith Thauban Maula Rasulullah SAW, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ، اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila Baginda selesai mengerjakan solat, Baginda akan beristighfar memohon keampunan sebanyak 3 kali.”
Riwayat Muslim (591)
Antara lainnya, sebagaimana yang disebutkan dalam hadith ‘Ali bin Abi Talib R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ مِنَ الصَّلَاةِ، قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ منِّي، أَنْتَ الْمُقدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW setelah Baginda memberi salam dalam solat, Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ منِّي، أَنْتَ الْمُقدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
‘Ya Allah, ampunilah (dosa) aku yang telah aku lakukan dan yang aku telah tangguhkan. Dan apa yang telah aku rahsiakan serta apa yang telah aku zahirkan. Dan apa yang telah aku bazirkan, sesungguhnya Engkau lebih mengetahuinya lebih daripadaku. Engkau yang mendahulukan serta Engkau yang mengakhirkan. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau’.”
Riwayat Abu Daud (1509) dan Ahmad (803)
Beginilah anjuran berdoa yang diajarkan oleh junjungan kita Rasulullah SAW. Maka kami menyeru kaum muslimin untuk terus mengamalkan sunnah yang thabit dan berlandaskan syara‘ agar segala amal ibadah kita ini diterima oleh Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam.