#6136: Rupa Bentuk Burung Ababil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah rupa bentuk burung ababil seperti dari segi warna dan lain-lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan burung Ababil ini, ada disebutkan dalam ayat 3 daripada surah al-Fil. Firman Allah SWT:

وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ

Maksudnya: “Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan.

(Surah al-Fil: 3)

Al-Wahidi menyatakan, surah ini diturunkan berkenaan kisah Ashab al-Fil dan niat mereka untuk meruntuhkan Kaabah, serta apa yang Allah SWT lakukan terhadap mereka dengan membinasakan mereka dan menghalang mereka dari Kaabah. Kisah ini adalah kisah yang sudah diketahui umum. (Lihat Asbab al-Nuzul, hlm. 306).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Tabari menyatakan dalam kitabnya, disebutkan bahawa ia adalah burung yang dikeluarkan dari laut. Sebahagian lagi berpendapat, ia burung yang datang dari arah laut. Kemudian mereka berbeza pendapat tentang sifat-sifatnya. Sebahagian mereka mengatakan, ia berwarna putih. Sebahagian yang lain pula berpendapat, ia berwarna hitam. Dan ada juga yang berpendapat, ia berwarna hijau, mempunyai paruh seperti paruh burung, dan tapak kaki seperti tapak kaki anjing.

Kemudian, beliau membawakan beberapa riwayat berkenaannya. Di antaranya:

Ya‘qub menyampaikan kepadaku, katanya: Ibn ‘Ulayyah menyampaikan kepada kami, daripada Muhammad bin Sirin berkenaan ayat, “طَيْرًا أَبَابِيلَ” katanya: Ibn Abbas R.Anhuma berkata: Ia adalah burung, mempunyai paruh seperti paruh burung, dan tapak kaki seperti tapak kaki anjing.

Ya‘qub menyampaikan kepada kami, katanya: Husyaim menyampaikan kepada kami, katanya: Husain mengkhabarkan kepada kami, daripada ‘Ikrimah berkenaan ayat, “طَيْرًا أَبَابِيلَ” katanya: Ia adalah burung hijau yang keluar dari laut, mempunyai kepala seperti kepala binatang buas.

Ibn Bassyar menyampaikan kepada kami, katanya: ‘Abd al-Rahman menyampaikan kepada kami, katanya: Sufyan menyampaikan kepada kami, daripada al-A‘masy, daripada Abu Sufyan, daripada ‘Ubaid bin ‘Umair berkenaan ayat, “طَيْرًا أَبَابِيلَ” katanya: Ia adalah burung laut berwarna hitam, yang di paruh dan cakarnya terdapat batu-batu.

Ibn Humaid menyampaikan kepada kami, katanya: Mihran menyampaikan kepada kami, daripada Sufyan, daripada al-A‘masy, daripada Abu Sufyan, daripada ‘Ubaid bin ‘Umair: berkenaan ayat, “طَيْرًا أَبَابِيلَ” katanya: Burung laut berwarna hitam, yang di cakar dan paruhnya terdapat batu-batu.

Yahya bin Talhah al-Yarbu‘i menyampaikan kepada kami, katanya: Fudhail bin ‘Iyadh menyampaikan kepada kami, daripada ‘Ata’ bin al-Sa’ib, daripada Sa‘id bin Jubair berkenaan ayat, “طَيْرًا أَبَابِيلَ” katanya: Burung hijau, dengan paruh berwarna kuning, yang terbang melepasi mereka. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/606-607).

Tambahan lagi, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyebutkan, menurut al-Tabari dengan sanad yang sahih daripada ‘Ikrimah, ia adalah burung hijau yang keluar dari laut, mempunyai kepala seperti kepala binatang buas. Manakala menurut Ibn Abi Hatim melalui jalan ‘Ubaid bin ‘Umair dengan sanad yang kuat: “Allah mengutus kepada mereka burung yang dicipta dari laut seperti burung layang-layang, dan kemudian disebutkan seperti mana yang telah disebutkan sebelum ini. (Lihat Fath al-Bari, 12/207).

Selain daripada itu, Ibn ‘Asyur ketika menafsirkan ayat, “طَيْرًا أَبَابِيلَ” menyatakan, perkataan “الطَّيْرُ” adalah kata nama jamak bagi burung, iaitu haiwan yang terbang di udara dengan menggunakan sayapnya. Ia datang dalam bentuk nakirah bagi menunjukkan jenis binatang tersebut (iaitu sejenis burung) kerana ia adalah jenis burung yang tidak dikenali oleh orang Arab. Para pencerita telah berbeza pendapat dalam menggambarkannya dengan pelbagai khayalan. Namun, pendapat yang sahih adalah apa yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha bahawa ia sangat mirip dengan burung layang-layang, dan juga daripada riwayat selainnya bahawa ia menyerupai kelawar. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/549).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”