#6140: Melunaskan Hutang Kepada Syarikat Yang Telah Ditutup

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Pada tahun 90an saya membuat “blood test” dan didapati saya masih belum membuat pembayarannya sebanyak RM260. Setelah diselidiki, syarikat itu telah pun tutup. Apa patut saya buat untuk melepaskan diri saya dari terus berhutang? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam tidak melarang kita untuk berhutang, bahkan nas yang membicarakan berkaitan hutang piutang amat jelas sekali di dalam al-Quran. Ini memberi satu gambaran yang jelas bahawa Islam bahawa Islam adalah satu agama yang syumul dari semua aspek. Tuntutan untuk merekod hutang piutang adalah sunat di dalam agama Islam. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Malik RA:

أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِى حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِى الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِى بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَىِ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ

Maksudnya: “Suatu ketika dia menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Suara mereka riuh rendah hingga didengari oleh Rasulullah SAW walaupun Baginda ketika itu berada di dalam rumahnya. Lalu Rasulullah SAW keluar menemui mereka hingga terselak langsir bilik Baginda. Baginda memanggil Ka’ab bin Malik: “Wahai Ka’ab”, Ka’ab menjawab: “Ya, aku datang wahai Rasulullah”. Sambil mengisyaratkan dengan tangannya Baginda bersabda: “Rebatlah sebahagian”. Ka’ab membalas: “Ya, wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2563) dan Muslim (1558)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab bagi sesiapa yang berhutang untuk melunaskan hutang mereka. Malah, terdapat hukuman yang tegas bagi mereka yang mengabaikan pembayaran hutang. Dalam konteks Islam, hutang dianggap sebagai amanah yang mesti dipenuhi. Justeru, umat Islam diseru untuk berusaha melunaskan hutang mereka dengan segera dan tidak memandang remeh perkara ini.

Diriwayatkan daripada daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ اَلْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ, حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Roh orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”

Riwayat al-Tirmizi (1078)

Syeikh al-Mubarakfuri menakalkan kata-kata Imam al-Suyuti dalam menjelaskan yang dimaksudkan dengan tergantung dalam hadith ini adalah tertahan daripada ditempatkan pada tempat yang sepatutnya.” (Lihat Tuhfaz al-Ahwazi, 4/164)

Begitu juga sabda Rasulullah SAW:

 إِنَّ صَاحِبَكُمْ مُحْتَبِسٌ عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فِي دَيْنٍ عَلَيْهِ، حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sahabat kamu itu sedang tertahan di pintu syurga dengan sebab hutang yang masih ada padanya sehinggalah warisnya melunaskan hutang itu bagi pihaknya.”

Riwayat Ahmad (20124) dan lafaznya adalah sebagaimana di atas tanpa menyebutkan, “حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ”; Riwayat Abu Daud (3341) dan al-Nasa’i (4685) dengan lafaz seumpamanya. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (20124) menilai sanadnya sebagai sahih.

Disebutkan dalam Taudhih al-Ahkam bahawa: Wajib untuk segera menyelesaikan atau melunaskan hutang si mati jika dia mempunyai harta (yang ditinggalkan). Ini kerana dia masih berterusan menanggung beban hutangnya itu sekalipun setelah kematiannya sehinggalah ia dilunaskan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/159-160).

Dalam isu ini saudara hendaklah berusaha terlebih dahulu mencari pemilik syarikat tersebut bagi melunaskan hutang yang tertunggak. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, hendaklah menyerahkannya kepada ahli warisnya. Namun sekiranya tidak menemui pemilik atau warisnya, kami sarankan saudara menginfaqkan hutang tersebut di jalan Allah SWT seperti menyalurkannya kepada fakir dan miskin atau membina masjid dan sebagainya dengan meniatkannya bagi pihak pemilik tersebut.

Syeikh Ibn Baz menyatakan bahawa: Jika seseorang berhutang dan tidak dapat mengenal pasti pemilik hutang tersebut, contohnya: pemilik hutang telah berpindah atau telah berkelana, atau dalam situasi di mana jika dia mempunyai barang simpanan atau pinjaman yang pemiliknya telah hilang dan tidak diketahui ke mana atau siapa dia, maka setelah usaha mencari dan berusaha sebaik mungkin untuk mengenalinya atau mengetahui tempatnya, jika dia gagal, maka dia perlu menunggu tempoh yang sesuai dengan harapan pemiliknya akan datang mencarinya. Namun, Jika pemiliknya tidak muncul, maka dia boleh mendermakan harta tersebut kepada golongan fakir miskin, atau menyalurkannya kepada beberapa projek kebajikan, seperti pembinaan masjid dan tempat wuduk, atau mana-mana perkara kebajikan yang seumpamanya. Pahala akan diberikan kepada pemiliknya, dan hendaklah dia berniat untuk pemilik harta tersebut. Moga-moga  Allah akan menyampaikan pahala itu kepada pemiliknya.

Namun, jika dia menunggu beberapa waktu dengan harapan pemiliknya datang sebagai langkah berjaga-jaga, itu adalah baik. Kemudian, jika pemilik hak tersebut datang, dia mempunyai pilihan, jika dia mahu, dia boleh menerima sedekah tersebut dan pahalanya akan menjadi miliknya, atau jika dia mahu, dia boleh menuntut haknya dan diberikan haknya, dan pahala sedekah tersebut akan menjadi milik anda.[1]

Oleh yang demikian, dengan mengambil langkah-langkah ini, seseorang dapat memastikan bahawa dia telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, sambil memastikan hak pemilik harta tetap terpelihara.

Justeru, ingatlah bahawa hukum melangsaikan hutang adalah wajib ke atas setiap penghutang. Allah akan memudahkannya dengan memberi jalan untuk membayar hutang sekiranya berniat untuk membayarnya kembali. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah akan tunaikan untuknya. Dan sesiapa yang mengambilnya untuk tujuan tidak melunasinya, maka Allah akan membinasakannya.”

Riwayat al-Bukhari (2387)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahua‘lam

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/7543/%D8%AD%D9% Diakses pada 13 Jun 2024