#6143: Bermesra dengan Isteri sehingga Keluar Air Mani ketika Siang Ramadhan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Isteri saya dengan secara tidak sengaja mengeluarkan air mani saya pada waktu berpuasa pada bukan ramadhan kerana niat beliau hanya untuk memuaskan nafsunya sahaja. Saya juga tidak ada memasukkan apa-apa ke dalam mulut atau faraj kerana hanya berlaku luaran sahaja dan berlapik. Adakah batal puasa saya dan apa hukumnya. apa yang perlu dibuat jika terbatal puasa saya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mencium salah seorang isteri Baginda dalam keadaan Baginda sedang berpuasa.”

Riwayat Muslim (1106)

Begitu juga dalam riwayat Aisyah R.Anha yang lain, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mencium (isterinya) dalam keadaan Baginda sedang berpuasa. Baginda juga bermesra-mesraan (dengan isterinya) dalam keadaan Baginda berpuasa, akan tetapi Baginda ialah orang yang paling kuat menahan syahwatnya.

Riwayat Abu Daud (2382)

Secara umumnya, perbuatan bermesraan sesama suami isteri adalah suatu perkara yang menjadi lumrah dalam kehidupan rumah tangga. Berdasarkan hadith-hadith di atas, kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW juga mencium dan bermesra-mesraan dengan para isteri Baginda.

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa dihukumkan sebagai makruh bagi sesiapa yang bercumbuan dan bermesraan dalam keadaan dia sedang berpuasa jika terangsang syahwatnya dan tidak dihukumkan sebagai makruh bagi selainnya yang mampu mengawal nafsunya. Namun, yang utamanya adalah meninggalkan perbuatan tersebut. Begitu juga tidak ada beza antara orang tua dan orang muda kerana perkara yang diambil kira ialah terangsang syahwat dan dikhuatiri keluarnya air mani. Dalam erti kata lain, jika seorang tua ataupun muda itu kuat untuk terangsang syahwatnya, maka hukumnya adalah makruh, dan jika tidak terangsang syahwatnya, maka hukumnya tidak makruh. Akan tetapi yang utamanya meninggalkan perbuatan bercumbuan itu, tidak kira mencium pipi, mulut atau selainnya. Begitu juga perbuatan bermesra-mesraan dengan tangan dan berpelukan, hukumnya adalah sama dengan hukum bercumbuan.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum keluar air mani ketika bulan puasa ini ada dua:

  1. Sengaja mengeluarkan air mani ketika berpuasa Ramadhan seperti onani, hubungan suami isteri secara luaran (bukan bersetubuh), maka ia membatalkan puasa,  tidak dikenakan kaffarah dan wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan.
  2. Sekiranya keluar air mani tanpa sengaja seperti tidur bermimpi sehingga keluar air mani, maka tidaklah batal puasanya dan tidak dikenakan kaffarah.

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan seseorang mencium isterinya dalam keadaan dia berpuasa, hukumnya adalah makruh sekiranya perkara itu menyebabkan syahwatnya terangsang atau dikhuatiri keluarnya air mani, dan tidak makruh jika dia mampu untuk menjaga dirinya daripada hal itu. Tidak kira dia seorang lelaki tua mahupun pemuda. Namun, adalah lebih baik untuk dia meninggalkan perbuatan berciuman, bermesra itu, ketika dia sedang berpuasa.

Justeru, dalam isu saudara, hukumnya adalah makruh dan membatalkan puasa, akan tetapi tidak dikenakan kaffarah kerana puasa saudara terbatal bukan kerana bersetubuh. Maka, wajib bagi saudara menggantikan puasa yang ditinggalkan dan mandi wajib.

Firman Allah SWT dalam sebuah hadith Qudsi:

الصَّوْمُ لِي، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي، فَالصَّوْمُ جُنَّةٌ

Maksudnya: Puasa itu untuk Aku, dan Aku sendiri akan mengganjarinya, orang yang berpuasa itu meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana Aku, maka puasa itu adalah perisai.

Riwayat al-Bukhari (2904) dan Muslim (1151)