#6144: Kekeliruan Tatacara Solat dalam Keadaan Duduk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mengalami sakit lutut dan mengakibatkan saya tidak boleh melipat lutut saya untuk sujud tapi saya boleh berdiri tegak, bagaimanakan keadaan solat yang afdal bagi saya? Saya keliru sebab bila saya bertanya pada imam yang mengajar diajar supaya masa nak rukuk saya terus duduk dikerusi dan terus rukuk Dan sujud sekali cuma sujud itu perlu di rendahkan lebih dari perbuataan rukuk. Bila saya bertanya kepada ustazah yang mengajar fardu ain, rukuk Dan sujud mestilah dilakukan secara berdiri, duduk dikerusi hanya apabila duduk antara 2 sujud, tahiyyiat awal dan akhir sahaja. Sujud dilaku seperti rukuk cuma direndahkan sedikit daripada rukuk. Mohon pencerahan dari Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, seseorang itu boleh solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri sebagaimana riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.

Riwayat Al-Bukhari (1117)

Imam al-Nawawi berkata: “Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/226).

Keadaan yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk

Di dalam kitab-kitab fiqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:

  • Tidak mampu untuk berdiri.
  • Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
  • Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
  • Seseorang yang berasa pening kepala.
  • Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.

Hal ini adalah berdasarkan kata-kata Imam al-Nawawi: “Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/310).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tatacara solat itu bergantung kepada keadaan individu tersebut. Maka, dalam situasi anda, dibenarkan untuk anda solat dalam keadaan duduk. Oleh itu, caranya adalah seperti berikut:

  1. Ketika angkat takbir dan membaca al-fatihah serta surah-surah yang lain, anda hendaklah solat dalam keadaan berdiri kerana anda mampu untuk berdiri.
  2. Sekiranya lutut anda mampu untuk rukuk, maka anda perlu rukuk dalam keadaan berdiri. Namun, sekiranya tidak mampu maka, boleh untuk rukuk secara duduk di atas kerusi.
  3. DIsebabkan anda mempunyai masalah lutut, maka anda boleh melaksanakan sujud dengan cara duduk di atas kerusi. Caranya adalah dengan anda rukuk secara duduk lebih sedikit daripada rukuk. Begitu juga, tahiyyat awal dan akhir, anda boleh laksanakan secara duduk di atas kerusi sahaja, dengan jari telunjuk seperti kebiasaan solat.

Kami juga ingin mencadangkan bagi sesiapa yang terpaksa melaksanakan solat secara duduk seperti berikut:

  • Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
  • Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
  • Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
  • Kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
  • Kami juga mencadangkan sekiranya mereka yang solat atas kerusi ini ramai, maka pihak masjid atau surau menyediakan ruang khas bagi mereka yang menunaikan solat secara duduk seperti meletakkan kerusi yang panjang untuk mereka sebagaimana yang dilakukan oleh negara Arab dan seumpamanya.

Akhirnya, dengan penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)