#6146: Wanita Memakai Rantai Emas dikira Menunjuk-Nunjuk?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah memakai rantai emas pada cermin mata dikira sebagai menunjuk-nunjuk perhiasan? Sedangkan wanita perlu menyembunyikan perhiasan diri.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, perhiasan emas adalah dibolehkan untuk wanita berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: “Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dalam kalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki.

Riwayat al-Nasa’ie (9387)

Penggunaan emas untuk tujuan perhiasan adalah harus bagi kaum wanita dan  haram bagi kaum lelaki. Wanita dibenarkan memakai emas kerana keperluan wanita  berhias dan mencantikkan diri di hadapan suami. (Lihat Subul al-Salam, 1/460; Syarah al-Muharrar fi al-Hadith, 20/49)

Berkenaan dengan hikmah keharusan bagi wanita memakai emas dan sutera, kami nukilkan pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi:

“Kerana adanya pengecualian hukum bagi kaum wanita, iaitu dibolehkan bagi kaum wanita memakai emas dan sutera untuk menjaga perasaan wanita dan tuntutan kewanitaannya dengan sifat atau fitrah semulajadi kaum wanita itu suka serta cenderung untuk menghias diri. Kecenderungan untuk bermewah atau menghias diri itu tidaklah bertujuan untuk menggoda kaum lelaki serta menaikkan semangat nafsu syahwatnya.” (Lihat Halal dan Haram dalam Islam, hlm. 151)

Meskipun Islam meraikan fitrah wanita dalam berhias, wanita dibenarkan berhias dengan syarat tidak mempamerkan perhiasan diri pada bahagian aurat yang wajib ditutupi  kepada lelaki ajnabi. Hal tersebut berdasarkan dalil – dalil berikut :

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “..dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

(Surah an-Nur: 31)

Ayat tersebut menerangkan kewajipan kaum wanita menyembunyikan perhiasannya daripada ajnabi melainkan apa-apa yang zahir. Pengecualian bagi perhiasan yang biasa kelihatan seperti cincin, celak dan inai. Sementara, perhiasan yang perlu disembunyikan seperti gelang tangan, gelang kaki, kerongsang, rantai  eher,  anting-anting  yang mana perhiasan tersebut terletak pada anggota badan seperti kaki, lengan atas, leher, kepala, dada, dan telinga . (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 18/ 99)

Sementara, Ibn Abbas menjelaskan  makna ayat “kecuali apa yang zahir” ialah muka, dua tapak tangan. Ini merupakan pendapat yang masyhur dalam kalangan majoriti ulama. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 6/45)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan harus bagi perempuan untuk memakai perhiasan seperti emas dan seumpamanya. Maka, dalam isu ini kami katakan ia bergantung kepada niat sama ada dengan tujuan berhias atau menunjuk-nunjuk. Begitu juga, tidak dibenarkan berlebihan dalam berhias agar tidak menimbulkan fitnah dan menarik perhatian ajnabi.

Dari sudut menyorokkan perhiasaan, ia bermaksud perhiasan yang dipakai ditempat-tempat aurat seperti leher, kaki, kepala dan seumpamanya. Maka, dalam isu saudari, tidak mengapa baginya untuk memakai perhiasan emas di cermin matanya, selagi mana tidak berlebihan.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.

(Surah al-Kahfi: 10)