#6147: Menggantikan Semula Solat kerana Melebihi Hari yang Dibenarkan Jamak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak bertanyakan soalan berkenaan dengan solat jamak qasar. Saya dan suami dah planning untuk pulang ke kampung selama 3 hari tidak termasuk dengan hari perjalanan pergi dan balik. Jadinya pada hari saya sepatutnya pulang ke rumah saya, saya telah mengalami sakit perut dan demam jadi kami terpaksa stay untuk lagi sehari di kampung. Sepatutnya saya dah tak boleh jamak lagi la kan? Persoalan saya, bagaimana dengan jamak saya yang sebelum ni yang saya dah buat? Adakah perlu digganti semula solat tersebut? Harap ustaz dapat menjawab kemusykilan saya ini. Sekian terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).

(Surah al-Nisa’:101)

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak perlu untuk anda menggantikan semua solat sewaktu anda berada di kampung kerana sakit itu boleh terjadi pada bila-bila masa. Maka, pada hari yang berikutnya anda perlu untuk solat seperti biasa kerana anda telah melebihi hari yang dibenarkan untuk jamak solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.