#6149: Puasa pada Hari-hari Tasyriq

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah boleh puasa sunat pada hari-hari tasyriq? Sebabnya saya dengar, yang diharamkan berpuasa hanyalah pada hari raya Adha. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, al-Syirazi ada menyatakan bahawa tidak dibolehkan untuk berpuasa pada hari-hari tasyriq kecuali puasa tamattu‘. Sekiranya dia tetap juga berpuasa (pada hari-hari itu), puasanya tidak sah. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW melarang daripada berpuasa pada enam hari; hari raya fitri, hari al-Nahr, hari-hari tasyriq dan hari yang syak masuknya Ramadhan.

Kemudian, beliau menyebutkan berkenaan keharusan puasa tamattu‘ (dalam hari-hari tasyriq), di mana terdapat dua pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i. Imam al-Syafi‘i dalam pendapat qadim menyatakan, dibolehkan untuk puasa tamattu‘. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar dan Aisyah R.Anhuma bahawasanya keduanya berkata: Tidak diberikan kelonggaran untuk berpuasa pada hari-hari tasyriq kecuali orang yang mengerjakan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban. Manakala Imam al-Syafi‘i dalam pendapat jadid pula menyatakan, tidak dibolehkan untuk puasa tamattu‘ kerana setiap hari tersebut tidak dibolehkan untuk berpuasa selain puasa tamattu‘, maka tidak dibolehkan juga berpuasa tamattu‘ seperti hari raya. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/346-347).

Seterusnya, Imam al-Nawawi mensyarahkan dan menjelaskan lagi kenyataan al-Syirazi di atas dengan menyatakan, hadith Abu Hurairah ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang lemah daripada Abu Hurairah bahawa:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامٍ قَبْلَ رَمَضَانَ بِيَوْمٍ وَالْأَضْحَى وَالْفِطْرِ وَأَيَّامِ التَّشْرِيقِ ثَلَاثَةٍ بَعْدَ يَوْمِ النحر

Maksudnya: “Nabi SAW melarang berpuasa sebelum Ramadhan sehari, dan (pada hari) Aidiladha, Aidilfitri, dan tiga hari tasyriq selepas hari raya korban (al-Nahr).

Ini adalah lafaznya dan sanadnya lemah. Maksudnya, hadith Nubaisyah, seorang sahabat R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرِ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Hari-hari tasyriq ialah hari-hari makan, minum, dan mengingati Allah ta‘ala.” Diriwayatkan oleh Muslim.

Begitu juga hadith daripada Ka‘ab bin Malik bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَهُ وأنس من الْحَدَثَانِ أَيَّامَ التَّشْرِيقِ فَنَادَى أَنَّهُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إلَّا مُؤْمِنٌ وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Nabi SAW mengutusnya dan Anas bin al-Hadathan pada hari-hari tasyriq, lalu mengumumkan bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang beriman, dan hari-hari tasyriq ialah hari-hari makan dan minum.” Diriwayatkan oleh Muslim.

Begitu juga hadith daripada ‘Uqbah bin ‘Amir, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

يَوْمُ عَرَفَةَ وَيَوْمُ النَّحْرِ وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari Arafah, hari raya korban, dan hari-hari tasyriq adalah hari raya kita umat Islam, dan ia adalah hari-hari makan dan minum.” Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i. Al-Tirmizi menyatakan, hadith ini hasan sahih.

Begitu juga hadith daripada ‘Amr bin al-‘As, katanya:

هَذِهِ الْأَيَّامُ الَّتِي كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا بِإِفْطَارِهَا وَيَنْهَى عَنْ صِيَامِهَا قَالَ مَالِكٌ هِيَ أَيَّامُ التَّشْرِيقِ

Maksudnya: “Ini adalah hari-hari yang Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk tidak berpuasa dan melarang kami berpuasa pada hari-hari tersebut. Malik berkata: Ia adalah hari-hari tasyriq.” Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan selainnya dengan sanad yang sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.

Adapun hadith yang disebutkan oleh pengarang (iaitu al-Syirazi) daripada riwayat Ibn Umar dan Aisyah berkenaan puasa orang yang mengerjakan haji tamattu‘, maka ia adalah hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam sahihnya. Lafaznya daripada Aisyah dan Ibn Umar, keduanya berkata:

لَمْ يُرَخَّصْ فِي أَيَّامِ التَّشْرِيقِ أَنْ يُصَمْنَ، إِلَّا لِمَنْ لَمْ يَجِدِ الهَدْيَ

Maksudnya: “Tidak diberi keringanan untuk berpuasa pada hari-hari tasyriq, kecuali bagi orang yang tidak mempunyai haiwan korban (sebagai bayaran dam).”

Dan dalam riwayat al-Bukhari daripada mereka berdua, katanya:

الصِّيَامُ لِمَنْ تَمَتَّعَ بِالعُمْرَةِ إِلَى الحَجِّ إِلَى يَوْمِ عَرَفَةَ، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ هَدْيًا وَلَمْ يَصُمْ، صَامَ أَيَّامَ مِنًى

Maksudnya: “Puasa itu bagi orang yang ingin mengerjakan umrah sebelum haji (di dalam bulan haji) hingga hari Arafah. Apabila dia tidak mendapatkan haiwan korban dan tidak berpuasa, maka dia boleh berpuasa pada hari-hari Mina.

Maka, riwayat pertama itu marfu‘ kepada Nabi SAW kerana ia seperti kata sahabat: “Kami diperintahkan dengan begini dan dilarang daripada begini, dan kami diberi kelonggaran dalam hal begini,” dan semua ini serta seumpamanya marfu‘ kepada Rasulullah SAW seperti katanya, “Rasulullah SAW bersabda begini.”

Seterusnya, Imam al-Nawawi menjelaskan pula permasalahan berkaitan dengan puasa pada hari-hari tasyriq. Menurut beliau, dalam isu ini terdapat dua pendapat yang masyhur yang mana kedua-dua pendapat ini telah disebutkan oleh pengarang (al-Syirazi) berserta dalil-dalilnya.

Pendapat pertama, merupakan pendapat jadid Imam al-Syafi‘i menyatakan, tidak sah puasanya, baik bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ atau selainnya. Inilah pendapat yang paling sahih menurut para ashab (mazhab al-Syafi‘i).

Manakala pendapat kedua, merupakan pendapat qadim Imam al-Syafi‘i menyatakan, adalah dibolehkan bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban, untuk berpuasa pada hari-hari tasyriq sebagai ganti tiga hari puasa yang wajib dalam haji. Kemudian, berdasarkan ini, (timbul persoalan) adakah dibolehkan bagi selain orang yang menunaikan haji tamattu‘ untuk berpuasa pada hari-hari (tasyriq) ini? Terdapat dua pandangan yang masyhur dalam tariqah (mazhab) ulama Khurasan, dan kedua-duanya turut disebutkan oleh beberapa ulama Iraq, di antara mereka ialah al-Qadhi Abu al-Tayyib dalam kitabnya al-Mujarrad, al-Bandaniji, al-Mahamili dalam kitabnya al-Majmu‘ dan al-Tajrid, serta yang lainnya.

Pendapat yang paling sahih (iaitu pendapat pertama) daripada kedua-dua pendapat itu menurut semua ashab (al-Syafi‘iyyah) adalah tidak dibolehkan. Ini juga merupakan pendapat yang telah diputuskan oleh pengarang (al-Syirazi) dan ramai ulama selainnya berdasarkan kepada keumuman hadith yang melarang untuk berpuasa pada hari-hari tersebut. Sebaliknya kelonggaran (rukhsah) untuk berpuasa pada hari-hari itu hanyalah bagi mereka yang menunaikan haji tamattu‘.

Manakala pendapat kedua menyatakan, ia adalah dibolehkan. Al-Mahamili dalam dua kitabnya dan pengarang al-‘Uddah mengatakan bahawa ulama yang berpendapat bahawa ia dibolehkan ini ialah Abu Ishaq al-Marwazi. Para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) yang menukilkan pandangan ini mengatakan bahawa hanya dibolehkan berpuasa pada hari-hari ini puasa yang mempunyai sebab, seperti puasa qadha, nazar, kaffarah, atau puasa sunat yang mempunyai sebab. Adapun puasa sunat yang tidak mempunyai sebab, maka tidak dibolehkan untuk berpuasa pada hari-hari ini tanpa sebarang khilaf. Demikian telah dinukilkan kesepakatan para ashab ke atasnya oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Mahamili, al-Sarakhsi, pengarang al-‘Uddah dan lain-lain. Dan kebanyakan pendapat mengatakan bahawa ini serupa dengan waktu-waktu yang dilarang solat di dalamnya, di mana dibolehkan solat yang mempunyai sebab dalam waktu-waktu tersebut, tetapi tidak dibolehkan solat tanpa sebab.

Sarakhsi menyebutkan bahawa dasar perbezaan pendapat ini adalah sama ada dibolehkannya puasa bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ kerana keperluan atau kerana adanya sebab. Dalam hal ini, ada perbezaan pendapat dalam kalangan ashab kami. Mereka yang beralasan dengan keperluan mengehadkannya hanya kepada haji tamattu‘ sahaja, sehingga tidak membolehkannya bagi selainnya. Manakala mereka yang beralasan dengan sebab, membolehkannya untuk semua jenis puasa yang mempunyai sebab, tetapi tidak membolehkannya bagi yang tidak mempunyai sebab. Sarakhsi mengatakan bahawa berdasarkan pandangan ini, jika seseorang bernazar untuk berpuasa pada hari-hari ini, maka ia seperti bernazar untuk berpuasa pada hari syak. Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab ini, bahawa pendapat yang membolehkan puasa pada hari-hari tasyrik bagi selain orang yang menunaikan haji tamattu‘ hanya terhad kepada puasa yang mempunyai sebab dan tidak sah bagi puasa yang tidak mempunyai sebab secara kesepakatan (ittifaq).

Imam al-Haramain pula mengatakan bahawa para ashab kami berbeza pendapat dalam memperincikan pandangan qadim. Sebahagian mereka berpendapat bahawa ini hanya dibolehkan bagi puasa tamattu‘ kerana keperluan yang khusus baginya. Manakala sebahagian yang lain berpendapat bahawa ia seperti hari syak. Kemudian beliau menyambung dengan menyatakan bahawa bagi hari syak, jika seseorang berpuasa tanpa sebab, maka ia dilarang. Namun, dari segi kesahan puasa itu terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i.

Seterusnya, Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa pendapat yang paling sahih dalam kalangan ashab (al-Syafi‘iyyah) ialah pendapat jadid yang mengatakan bahawa tidak sah puasa pada hari-hari tersebut sama sekali, baik bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ mahupun orang yang selainnya. Namun, pendapat yang paling rajih (lebih kuat) dari segi dalil adalah sahnya puasa tersebut bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ dan dibolehkan baginya untuk melakukannya kerana hadith yang memberi keringanan kepadanya adalah sahih sebagaimana yang telah kami jelaskan, dan hadith tersebut secara jelas menyatakan demikian, maka tidak ada alasan untuk berpaling daripadanya.

Adapun kenyataan pengarang al-Syamil dalam kitab haji yang menyatakan bahawa hadith tersebut adalah lemah adalah tidak benar dan tertolak kerana dia meriwayatkannya dari sumber/jalur yang lemah dan menilainya sebagai lemah atas alasan tersebut, sedangkan hadith itu adalah sahih lagi thabit dalam Sahih al-Bukhari dengan sanad yang bersambung tanpa melalui jalur yang disebutkan oleh pengarang al-Syamil. Sesungguhnya, aku (menurut Imam al-Nawawi) menyebutkan kenyataan pengarang al-Syamil agar tidak ada yang tertipu dengannya.

Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan pendapat-pendapat ulama daripada mazhab-mazhab lain berkenaan puasa pada hari-hari tasyriq. Beliau menyatakan, kami telah menyebutkan mazhab kami dalam perkara ini dan bahawasanya pendapat jadid menyatakan bahawa tidak sah puasa pada hari-hari tersebut. Sedangkan pendapat qadim pula menyatakan sahnya puasa bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban.

Di antara ulama salaf yang berpendapat dilarang puasa bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ dan orang selainnya ialah Ali bin Abu Talib, Abu Hanifah, Dawud, dan Ibn al-Munzir, serta ini adalah pandangan yang lebih sahih daripada dua riwayat daripada Ahmad. Ibn al-Munzir pula menukilkan berkenaan dibolehkan puasa tersebut bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ dan orang selainnya daripada al-Zubair bin al-‘Awam, Ibn Umar, dan Ibn Sirin. Manakala Ibn Umar, Aisyah, al-Auza‘i, Malik, Ahmad, dan Ishaq dalam satu riwayat daripadanya menyatakan bahawa dibolehkan bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ untuk berpuasa pada hari-hari tersebut. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/441-445; lihat juga al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/323).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak dibolehkan untuk berpuasa pada hari-hari tasyriq melainkan bagi mereka yang melakukan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban sebagai ganti tiga hari puasa yang wajib dalam haji. Hal ini kerana terdapat hadith yang melarang daripada berpuasa pada hari-hari tasyriq dan menyatakan bahawa hari-hari tasyriq ialah hari-hari makan dan minum. Manakala kelonggaran (rukhsah) untuk berpuasa pada hari-hari tersebut hanya diberikan kepada orang yang mengerjakan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban berdasarkan kepada hadith yang sahih lagi jelas. Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga dilihat seolah-olah memberi isyarat bahawa beliau turut cenderung dan memilih pendapat ini dari segi kekuatan dalilnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.