Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Hukum filter misai bagi perempuan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:
لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5886), Abu Dawud (4953) dan al-Tirmizi (2785)
Ibn al-Athir berkata: Al-Mutarajjilat ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. Al-Mukhannath pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/203)
Dalam riwayat yang lain, disebut:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”
Riwayat al-Bukhari (5885), Abu Dawud (4097), al-Tirmizi (2784) dan Ibn Majah (1904)
Imam al-San’ani mengatakan bahawa laknat Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya. Imam al-Syaukani turut menyebut bahawa hadith tersebut menjadi dalil akan pengharaman ke atas lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam pertuturan, pemakaian dan selain itu. (Lihat Subul al-Salam, 2/421; Nail al-Autar, 6/230)
Di dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi dinaqalkan kalam al-Imam al-Tabari yang mana tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya. Begitu juga kata al-Hafiz Ibn Hajar, tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. ( Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/57)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa,Dalam Islam, berhibur bukanlah suatu larangan. Namun, hiburan perlu dinilai dengan teliti berdasarkan nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama dan tidak boleh mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam. Selain itu, Islam membenarkan hiburan kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Terdapat sebuah kaedah yang menyebut:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Pada masa kini, aplikasi media sosial menyediakan berbagai jenis filter yang menarik dan interaktif, seperti misai, topeng, dan efek lain yang membolehkan pengguna mengubah penampilan dalam gambar atau video. Filter ini sering digunakan untuk menambahkan elemen hiburan, kreativiti, dan keseronokan kepada kandungan yang dikongsi. Selain itu, filter juga dapat meningkatkan kualiti gambar dengan efek kecantikan, pencahayaan, dan warna. Aplikasi seperti Instagram, Snapchat, dan TikTok adalah antara yang paling popular, dan mereka menawarkan pelbagai filter kepada pengguna mereka.
Justeru, perkara ini bukanlah sesuatu yang ditegah kerana perubahan tersebut tidak melibatkan realiti, tetapi hanya merupakan hiburan atau permainan dalam aplikasi media sosial. Namun, kami berpendapat bahawa penggunaan filter misai untuk wanita adalah tidak sesuai dan sepatutnya dielakkan kerana ia tidak mencerminkan nilai-nilai akhlak seorang muslimah.
Oleh yang demikian adalah lebih baik untuk mengisi masa lapang dengan digantikan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh membawa faedah dan manfaat kepada diri seperti bersukan, bersenam, membaca dan sebagainya. Ini juga sebahagian daripada tuntutan syara’ sebagaimana yang thabit dalam riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ
Maksudnya: “Di antara (contoh) bagusnya keislaman seseorang itu, adalah dengan dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat padanya.”
Riwayat Ahmad (1737) dan Tirmizi (2317)
Hadith ini merupakan salah satu prinsip besar dalam adab. Maksud hadith ini adalah bahawa sebahagian daripada kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak memberikan manfaat kepadanya dari segi perkataan dan perbuatan. Oleh itu, hendaklah dia memberikan perhatian kepada apa yang dapat memberikannya manfaat kepadanya dari segi perkataan dan perbuatan. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ‘Ala al-Targhib wa Tarhib, 11/532)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam