#6153: Membersih Rumah Pada Waktu Malam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menyapu sampah di malam hari?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan membawa satu kaedah fiqh yang menyebutkan:

 الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Asal sesuatu perkara itu adalah harus sehingga datangnya dalil yang mengharamkannya.”

Kata Imam al-Suyuti, inilah pandangan yang dipegang Mazhab al-Syafi‘i. Adapun Mazhab Imam Abu Hanifah berpergang pada kaedah yang berlawanan: “Asal sesuatu perkara itu adalah haram sehingga datangnya dalil yang mengharuskannya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/60)

Benar, Allah SWT telah menjadikan waktu malam untuk umat manusia berehat setelah penat melakukan pelbagai bentuk pekerjaan pada siang hari. Disebutkan dalam Surah al-Naba’:

وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا

Maksudnya: “Kami jadikan malam itu sebagai pakaian yang menutupi.”

(Surah al-Naba’: 10)

Ayat ini sebenarnya menceritakan tentang keesaan Allah SWT dalam penciptaan serta ketentuan-Nya yang amat menakjubkan. Ia berkenaan suatu kurniaan Allah SWT, iaitu malam hari, yang diumpamakan seperti pakaian kerana keadaannya yang tenang sehingga ia sesuai untuk tidur, dan ia membantu memberikan keselesaan serta dimanfaatkan untuk rehat. Hal yang demikian kerana malam itu suasananya gelap, tidak dibias dengan cahaya mentari yang terlindung di balik kutub bumi. Kegelapan ini menghalang penglihatan mata, sehingga akhirnya menyukarkan untuk melakukan urusan dan bekerja, lalu semangat dalam diri pun kian berkurang. Urat saraf pun semakin bermalas-malasan sehingga rasa ngantuk menyelubungi, dan kerana itu terhasillah malam hari itu sebagai waktu berehat. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/19)

Tetapi, ini bukan bermakna kita tidak boleh, dengan larangan yang berbentuk jazam atau wajib, dari melakukan sebarang kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah pada malam hari. Bahkan setiap individu mempunyai aturan hidup yang berbeza dengan orang lain, sehingga tidak berbaki masa untuk dia membersihkan rumah kecuali pada waktu malam. Maka tidak menjadi masalah, bahkan usaha mencari masa untuk membersihkan rumah itu adalah suatu perkara yang baik. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith:

 الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”

Riwayat Muslim (223)

Dalam riwayat yang lain, Baginda SAW menggalakkan umat Islam untuk membersihkan kawasan rumah bagi menyelisihi kaum Yahudi yang tidak suka membersihkan rumah mereka. Daripada Sa‘d bin Abi Waqqas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

طَهِّرُوا أَفْنِيَتَكُمْ، فَإِنَّ الْيَهُودَ لَا تُطَهِّرُ أَفْنِيَتَهَا

Maksudnya: “Bersihkanlah perkarangan rumah kalian, sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan perkarangan rumah mereka.”

Riwayat al-Tabarani (4057)

Meskipun terdapat sedikit kritikan terhadap hadith Sa‘d bin Abi Waqqas R.A ini, akan tetapi kita dapat mengambil ibrah darinya bahawa Islam amat mementingkan kebersihan rumah. Tidak sewajarnya bagi seorang muslim untuk bermalas-malasan membersihkan rumah atas alasan tidak mempunyai masa. Berusahalah dan carilah masa yang sesuai, meskipun pembersihan itu dikerjakan pada malam hari.

Di samping itu, kami juga ingin mengingatkan agar kerja-kerja pembersihan yang dilakukan pada malam hari tersebut tidak keterlaluan sehingga mengganggu jiran tetangga, lebih-lebih lagi bagi menghuni rumah-rumah tinggi seperti apartment, kondominium dan sebagainya. Abu Syuraih al-‘Adawi R.A pernah meriwayatkan, beliau berkata: “Kedua-dua telingaku mendengar dan kedua-dua mataku melihat, ketika Nabi SAW berbicara dan bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya.”

Riwayat al-Bukhari (6019) dan Muslim  (48)

Allah SWT juga berfirman di dalam al-Quran, menerangkan tentang hak jiran yang perlu kita penuhi, iaitu berlaku ihsan:

وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh.”

(Surah al-Nisa’: 36)

Jiran tetangga dalam ayat ini dipecahkan kepada dua; yang dekat dan yang jauh. Kedua-dua ini mempunyai beberapa tafsiran menurut ulama’, antaranya:

  • Pandangan Ibn ‘Abbas R.A, ‘Ikrimah, Mujahid, Maimun bin Mihran, al-Dahhak, Zaid bin Aslam, Muqatil bin Hayyan dan Qatadah:
    • Jiran yang dekat adalah mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita.
    • Jiran yang jauh adalah mereka yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita.
  • Diriwayatkan oleh al-Tabari dan Ibn Abi Hatim, daripada Nauf al-Bikali:
    • Jiran yang dekat adalah mereka yang beragama Islam.
    • Jiran yang jauh adalah mereka yang beragama Yahudi dan Nasrani.
  • Pendapat Ibn Mas‘ud R.A: Jiran yang dekat ini merujuk kepada perempuan.
  • Pendapat lain bagi Mujahid: Jiran yang jauh itu bermaksud teman kita tatkala musafir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/261)

Walau siapa pun jiran tersebut, mereka semua tergolong dalam kalangan orang yang berhak untuk kita berbuat kebaikan ke atas mereka. Oleh itu, kami katakan, lakukanlah apa jua kerja rumah pada bila-bila masa, di samping meraikan hak jiran tetangga dengan tidak mendatangkan sebarang gangguan seperti bunyi bising.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami kongsikan, dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam.