#6155: Bertongkat ketika Umur 40

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, betulkah kita disunatkan bertongkat ketika umur mencecah 40 tahun?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Umur 40 merupakan bilangan umur yang cukup istimewa dan begitu signifikan sehingga al-Quran turut menyebut tentang umur 40 tahun.

Allah SWT berfirman:

وَوَصَّیۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَ ٰ⁠لِدَیۡهِ إِحۡسَـٰنًاۖ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ كُرۡهࣰا وَوَضَعَتۡهُ كُرۡهࣰاۖ وَحَمۡلُهُۥ وَفِصَـٰلُهُۥ ثَلَـٰثُونَ شَهۡرًاۚ حَتَّىٰۤ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُۥ وَبَلَغَ أَرۡبَعِینَ سَنَةࣰ

Maksudnya: “Dan Kami telah memerintahkan manusia supaya melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dan melahirkannya dengan susah payah. Tempoh mengandung berserta menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan, sehingga dia sampai ke peringkat dewasa dan memasuki usia empat puluh tahun,..”

(Surah al-Ahqaf: 15)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata menafsirkan ayat di atas: “Umur 40 adalah umur ketika mana hujah Allah SWT telah tertegak ke atas seseorang hamba, tiada lagi alasan kejahilan masa muda remaja yang lampau. Zaman muda telah habis. Seseorang yang mencapai umur ini harus tahu arahan-arahan Allah khususnya untuk kembali berbakti kepada kedua ibu bapanya.” (Lihat Jami’ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 21/140)

Hidup Bermula Ketika Umur 40 Tahun

Imam al-Suyuti ketika menafsirkan ayat di atas telah meriwayatkan beberapa hadith untuk menjelaskan signifikan umur 40 tahun, antaranya:

  1. Umur 40 tahun adalah detik Allah akan menghukum hamba-Nya atas dosa-dosa silam. Ketika masa muda, Allah masih berlembut dan memberi maaf.

Imam al-Suyuti membawa riwayat Ibn Abi Hatim di dalam al-Tafsir daripada al-Qasim bin ‘Abd al-Rahman, bahawa beliau bertanya kepada Masruq bin al-Ajda’:

مَتى يُؤْخَذُ الرَّجُلُ بِذُنُوبِهِ؟ قالَ: إذا بَلَغْتَ الأرْبَعِينَ فَخُذْ حِذْرَكَ

Maksudnya: “Bilakah seseorang itu akan dihukum akibat dosa yang dilakukan?” (Masruq) berkata: “Ketika seseorang itu sudah sampai umur 40 tahun.”

  1. Umur 40 tahun adalah detik Allah mengarahkan malaikat penjaga lebih tegas dan tidak melepaskan satu pun amal perbuatan kita. Semuanya dicatat dan dibalas.

Imam al-Suyuti juga menukilkan hadith yang direkodkan oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitab al-Hada’iq, daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A bahawa:

جاءَ جِبْرِيلُ إلى النَّبِيِّ ﷺ فَقالَ: إنَّ اللَّهَ أمَرَ الحافِظِينَ فَقالَ لَهُما ارْفُقا بِعَبْدِي في حَداثَتِهِ، فَإذا بَلَغَ الأرْبَعِينَ فَاحْفَظا وحَقِّقَا

Maksudnya: “Jibril datang kepada Nabi SAW lantas berkata: “Sesungguhnya Allah SWT mengarahkan sekalian malaikat Hafazah dan berkata kepada setiap dua malaikat yang berada di setiap manusia: “Berlembutlah dengan hamba-Ku ketika dia masih muda, berilah peluang, apabila sampai umurnya 40 tahun, maka catat semua yang dia lakukan, jangan lepaskan satu pun.”

Umur 40 tahun adalah umur yang mewajibkan manusia berbuat lebih banyak amal kebaikan dan menghimpun pahala. Jika dosa lebih banyak, pasti celaka.

Imam al-Suyuti juga membawakan yang direkodkan oleh Abu al-Fath al-Azdi daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَتَى عَلَيْهِ أرْبَعُونَ سَنَةً فَلَمْ يَغْلِبْ خَيْرُهُ شَرَّهُ فَلْيَتَجَهَّزْ إِلَى النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang sudah berumur 40 tahun tetapi kebaikannya tidak lebih banyak berbanding keburukannya, maka bersedialah untuk masuk neraka.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Tafsir bi al-Ma’thur, 7/442)

 

Hadith-Hadith Anjuran Bertongkat

Hadith-hadith anjuran bertongkat diriwayatkan menerusi pelbagai jalur yang saling menyokong dan menguatkan antara satu sama lain. Kami bawakan di sini sebahagian daripadanya.

Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa:

التَّوَكُّؤُ عَلَى عَصًا مِنْ أَخْلَاقِ الْأَنْبِيَاءِ، كَانَ لِرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَصًا يَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا، وَيَأْمُرُنَا بِالتَّوَكِّي عَلَى الْعَصَا

Maksudnya: “Berpegang pada tongkat adalah salah satu akhlak para Nabi. Rasulullah SAW berpaut pada tongkat, dan baginda mengarahkan kami agar bertongkat juga.”

Riwayat Abu al-Syeikh di dalam Akhlaq al-Nabi (764) dan Ibn ‘Adi di dalam al-Kamil (8/101)

Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

حَمْلُ الْعَصَا عَلَامَةُ الْمُؤْمِنِ وَسُنَّةُ الْأَنْبِيَاءِ

Maksudnya: Memegang tongkat adalah ciri orang beriman dan sunnah para Nabi.

Riwayat al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus (2750)

Mu’az bin Jabal R.A meriwayatkan bahawa dikatakan Rasulullah SAW bersabda:

إِنْ أَتَّخِذْ مِنْبَرًا فَقَدِ اتَّخَذَهُ أَبِي إِبْرَاهِيمُ، وَإِنْ أَتَّخِذِ الْعَصَا فَقَدِ اتَّخَذَهَا أَبِي إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَامُ

Maksudnya: “Sungguh aku akan membuat mimbar kerana ia juga dibuat oleh bapaku Ibrahim AS, dan sungguh aku akan memakai tongkat kerana ia juga dipakai oleh bapaku Ibrahim AS.”

Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (20/167)

 

Tongkat Mengingatkan Diri Sudah Tua

Umur 40 lebih mendorong kita supaya mengenang kematian, betapa hidup di dunia ini adalah sementara dan kewajiban menyediakan bekal amalan soleh untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi. Imam al-Qurtubi menyatakan faedah bertongkat untuk membantu perkara ini ketika menafsirkan firman Allah SWT:

قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّؤُاْ عَلَيۡهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَـَٔارِبُ أُخۡرَىٰ

Maksudnya: “Nabi Musa berkata, “Ini adalah tongkatku. Aku bersandar padanya ketika berjalan dan aku memukul daun-daun supaya jatuh untuk dijadikan makan kambingku, dan ia berfaedah bagiku untuk keperluan-keperluan yang lain.”

(Surah Taha: 18)

Imam al-Qurtubi mengatakan: “Antara faedah tongkat adalah mengingatkan diri akan mati dan berpindah ke alam akhirat. Sebahagian golongan zuhud kerap bertongkat dan mengatakan tujuannya adalah untuk sentiasa sedar bahawa dunia ini sekadar tempat persinggahan yang sementara dan bakal binasa. Tongkat merupakan alat seorang yang berkelana. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 11/189)

Para pujangga Arab mendendangkan budaya bijak pandai ini dengan mengatakan:

حَمَلْتُ الْعَصَا لَا الضَّعْفُ أَوْجَبَ حَمْلَهَا … عَلَيَّ وَلَا أَنِّي تَحَنَّيْتُ مِنْ كِبَرْ

وَلَكِنَّنِي أَلْزَمْتُ نَفْسِيَ حَمْلَهَا … لِأُعْلِمَهَا أَنَّ الْمُقِيمَ عَلَى سَفَرْ

Daku memegang tongkat bukan kerana lemah,

Daku memegang tongkat bukan jua kerana bongkok renta

Akan tetapi aku bertongkat supaya diriku sentiasa,

Ingat bahawa aku seorang yang gelandangan yang berkelana.”

Antara tokoh hebat yang bertongkat walaupun belum berusia tua, tidak memerlukan tongkat dan tidak lemah, antaranya adalah Imam al-Syafi’i sendiri. Ada seseorang pernah bertanya kepada Imam al-Syafi’i: “Mengapa tuan kerap bertongkat sedangkan tuan bukanlah seorang yang lemah?” Beliau menjawab: “Supaya aku sentiasa ingat dan sedar diri bahawa aku ini seorang musafir di dunia ini.” (Lihat Adab al-Syafi’i wa Manaqibuhu, 2/170)

Maka jelaslah peranan bertongkat yang boleh membantu untuk menimbulkan kesedaran mengingati hidup sementara di dunia khususnya ketika umur semakin meningkat dan menjelang senja.

Dianjurkan Bertongkat di sisi Ahli Sufi

Syeikh Abdul Qadir al-Jilani menjelaskan: “Antara adab seorang salik adalah dianjurkan kepadanya untuk sentiasa bertongkat sepanjang dalam perjalanannya menuju Allah di atas muka bumi, dan tidak meninggalkannya.

Maimun bin Mahran berkata: “Bertongkat adalah sunnah para Nabi dan petanda bagi orang-orang Mukmin.”

Hasan al-Basri berkata: “Pada bertongkat ada enam faedah:

  • Sunnah para Nabi,
  • Aksesori orang-orang soleh,
  • Senjata melawan musuh,
  • Alat pembantu orang-orang lemah,
  • Mendatangkan kerisauan kepada orang-orang munafik,
  • Penambah kepada amalan kebaikan.

Dikatakan juga sekiranya orang beriman memegang tongkat, maka syaitan akan lari daripada mereka. Orang-orang munafik dan jahat juga akan tunduk akur kepadanya. Tongkat menjadi ditancapkan di arah kiblat ketika seseorang bersolat, dan bakal menjadi kekuatan bagi seseorang ketika lemah. Padanya terdapat kebaikan yang terlalu banyak.” (Lihat al-Ghunyah li Talibi Tariq al-Haq, 1/82)

Anjuran Memakai Tongkat ketika Berumur 40 Tahun

Walau bagaimana pun, kami tidak menemui mana-mana dalil berupa ayat al-Quran, atau hadith Nabi SAW mahupun kalam ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah yang menganjurkannya secara khusus ketika berumur 40 tahun.

Setakat yang kami temui adalah sebuah kata-kata yang didakwa sebagai hadith masyhur namun kata-kata ini termaktub di dalam kitab aliran Syiah iaitu:

مَنْ بَلَغَ الأَرْبَعِينَ وَلَمْ يُمْسِكِ العَصَا فَقَدْ عَـصَى

Maksudnya: “Sesiapa yang sudah mencapai umur 40 tahun namun tidak memegang tongkat, maka dia cenderung bermaksiat.

(Lihat Risalah fi al-Sair wa al-Suluk oleh Bahr al-Ulum, hal. 33)

Hadith ini tidak memiliki sebarang sanad di dalam mana-mana kitab Hadith yang muktabar, melainkan ia hanya dinukilkan dan didakwa sebagai hadith semata di dalam kitab tersebut. Hadith ini dinilai sebagai hadith Maudu’ (palsu) oleh Imam al-’Ajluni. (Lihat Kasyf al-Khafa’, 1/369)

Ulama Syiah sendiri tidak memahami perkataan di atas secara zahir dan literal, atau menganjurkan penggunaan tongkat khusus ketika berumur 40 tahun menggunakan hadith di atas. Mereka memahaminya secara kiasan. Ilmuan Syiah, al-Sayyid Mustafa al-Khomeini mengatakan: “Maksudnya adalah sesiapa yang tidak berjalan secara berhati-hati dengan tongkat takwa di atas bumi sepanjang menjalani kehidupan beragama, maka dia akan cenderung terjerumus dalam kemaksiatan.” (Lihat al-‘Awa’id wa al-Fawa’id, hal. 47)

Selain itu, ada diriwayatkan juga hadith berikut:

مَنْ خَرَجَ فِي سَفَرٍ وَمَعَهُ عَصَا أَمَنَهُ اللهُ مِنْ كُلِّ سَبُعٍ ضَارٍّ، وَمَنْ بَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً عُدِلَ لَهُ ذَلِكَ مِنَ الْكِبْرِ وَالْعُجْبِ

Maksudnya: “Sesiapa yang keluar bermusafir dan membawa tongkat, maka Allah akan memelihara dirinya daripada setiap haiwan buas yang berbahaya. Sesiapa yang bertongkat ketika berumur 40 tahun, maka dengannya akan dihapuskan rasa sombong dan bangga diri.”

Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan penilaian Imam al-Suyuti bahawa hadith di atas juga merupakan hadith Maudhu’ (palsu). (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyah, hal. 123-124)

Kesimpulan

Tiada sebarang dalil yang sahih berkenaan anjuran memakai tongkat ketika berumur 40 tahun. Yang ada adalah anjuran bertongkat secara umum tanpa mengira usia sepertimana yang diriwayatkan di dalam hadith-hadith. Para ulama silam juga ada yang bertongkat sejak usia muda.

Namun, adat kebiasaan di kebanyakkan tempat zaman kini melazimkan tongkat merupakan aksesori lelaki dewasa khususnya lelaki yang mula menjelang pertengahan usia dan lelaki yang sudah tua. Manakala, orang yang berumur 40 tahun pula telah sampai kepada fasa tersebut sepertimana yang disebutkan di atas.

Maka, pemakaian tongkat bagi mereka untuk membantu agar lebih mengingatkan tentang kematian dan negeri akhirat adalah dibenarkan; sekiranya pemakaian tongkat itu tidak membawa kepada perasaan riya’, sombong, bangga diri dan suka menjadi perbualan orang ramai.

Kami nasihatkan agar:

  • Sentiasa melazimi ibadah dan amal ketaatan sementara masih berbaki usia
  • Menghindari sifat-sifat yang mazmumah (tercela) seperti sombong, bangga diri
  • Melaksanakan sunnah Rasulullah SAW dalam akidah, ibadah dan akhlak adalah keutamaan. Manakala, mencontohi penampilan luaran baginda adalah tambahan
  • Sentiasa ingat mati dan mengenang tempat kembali iaitu negeri akhirat yang kekal abadi.

Kami akhiri dengan doa yang merupakan sambungan kepada ayat yang disebut di awal penulisan ini:

رَبِّ أَوۡزِعۡنِیۤ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِیۤ أَنۡعَمۡتَ عَلَیَّ وَعَلَىٰ وَ ٰ⁠لِدَیَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَـٰلِحࣰا تَرۡضَىٰهُ وَأَصۡلِحۡ لِی فِی ذُرِّیَّتِیۤۖ إِنِّی تُبۡتُ إِلَیۡكَ وَإِنِّی مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِینَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Dorongkan daku supaya tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau kurniakannya kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku, juga supaya aku tetap mengerjakan amalan soleh yang Engkau redhai. Kurniakanlah kepadaku kebaikan yang mengalir sampai kepada zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku termasuk golongan yang menyerah diri kepada-Mu.”

(Surah al-Ahqaf: 15)

Wallahu a‘lam.