#6156: Solat Qadha’ Sepertiga Malam Dikira Tahajjud?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya, kalau seseorang bangun malam dan melakukan  sembahyang qadha’, adakah dikira dia bangun Tahajjud?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menghidupkan waktu malam dengan amal ibadah terutamanya solat-solat Sunat semisal solat Tahajjud dan lain-lain ibadah adalah suatu amalan sunat yang sangat dianjurkan di sisi syara’. Allah SWT berfirman:

وَمِنَ ٱلَّیۡلِ فَتَهَجَّدۡ بِهِۦ نَافِلَةࣰ لَّكَ عَسَىٰۤ أَن یَبۡعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامࣰا مَّحۡمُودࣰا

Maksudnya: “Dan pada sebahagian malam maka bertahajudlah kamu pada waktu tersebut sebagai ibadah tambahan bagimu. Moga Tuhanmu akan membangkitkan kamu pada hari akhirat nanti sebagai pemberi syafaat kepada manusia.”

(Surah al-Isra’: 79)

Imam al-Baghawi menafsirkan ayat ini seraya berkata: “Maksud ayat ini adalah bangunlah dari tidurmu (dan laksanakanlah solat), kerana solat Tahajjud tidak terjadi (dengan lebih sempurna) melainkan selepas bangun daripada tidur. Dalam tradisi Arab, kita katakan: tahajjada maksudnya dia bangun selepas dia tidur. Manakala kita sebut hajada untuk memaksudkan: dia sedang tidur.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/115)

Dalam masa yang sama, menunaikan solat-solat yang pernah ditinggalkan merupakan suatu kefarduan dan hutang kepada Allah SWT yang wajib dilangsaikan. Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلاةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ : وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa dan tertinggal solat, maka hendaklah dia melaksanakan solat tersebut sejurus sahaja mengingatinya. Tiada penebus selain itu. Allah SWT berfirman: “Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Taha: 14).”

Riwayat al-Bukhari (597) dan Muslim (684)

Imam al-Muzani menukilkan nas Imam al-Syafi’i yang berdalilkan hadith di atas ini, Imam al-Syafi’i berkata: “Seseorang yang meninggalkan solat, hendaklah dia mengqadha’ solat tersebut pada mana-mana waktu, tiada waktu larangan untuk melaksanakan solat qadha’ berdasarkan hadith di atas ini.” (Lihat Mukhtasar al-Muzani, 113)

Solat Qadha’ di Pertengahan Malam

Ringkasnya seseorang yang melaksanakan solat qadha’ di pertengahan malam tetap akan mendapat pahala qiyamullail iaitu menghidupkan malam dengan ibadah menurut mazhab al-Syafi’i.

Imam al-Bujairimi menukilkan fatwa Imam al-Qalyubi: “Pahala qiyamullail tetap diperoleh sekalipun seseorang itu berada pada malam hari (untuk qiyamullail) dan melaksanakan solat fardu, sekalipun solat qadha’, atau solat yang diwajibkan kerana nazar, atau solat sunat yang mempunyai masa tertentu seperti solat sunat Isya’ dan solat witir.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib atau Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 1/418)

Solat Sunat Tahajjud adalah Ibadah Khusus

Solat Sunat Tahajjud adalah ibadah khusus kerana ia merupakan solat sunat atau solat nafilah yang berstatus maqsudah. Ini bermakna, perlaksanaan solat Tahajjud itu dimaksudkan untuk diri solat itu sendiri.

Imam Ibn Hajar al-Haitami mentakrifkan solat Tahajjud ketika mensyarahkan kata-kata Imam al-Nawawi: “[Imam al-Nawawi berkata: Solat Tahajjud hukumnya sunat] di sisi ijma’. Ia (Tahajjud) adalah melaksanakan solat sunat atau nafilah pada waktu malam selepas bangun daripada tidur.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/245)

Qiyamullail pula ertinya lebih umum berbanding Solat Sunat Tahajjud.

Solat Sunat Tahajjud adalah ibadat tersendiri yang mempunyai waktu dan niat yang tersendiri. Manakala qiyamullail pula adalah perbuatan menghidupkan malam dengan apa-apa sahaja ibadat, sama ada solat, berzikir, membaca al-Quran, berdoa dan sebagainya. Solat Sunat Tahajjud adalah salah satu daripada ibadat qiyamullail.

Kembali kepada soalan, kami nyatakan: menggabungkan solat qadha’ yang berstatus fardu dengan solat sunat Tahajjud yang berstatus solat sunat maqsudah adalah tidak dibolehkan sepertimana yang difatwakan oleh ulama mazhab al-Syafi’i.

Imam Sa’id bin Muhammad Ba ‘Isyn berkata ketika mensyarahkan bab niat solat: “Menggabungkan niat di antara dua solat fardhu, atau dua solat sunat, antara solat fardhu dengan solat sunat khusus (maqsudah) hukumnya adalah tidak boleh, ia membatalkan niat dan ibadat tersebut tidak sah.” (Lihat Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta’lim, hal. 196)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa jika seseorang itu melakukan solat qadha’ pada pertengahan malam selepas bangun tidak dikira ia melakukan solat Tahajjud. Ini kerana solat tahajjud termasuk dalam solat sunat maqsudah dan ia hendaklah dilaksanakan secara berasingan demi kesempurnaan ibadat tersebut.

Kami menasihatkan agar mengutamakan perlaksanaan solat-solat qadha’ bagi solat yang diyakini tertinggal kerana ia merupakan hak Allah SWT yang lebih utama untuk dilangsaikan.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

لَا تُقْبَلُ نَافِلَةُ الْمُصَلِّي حَتَّى يُؤَدِّيَ الْفَرِيضَةَ

Maksudnya: “Solat Sunat tidak akan diterima sehinggalah seseorang melaksanakan solat-solat fardu terlebih dahulu.”

Riwayat al-Baihaqi (4061)

Di samping itu, kita dianjurkan agar memperbanyakkan ibadat-ibadat sunat seperti solat sunat supaya dapat menampung kekurangan dan kelemahan sepanjang melaksanakan ibadat fardu.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْئًا قَالَ الرَّبُّ سُبْحَانَهُ اُنْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلُ بِهِ مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ

Maksudnya: “Sekiranya seseorang itu mempunyai apa-apa kekurangan dalam melaksanakan ibadat fardu, Tuhan Maha Suci akan bertitah: “Lihatlah, apakah hamba-Ku ini ada melakukan amalan sunat untuk menampung kekurangannya dalam amalan fardu tersebut.”

Riwayat al-Nasa’i (465), Abu Daud (864), al-Tirmizi (413)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى شُكْرِكَ، وَذِكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, bantulah kami untuk mensyukuri nikmat-Mu, sentiasa mengingati-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan cara yang terbaik.”

Riwayat Ahmad (7969)

Wallahu a‘lam.