#6161: Anak Lelaki Menjadi Wali Nikah Ibu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, menurut mazhab al-Syafi’i, anak lelaki boleh atau tidak untuk menjadi wali nikah ibunya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Syariat Islam menganjurkan pernikahan dan perkahwinan.

Allah SWT berfirman:

وَأَنكِحُوا۟ ٱلۡأَیَـٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰلِحِینَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ وَإِمَاۤىِٕكُمۡۚ إِن یَكُونُوا۟ فُقَرَاۤءَ یُغۡنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمࣱ

Maksudnya: Dan kahwinkanlah mereka yang bujang dalam kalangan kamu dan juga golongan hamba lelaki dan perempuan kamu yang soleh. Sekiranya mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas Kurniaan-Nya, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Nur: 32)

Imam al-Baghawi menafsirkan ayat di atas: “Ayat ini menyatakan bahawa hukum asal bernikah adalah sunat dan dianjurkan. Sesiapa yang berkemampuan zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia meneruskan tekad perkahwinan tersebut. Sesiapa yang boleh mampu, maka hendaklah dia menahan diri dan memelihara kehormatan.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 6/38)

Kewujudan wali adalah wajib semasa akad nikah, bahkan merupakan salah satu rukun nikah. Tanpa kehadiran wali, sebuah nikah menjadi tidak sah. Perkahwinan seseorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diakadkan oleh walinya. Seseorang perempuan tidak boleh dikahwini tanpa wali, dia tidak boleh mengahwinkan dirinya sendiri atau mengahwinkan orang lain sama ada dengan izin atau tidak, walaupun terdapat ijab dan kabul daripada perempuan tersebut, tanpa wali.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Abu Musa al-Asy’ari R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ

Maksudnya: “Tidak sah nikah melainkan dengan kehadiran wali.”

Riwayat Abu Daud (2085)

Begitu juga hadith Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ وَلاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya: “Seseorang perempuan tidak boleh mengahwinkan perempuan lain dan tidak boleh mengahwinkan dirinya sendiri.”

Riwayat Ibn Majah (1882)

Imam Ibn Raslan berkata: “Hadith “Tiada nikah melainkan dengan (kehadiran) wali”, al-Qadhi ‘Iyadh berpendapat bahawa perkataan la (لَا) di situ berstatus mujmal kerana ia mempunyai dua kebarangkalian, sama ada bermakna menafikan kesempurnaan pahala nikah atau menafikan kesahihan status nikah. Majoriti ulama berpendapat bahawa kalimat la di situ menafikan kesahihan status nikah secara keseluruhan, maknanya, menikahkan perempuan hanya tugas dan hak wali yang mursyid iaitu berkemampuan mendidik dan menginginkan kebaikan kepada diri perempuan itu, serta bukan orang yang fasik.” (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 9/349)

Anak Kandung Lelaki Tidak Layak Menjadi Wali

Anak kandung lelaki tidak layak menjadi wali nikah ibunya atas dasar hubungan anak-beranak semata-mata menurut pendapat muktamad mazhab al-Syafi’i di dalam kitab-kitab mazhab yang muktabar.

Imam ‘Abdullah bin Muhammad Ba Saudan berdendang di dalam Dha’u al-Misbah fi Ahkam al-Nikah, sebuah teks pengajian Fiqh Munakahat yang popular di Tarim, Yaman:

وَلَا حَظَّ لِلْإِبْنِ الَّذِي لَيْسَ قَاضِيًا      وَلَا إِبْنِ عَمٍّ فِي قَبِيلَتِهِ الَّتِي فَرْدِ

“Tidak ada hak wali bagi anak kandung lelaki yang bukan seorang wali hakim,

bukan juga anak kepada sepupu sebelah bapanya, jika dia seorang sahaja layak.”

(Lihat Zaitunah al-Ilqah Syarh Dhau’ al-Misbah, hal. 147-148)

Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menyatakan: “Dan tiada sah anak (kandung lelaki) itu (menjadi) akan wali (untuk pernikahan) ibunya, pihak anaknya (dari sudut dirinya sebagai seorang anak, atas dasar hubungan anak-beranak).” (Lihat Idhah al-Bab li murid al-Nikah bi al-Sawab, hal. 13)

Mengapa Keluarga Belah Ibu Tidak Berkelayakan

Imam Muhammad bin Ahmad ba Fadhl menegaskan perkara ini: “Anak lelaki tidak boleh mengahwinkan ibunya (jika) semata-mata atas dasar hubungan anak-beranak.” (Lihat al-’Uddah wa al-Silah fi Ahkam al-Nikah, hal. 27)

Imam Abdullah bin ‘Umar ba Makhramah menjelaskan sebab bagi pernyataan di atas: “Hal ini kerana tidak ada penisbahan nasab antara anak kandung lelaki tersebut dengan ibunya, maka keadaan yang demikian tidak membolehkan dia (menjadi wali yang mengizinkan untuk) menghalalkan sesuatu hubungan (pernikahan). Atas dasar yang sama juga, hak wali tidak diberikan kepada saudara-mara sebelah ibu.” (Lihat Misykat al-Misbah fi Syarh al-’Uddah wa al-Silah, hal. 155)

Syariat Islam menetapkan bahawa tingkatan kelayakan untuk menjadi wali didominasi oleh bapa, datuk dan saudara-mara sebelah bapa kerana mereka merupakan tunjang dalam penisbahan nasab.

Beberapa Keadaan Anak Lelaki Menjadi Wali Nikah Ibunya

Namun, para fuqaha’ mazhab al-Syafi’i antaranya Imam Abdullah bin ‘Umar ba Makhramah menyatakan bahawa terdapat sebab-sebab lain yang melayakkan anak kandung lelaki tersebut layak menjadi wali nikah ibunya, iaitu dalam keadaan seperti berikut:

  1. Jika anak kandung lelaki tersebut, adalah anak kepada sepupu sebelah lelaki

Contohnya, jika anak kandung lelaki tersebut dalam masa yang sama adalah anak kepada anak bapa saudaranya sebelah bapanya (berlaku apabila perempuan tersebut menikahi sepupu sebelah bapa, atau sepupu sebelah bapa melakukan wat’i syubhah bersamanya dan melahirkan anak lelaki) dan ketika ketiadaan wali akrab sebelumnya. Hanya anak kandung lelaki itu sahaja yang berhak menikahkannya, maka dibolehkan atas dasar ‘asabah.

  1. Jika anak kandung lelaki tersebut adalah wali hakim di tempat ibunya

Atas dasar wali ‘am. Misalnya, anak tersebut adalah wali hakim di wilayah ibunya ingin bernikah, sedangkan ibunya itu termasuk dalam kategori perempuan yang perlu dinikahkan melalui wali hakim. Maka, anak kandung lelaki tersebut boleh menikahkan ibunya atas dasar dirinya sebagai wali hakim bukan anak lelakinya.

  1. Jika anak kandung lelaki tersebut adalah orang yang memerdekakan ibunya yang berstatus hamba

Contohnya, anak tersebut adalah tuan kepada ibunya kemudian anak itu memerdekakan ibunya yang berstatus hamba, anak lelaki itu digelar mu’tiq (الْمُعْتِقُ), sedangkan ibunya ketika itu termasuk dalam kategori perempuan yang perlu dinikahkan melalui wali atas sebab perhambaan. Maka anak lelaki kandung tersebut berhak menjadi wali atas dasar dirinya sebagai tuan yang memerdekakan.

  1. Jika anak kandung lelaki tersebut diwakilkan oleh wali untuk menikahkan ibunya

Apabila seseorang wali yang berhak mewakilkan kepada anak kandung lelaki perempuan tersebut untuk menikahkan ibunya itu. Maka, anak lelaki tersebut boleh menjadi wali nikah ibunya atas dasar al-wakalah atau perwakilan.

(Lihat Misykat al-Misbah fi Syarh al-’Uddah wa al-Silah, hal. 155-156)

Sebahagian ulama menghimpunkan keempat-empat keadaan ini dalam bait-bait syair untuk mudah dihafaz dan diingat seperti berikut:

الِابْنُ يُمْنَعُ مِنْ تَزْوِيجِ وَالِدَةٌ     إِلَّا بِأَرْبَعِ أَحْكَامٍ ظَفَرْتَ بِهَا

قُرْبٌ وَوَلَاءٌ وَتَوْكِيلُ الْوَلِيِّ     كَذَاكَ حُكْمٌ فَكُنْ لِلْعِلْمِ مُنْتَبِهَا

“Anak kandung lelaki tidak boleh jadi wali nikah si ibu,

Kecuali ketika empat keadaan, kau beruntung dapat tahu

Kerana: kekerabatan, hak wali (wali hakim dan wali hamba), dan wali mewakilkannya,

Demikianlah hukumnya, engkau mesti cerdas menyedarinya.”

(Lihat Munyah al-Faqih al-Nuhum fi Masa’il wa Dhawabit al-Fiqh al-Manzum, hal. 231)

Mazhab Lain yang Membenarkan

Manakala, ketiga-tiga mazhab yang lain iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali pula membenarkan anak kandung lelaki menjadi wali nikah untuk ibunya.

Mereka berdalilkan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.Anha bahawa ‘Umar atau ‘Amr bin Abu Salamah menjadi wali bagi pernikahan ibunya, Ummu Salamah dengan Rasulullah SAW:

أَنَّ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا خَطَبَ أُمَّ سَلَمَةَ قَالَتْ: لَيْسَ أَحَدٌ مِنْ أَوْلِيَائِي شَاهِدٌ، فَقَال صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْ أَوْلِيَائِكِ شَاهِدٌ وَلاَ غَائِبٌ يَكْرَهُ ذَلِكَ، فَقَالَتْ لاِبْنِهَا عَمْرِو بْنِ أُمِّ سَلَمَةَ: يَا عَمْرُو قُمْ فَزَوِّجْ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW ketika meminang Ummu Salamah, Ummu Salamah menjawab: “Akan tetapi, tiada seorang pun dalam kalangan para waliku yang kayak ada di sini.” Nabi SAW membalas: “Tidak akan ada seorang pun dalam kalangan walimu sama ada yang hadir di sini atau tiada di sini akan menolak lamaran ini.” Maka, Ummu Salamah berkata kepada anak lelakinya, ‘Amru: Wahai ‘Amr, bangunlah dan nikahkanlah Rasulullah SAW.”

Riwayat Ahmad di dalam al-Musnad (26529)

Manakala, para ulama mazhab al-Syafi’i telah menjawab hujah ini, mereka menyenaraikan beberapa poin bantahan bagi membantah pengamalan zahir hadith ini seperti berikut:

  • Rasulullah SAW tidak memerlukan wali untuk bernikah, ini keistimewaan khusus baginda seorang sahaja.
  • Ummu Salamah mengatakan sedemikian untuk menenangkan dan menggembirakan jiwa anaknya, iaitu ‘Umar bin Abu Salamah sahaja
  • ‘Umar bin Abu Salamah adalah anak kepada sepupu Ummu Salamah sebelah bapa, maka dia layak menjadi wali atas dasar ‘asabah
  • Ummu Salamah tetap meminta Rasulullah SAW agar merujuk kepada wali untuk menikahkan dirinya, tidak terus menjadikan anaknya sebagai wali. Tambahan pula, anaknya itu masih kecil dan belum baligh.

Kesimpulan

Kami cenderung kepada pendapat muktamad dan rasmi mazhab al-Syafi’i bagi menjawab isu di atas, bahawa anak lelaki tidak boleh menjadi wali kepada ibunya.

Sidang pengarang al-Fiqh al-Manhaji turut menyebut: Anak lelaki dan cucu lelaki daripada anak lelaki tidak boleh menjadi wali dalam perkahwinan. Oleh itu, sebagai seorang anak, dia tidak boleh menjadi wali kepada ibunya sendiri kerana tiada persamaan nasab antara keduanya. Hal ini adalah kerana mereka dinasabkan kepada bapa masing-masing. Anak lelaki bapa saudara boleh menjadi wali kepada ibu saudaranya sekiranya tiada wali yang lebih hampir untuk mengahwinkan ibu saudaranya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/63)

Oleh yang demikian, si ibu tersebut hendaklah menuruti tangga kelayakan wali sepertimana yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam di negeri-negeri serta mematuhi setiap prosedur pernikahan dan pendaftaran perkahwinan demi kebaikan dan kemaslahatan semua pihak.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَزِدْنَا عِلْما

Maksudnya: “Ya Allah, ajarkanlah kami ilmu yang memberi manfaat buat kami, dan manfaatkanlah apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami dan tambahkanlah ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.