Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya suka dengar ceramah di YouTube, adakah saya mendapat ganjaran “taman syurga”?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Allah SWT berfirman:
وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِینَ یَدۡعُونَ رَبَّهُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِیِّ یُرِیدُونَ وَجۡهَهُۥۖ وَلَا تَعۡدُ عَیۡنَاكَ عَنۡهُمۡ تُرِیدُ زِینَةَ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُۥ فُرُطࣰا
Maksudnya: “Tetapkanlah dirimu bersama orang yang berdoa kepada Tuhan mereka di waktu pagi dan waktu petang semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Jangan kamu memalingkan pandanganmu daripada mereka kerana mengejar perhiasan dunia. Janganlah pula kamu taat kepada orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami lalu dia mengikut hawa nafsunya dan segala urusannya melampaui batas.”
(Surah al-Kahfi: 28)
Imam al-Suyuti berkata: “al-Hakim al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Sa’id bin Jubair menafsirkan ayat “orang yang berdoa kepada Tuhan mereka di waktu pagi dan waktu petang” adalah orang-orang yang berada di dalam majlis mempelajari ilmu berkenaan halal dan haram (hukum-hakam agama).” (Lihat al-Durr al-Manthur, 5/383)
Taman-taman Syurga adalah majlis ilmu yang bermanfaat serta majlis-majlis zikir munajat mengingati Allah, mengagungkan dan membesarkan-Nya.
Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَرَرْتُمْ بِرِيَاضِ الْجَنَّةِ فَارْتَعُوا. قَالُوا: وَمَا رِيَاضُ الْجَنَّةِ؟ قَالَ: حِلَقُ الذِّكْرِ.
Maksudnya: “Apabila kalian melintasi taman-taman syurga, maka singgahlah ia.” Para sahabat bertanya: “Apakah taman-taman syurga itu?” Baginda menjawab: Majlis-majlis zikir.”
Riwayat al-Tirmizi (3510), beliau menilai hadith ini Hasan Gharib
Imam al-Syaukani turut menyatakan bahawa ada juga jalur lain yang diriwayatkan di dalam Musnad oleh Imam Ahmad bin Hanbal, dan Syu’ab al-Iman oleh Imam al-Baihaqi. Imam al-Munawi mengatakan: “Dengan banyaknya bilangan jalur sanad bagi hadith ini, meningkatkan martabatnya kepada darjat kesahihannya.” (Lihat Qatr al-Wali ‘ala Hadith al-Wali, hal. 380)
Maksud Taman Syurga
Imam Mulla Ali al-Qari menyatakan bahawa sebahagian ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan majlis zikir sebagai taman syurga adalah majlis berzikir secara hakiki iaitu sekumpulan orang ramai yang menyebut lafaz tasbih, tahmid, takbir dan tahlil. Sebahagian ulama lagi menyatakan bahawa yang dimaksudkan adalah majlis ilmu berkenaan perbahasan halal dan haram. Menurut beliau, yang tepatnya adalah hadith ini bersifat umum dan kedua-dua makna di atas merupakan taman-taman syurga yang dimaksudkan. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 4/1553)
Imam ِAbd al-Ra’uf al-Munawi pula menegaskan makna majlis zikir sebagai majlis ilmu: “Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan taman syurga adalah majlis ilmu yang membicarakan soal (fiqh) halal dan haram. Manakala, Imam al-Ghazali berkata bahawa yang dimaksudkan adalah majlis-majlis yang membincangkan soal akhirat, iaitu ilmu berkenaan Allah, tanda-tanda keagungan-Nya, aturan-Nya terhadap sekalian makhluk-Nya.” (Lihat Faid al-Qadir fi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/442)
Maka, taman-taman syurga yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW adalah:
- Majlis zikir berupa bacaan tasbih, tahmid, tahlil, takbir dan selawat
- Majlis ilmu yang mengingatkan kita kepada hukum Allah; sama ada ilmu Quran, ilmu Hadith, ilmu Fiqh, ilmu Tasawuf dan pelbagai cabang ilmu keagamaan.
Hadir Majlis Ilmu menerusi YouTube
Kami berpendapat bahawa orang yang menghadiri majlis ilmu dan majlis zikir menerusi maya atau atas talian, menggunakan aplikasi Youtube atau apa jua wahana media sosial; tetap mendapat ganjaran berada di taman syurga sepertimana yang terdapat di dalam hadith.
Hal ini kerana, arahan hadith adalah فَارْتَعُوا (farta‘u) yang berasal daripada perkataan al-Rat‘, al-Fairuzabadi mentakrifkannya sebagai: makan, minum atau ambil sahaja sebanyak-banyaknya di tempat yang luas dan beraneka nikmat. (Lihat al-Qamus al-Muhit, hal. 720)
Arahan sebenar hadith ini adalah ambillah sebanyak-banyaknya benih-benih dan buah-buahan ilmu, zikir serta ibadah semampunya, untuk masuk ke dalam syurga dalam menanam benih tersebut di tanahnya yang luas. (Lihat Mir’ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 7/406)
Mengambil faedah ilmu sebanyak-banyaknya tidak terhad kepada orang yang hadir bersemuka sahaja, bahkan boleh juga didapati oleh orang yang mendengar tanpa melihat seperti orang yang menonton siaran langsung di YouTube atau Facebook, khususnya kini di zaman perkembangan teknologi. Kita boleh mendengar dan turut serta apa-apa majlis dari jarak jauh.
Situasi yang mirip juga pernah berlaku pada zaman dahulu. Dihikayatkan oleh sejarawan bahawa ratusan ribu orang menghadiri majlis Imam Ibn al-Jauzi di kota Baghdad, sehinggakan hadirin tidak dapat melihat sosok tubuh dan hanya berpandukan suara penyampai yang berdiri di celah-celah hadirin. Mereka hanya mendengar suara penyampai yang menyampaikan kata-kata Imam Ibn al-Jauzi yang sedang berucap jauh di hadapan.
Dihikayatkan juga bahawa Imam al-Nasa’i pernah mendengar gurunya al-Harith bin Miskin menyampaikan hadith, tanpa melihat kepada wajah gurunya itu. Dikatakan Imam al-Nasa’i mendengarnya dari jauh, dari menyorok di sebalik dinding atau tiang.
Martabat Kesempurnaan Pahala
Hal ini tanpa menafikan kesempurnaan pahala hanya diperoleh oleh orang yang menghadiri majlis ilmu secara bersemuka di masjid, surau atau pusat pengajian. Merekalah yang bakal mendapat ganjaran berada di taman-taman syurga yang sempurna dan berlipat kali ganda.
Hal ini kerana mereka memenuhi elemen al-mujalasah (الْمُجَالَسَةُ) iaitu turut serta dan duduk bersama-sama secara berhadapan yang menjadi tingkatan tertinggi bagi kebersamaan dan penyertaan. Mereka berkumpul di suatu tempat yang sama dan bersama-sama secara langsung dengan sepenuh tubuh dan jiwa mereka.
Rasulullah SAW bersabda:
وَمَا اجتَمَعَ قَوْمٌ في بَيْتٍ مِنْ بُيوتِ اللهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهم؛ إلا نَزَلَتْ عليهم السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهمُ الرَّخمَةُ، وَحَفَتْهمُ المَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدهُ
Maksudnya: “Dan tidaklah sebuah kaum berhimpun di dalam salah satu rumah daripada rumah-rumah Allah (di masjid), kemudian mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya sesama mereka, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat Allah akan menyelubungi mereka, malaikat akan menaungi mereka, dan Allah akan menyebut mereka di sisi-Nya.”
Riwayat Muslim (2699)
Maka, orang yang hadir majlis ilmu di surau dan masjid akan mendapat ganjaran-ganjaran:
- Berada di taman-taman Syurga
- Beroleh sakinah (ketenangan) daripada Allah
- Diberikan rahmat kasih-sayang Allah
- Allah menyebut-nyebut nama mereka di hadapan malaikat di sisi-Nya.
Sehubungan dengan itu, kami tegaskan bahawa terdapat tingkatan martabat pahala bagi orang-orang yang hadir ke majlis ilmu, ia adalah seperti berikut:
- Ganjaran berada di suasana Taman Syurga. Ini diperoleh oleh setiap orang yang terdengar majlis-majlis ilmu dan majlis zikir, sama ada dari jauh atau dari dekat, secara bersemuka mahupun secara maya/atas-talian.
- Ganjaran berada di Taman Syurga yang sempurna disertai ganjaran diberikan ketenangan dan rahmat dari Allah, dinaungi sayap-sayap malaikat. Ini hanya diperoleh oleh orang-orang yang konsisten hadir secara bersemuka dengan sepenuh tubuh badannya di majlis ilmu, di masjid-masjid atau mana-mana pusat pengajian.
- Tidak mendapat ganjaran. Orang yang memandang remeh keperluan untuk pergi ke masjid/pusat pengajian, dan menganggap cukup sekadar berpada dengan kemudahan gajet.
Kesimpulan dan Nasihat
Kami cenderung menyatakan bahawa anda tetap beroleh keutamaan berada di taman syurga meskipun hanya mendengar atau melaziminya dari jauh menerusi YouTube atau mana-mana siaran langsung di media sosial.
Hal ini kerana gelaran “taman syurga” diberikan kepada semua majlis ilmu dan majlis zikir, maka setiap insan yang mendengar dan melihatnya, sama ada secara langsung atau secara maya; tetap dikira menyertai dan menyinggahinya, kerana mereka akan mendengar dan melihat perkara yang sama sahaja.
Namun, janganlah kemudahan ini menyebabkan kita memandang rendah kepentingan untuk pergi ke masjid, surau dan pusat-pusat pengajian ilmu untuk menuntut ilmu secara langsung daripada ahlinya, dan bersama dalam suasana para penuntut ilmu. Itu sudah pasti lebih membantu dan menguatkan kita sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
Kami menasihatkan agar:
- Sentiasa istiqamah menuntut ilmu hingga ke nafas terakhir hayat ini
- Melazimi rumah-rumah Allah iaitu masjid dan surau untuk beribadah dan menuntut ilmu
- Jangan berpada dengan kemudahan teknologi semata-mata, ilmu tidak akan dapat diperoleh dengan badan yang rehat-rehat atau santai semata.
Kami labuhkan tirai pesanan ini dengan nasihat Imam Yahya bin Abi Kathir, apabila beliau berkata:
لَا يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الْجِسْمِ
Maksudnya: “Ilmu tidak akan dapat diperoleh dengan badan yang rehat.”
Riwayat Muslim (612)
Kami jua akhiri dengan memanjatkan doa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَزِدْنَا عِلْمَا
Maksudnya: “Ya Allah, ajarkanlah kami ilmu yang memberi manfaat buat kami, dan manfaatkanlah apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami dan tambahkanlah ilmu kami.”
Wallahu a‘lam.