#6163: Kadar Dam Tertinggal Semalam Bermabit di Mina

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Semasa melaksanakan ibadat haji pada tahun ini 2024M bersamaan 1445H, kumpulan kami ada yang tertinggal satu malam untuk bermabit di Mina. Justeru, berapakah kadar dam dikenakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

(Surah Ali ‘Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 213-214)

Pada asasnya, Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita semua agar mengikuti manasik haji yang telah diajarkan dan ditunjukkan oleh Baginda SAW. Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya: “Ambillah ibadat hajimu daripadaku.”

Riwayat Muslim (1297); Abu Daud (1970); Ahmad dengan sedikit perbezaan lafaz (14419); al-Nasa’i (3062).

Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, bermalam (mabit) di Mina termasuk dalam salah satu perkara wajib haji. Hal ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang bermabit di Mina pada hari-hari tasyriq. Seseorang yang melakukan haji wajib bermabit di Mina pada malam-malam hari tasyriq yang tiga melainkan bagi mereka yang melakukan nafar awal pada hari kedua daripada hari-hari tasyriq.

Sekiranya jemaah haji meninggalkan perbuatan bermabit di Mina pada hari-hari tasyriq, maka dia dikenakan dam kerana meninggalkan perkara wajib haji sebagaimana dikenakan juga dam ke atas orang yang meninggalkan perbuatan bermabit di Muzdalifah. Bagi setiap malam yang ditinggalkan dikenakan dam sebanyak satu cupak (mud) daripada makanan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/393).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa seseorang yang meninggalkan bermabit di Mina dikenakan dam sebanyak satu cupak daripada makanan, bagi setiap malam yang ditinggalkan.

Namun, jika dia keluar dari tanah haram dan pulang ke rumahnya sebelum bermabit di Mina, tetapi kembali semula pada waktu Maghrib untuk bermalam di sana, maka dia tidak dikenakan sebarang dam. Akan tetapi perbuatan seperti itu tidak digalakkan. Sebaiknya, dia hendaklah tidak keluar dari tanah haram sebelum menyempurnakan ibadah hajinya. Inilah juga seperti mana yang disebutkan oleh guru kami Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti. Kami syorkan untuk satu malam, walaupun dikira secupak, tetapi dilebihkan sedikit dengan kadar seperti dua puluh Riyal Saudi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”