#6166: Wanita Memakai Seluar Jean

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebenarnya, bolehkah seorang wanita memakai seluar jean? Sebabnya sekarang ini, sudah ada seluar jean wanita yang longgar dan menutup aurat. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas berkenaan seluar jean terlebih dahulu. Jean ialah seluar panjang yang diperbuat daripada denim[1] yang tebal dan tahan lasak. Sebahagian jean biru Amerika Syarikat terawal dibuat oleh Jacob Davis, Calvin Rogers, dan Levi Strauss pada 1873. Bermula pada 1950-an, jean, mulanya direka untuk pekerja, menjadi popular di kalangan remaja. Jenama bersejarah termasuklah Levi’s, Lee, dan Wrangler.

Jean sekarang ini merupakan pakaian kasual yang amat popular di seluruh dunia, sudah berdekad-dekad. Jean mempunyai banyak gaya dan warna; walau bagaimanapun, “jean biru” dikaitkan dengan budaya Amerika, terutamanya American Old West.[2]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?’ Katakanlah : ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

(Surah al-A‘raf : 32)

Ayat ini merupakan hujah daripada Allah SWT bagi menolak sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan atau minuman atau pakaian menurut pendapat mereka sendiri bukannya syariat daripada Allah SWT. Perhiasan dan benda-benda yang baik ini Allah SWT telah jadikannya buat orang-orang yang beriman kepada-Nya di atas dunia, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari akhirat kelak, kenikmatan tersebut adalah khusus buat orang-orang beriman sahaja. Tidak ada seorang pun dalam kalangan orang-orang kafir yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana orang-orang kafir itu  tempat kembali mereka adalah neraka. Demikian juga, syurga itu telah diharamkan buat orang-orang kafir (dari memasukinya). (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, oleh Dr. Solah al-Khalidi, 3/1323).

Secara umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90). Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Ini kerana pemakaian suatu pakaian berkait rapat dengan sesuatu adat dan budaya masyarakat setempat. Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslim atau Muslimah. Namun, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya:Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

(Surah al-A‘raf: 26)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).

Di antara prinsip-prinsip tersebut ialah menutup aurat, wanita tidak menyerupai lelaki atau sebaliknya, tidak membawa kepada libas syuhrah (pakaian yang dilihat pelik) dan lain-lain.

Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, kami katakan bahawa pemakaian seluar jean bagi wanita adalah tidak mengapa dan diharuskan selagi mana ia masih menutup aurat (yakni tidak koyak pada bahagian aurat), tidak menampakkan warna kulit, tidak menyerupai golongan lelaki mahupun agama lain, serta pemakaian seluar jean itu tidak mencalarkan atau menjatuhkan maruahnya. Begitu juga seluar Jean tersebut tidak menampakkan bentuk tubuh dan tidak terlalu ketat.

Lebih-lebih lagi, seluar bukanlah sesuatu yang dianggap sebagai asing atau ganjil. Jika diteliti, sebenarnya pemakaian seluar telah pun wujud sejak zaman dahulu lagi. Sebagai contoh, dalam sebuah hadith ada diceritakan bahawa Nabi SAW pernah terlibat dalam urusan jual beli seluar bersama seorang sahabat. Ini sebagaimana riwayat daripada Malik bin ‘Umair, katanya:

بِعْتُ رسولَ الله صلى الله عليه وآله وسلم رِجْلَ سراويلَ قبلَ الهجرةِ، فوَزَنَ لي فأَرْجَحَ لي

Maksudnya: “Aku menjual kepada Rasulullah SAW sehelai seluar sebelum hijrah, maka Baginda menimbang untukku dan memberi kepadaku timbangan yang lebih berat.”

Riwayat Ibn Majah (2221); Ahmad (19122); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (9672) dengan sedikit perbezaan lafaz. Al-Syaukani dalam Nail al-Autar (2/102) menilainya sebagai sahih.

Selain itu, di sana terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ مَرَّتْ امْرَأَةٌ عَلَى دَابَّةٍ فَلَمَّا حَاذَتْ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَثَرَتْ بِهَا، فَأَعْرَضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَكَشَّفَتْ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عَلَيْهَا سَرَاوِيلَ فَقَالَ: رَحِمَ اللَّهُ الْمُتَسَرْوِلَاتِ

Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah SAW sedang duduk di salah satu pintu masjid, lalu seorang wanita yang sedang menunggang haiwan tunggangan melewatinya. Ketika kedudukannya berada selari dengan Nabi SAW, tiba-tiba haiwan tunggangannya tersandung lalu dia pun terjatuh. Maka, Nabi SAW pun berpaling (dari melihat wanita itu) dan wanita tadi pula tersingkap pakaiannya. Kemudian, dikatakan kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia memakai seluar (di sebalik pakaiannya).’ Baginda pun bersabda: ‘Semoga Allah merahmati para wanita  yang memakai seluar.’” (Lihat Syu‘ab al-Iman, 10/229).

Ditambah lagi, apabila zaman semakin berkembang dan berlakunya perkembangan dari sudut pakaian, fesyen dan seumpamanya, maka seluar juga tidak terlepas daripada turut mengalami perubahan tersebut, sehinggalah seluar jean dicipta dan diperkenalkan.

Selain itu, dalam mazhab al-Syafi‘i, penutupan aurat itu adalah dengan menghalang atau tidak menampakkan warna kulitnya daripada dilihat, bukannya menghilangkan bentuk badannya. Ini jelas sebagaimana dinyatakan oleh al-Hafiz al-Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya, Ithaf Sadah al-Muttaqin (3/134) bahawa aurat seorang wanita merdeka adalah seluruh badan melainkan wajah dan dua pergelangan tangan iaitu bermula daripada kepala jari jemari sampai ke pergelangan tangan. Beliau menyebutkan lagi, syarat menutup aurat adalah memakai sesuatu yang menghalang daripada dapat dilihat warna kulit bukan daripada yang menghilangkan bentuk badannya (kerana sebahagaian manusia khususnya yang gemuk sukar untuk tidak menampakkan sedikitpun daripada bentuk badannya). Maka tidak memadai pakaian nipis dan koyak kerana ia tidak menghalang untuk dilihat warna kulit melalui celah-celahannya. Begitu juga tidak memadai seseorang memakai kaca yang menampakkan warna kulit kerana tujuan menutup aurat tidak akan berlaku dengannya. Adapun jika menampakkan bentuk tubuh sahaja maka ia tidak memudaratkan tetapi bagi wanita hukumnya makruh memakai pakaian tersebut, manakala bagi lelaki hukumnya adalah khilaf al-aula. Pendapat ini juga adalah pendapat al-Mawardi dan ulama selainnya.

Begitu juga Syaikh al-Islam Zakariyya al-Ansari turut menyebutkan, tidak memadai bagi menutup aurat pakaian yang menampakkan warna kulit iaitu orang yang dapat melihat warna disebalik pakaian tersebut seperti pakaian koyak yang tidak menghalang daripada dilihat warna kulit kerana tujuan sebenar menutup aurat tidak akan berlaku tanpa menutup perkara tersebut. Tidak memudaratkan (tidak mengapa) setelah pakaian tersebut menutup warna kulit jika menampakkan bentuk badan sekalipun tetapi hukumnya adalah makruh bagi wanita dan khilaf al-Aula bagi lelaki. Perkara ini disebut oleh Imam al-Mawardi dan ulama selainnya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/176).

Bahkan Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyatakan, syarat menutup aurat ketika di dalam solat mahupun di luar solat, baik berupa pakaian ataupun bukan, mestilah meliputi seluruh anggota tubuh yang hendak ditutupi serta menutupi warnanya. Dalam erti kata lain, menutup aurat cukup atau memadai dengan sesuatu yang mencegah terlihatnya warna kulit, meskipun menampakkan lekuk/bentuk tubuh, seperti seluar yang ketat. Akan tetapi jika seluar ketat, maka makruh dipakai oleh perempuan, dan menyalahi perbuatan yang lebih utama (khilaf al-Aula) jika dipakai oleh lelaki. (Lihat al-Minhaj al-Qawim, hlm. 115).

Selain daripada itu, tidak dinafikan bahawa kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa  yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San‘ani menyatakan, hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai orang fasiq, atau orang kafir atau ahli bidaah dalam apa-apa perkara yang khusus bagi mereka sama ada pakaian, kenderaan atau cara (gerak-geri), maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai orang kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur dan ada yang berpendapat dia tidak kufur tetapi perlu diadabkan (diambil tindakan oleh pemerintah). (Lihat Subul al-Salam, 2/646-647).

Oleh itu, penyerupaan yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu identiti (yang tidak baik) atau agama. Sekiranya perkara tersebut langsung tidak berkaitan dengan perkara khusus buat mereka, maka ia tidak termasuk dalamnya seperti jenis pakaian yang berbeza mengikut adat setempat (yang tidak berkaitan dengan unsur keagamaan), budaya-budaya yang baik dan lain-lain.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang menukilkan di dalam kitabnya bahawa sebahagian salaf (ulama terdahulu) berpendapat makruh memakai burnus (sejenis jubah yang ada penutup kepala) kerana ia adalah pakaian pendeta (rahib). Sesungguhnya telah ditanyakan kepada Imam Malik mengenai perkara itu. Jawabnya, tidak mengapa. Ditanyakan lagi kepadanya, bukankah ia pakaian orang Nasrani? Jawabnya, pakaian tersebut dipakai di sini (iaitu Madinah). (Lihat Fath al-Bari, 10/272).

Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ada juga menyebutkan bahawa sekiranya kita katakan larangan menggunakan pelana yang diperbuat daripada sutera disebabkan oleh penyerupaannya dengan orang bukan Arab (al-Tasyabbuh bi al-A‘ajim). Justeru, ia merupakan maslahah agama. Akan tetapi sekalipun dahulu ia merupakan syiar mereka (orang kafir), sekarang apabila ia tidak lagi menjadi sesuatu yang khusus dalam syiar mereka, maka maknanya telah hilang (yakni tidak lagi dianggap syiar). Oleh itu, hukum makruh tersebut juga hilang. (Lihat Fath al-Bari, 10/307).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan dan tidak mengapa bagi seorang wanita untuk memakai seluar jean mahupun seluar-seluar yang lain selagi mana ia memenuhi tuntutan syarak dalam berpakaian seperti menutup aurat, tidak koyak pada bahagian aurat, tidak menampakkan warna kulit (yang aurat), tidak menyerupai golongan lelaki mahupun syiar agama lain, tidak dianggap pelik (libas syuhrah) serta pemakaian seluar jean itu tidak mencalarkan atau menjatuhkan maruahnya. Sebaik-baiknya juga biarlah seluar jean yang ingin dipakai itu longgar dan elakkanlah daripada memakai seluar jean yang ketat, sekalipun kami tidak menafikan sebahagian ulama berpendapat bahawa seluar ketat (yang menutupi warna kulit) yang dipakai oleh wanita hukumnya adalah makruh.

Lebih-lebih lagi, kini secara adat dan ‘urufnya pemakaian seluar jean khususnya di negara kita sudah menjadi pakaian yang dipakai oleh kaum lelaki dan wanita tidak kira daripada bangsa atau agama apapun. Bahkan ia adalah pakaian yang sudah diterima pakai di seluruh dunia, sebagai pakaian yang baik dan elok — jika ia selari dengan kehendak agama. Bahkan di sesetengah tempat pemakaian seluar jean diperlukan disebabkan oleh suhu yang terlampau sejuk, kerja berat yang memerlukan kepada seluar yang lasak seperti seluar jean dan hal-hal seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Denim ialah sejenis kain kapas yang kukuh dan berira hadapan di mana benang kain lalu di bawah dua atau lebih benang ira. Tenunan twil ini menghasilkan bunga serong yang membezakannya daripada kain kapas jenis duck. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Denim. Diakses pada 29 November 2023)

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Jean. Diakses pada 29 November 2023.