Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ke jika ingin mengqada’ beberapa solat dalam satu waktu? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat merupakan rukun yang penting yang perlu dijaga. solat menjadi suatu kewajipan ke atas semua umat Islam tanpa mengira jantina, bangsa mahupun pangkat. Ini termasuk juga ke atas mereka yang tidak sihat ataupun mengalami kekurangan upaya dari segi fizikal. Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah: 43)
Firman Allah SWT lagi:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah al-Nisa’: 103)
Ibn Mas’ud R.A dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi pelaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258)
Kedua-dua ayat di atas merupakan antara dalil-dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/3)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sesiapa yang meningalkan solat fardhu baik secara sengaja mahupun tidak sengaja, dia dikehendaki untuk menggantikan balik solat yang ditinggalkan tersebut. Daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلاَّ ذَلِكَ
Maksudnya: “Barang siapa yang terlupa menunaikan solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila teringat, tiada kaffarah baginya melainkan demikian itu.”
Riwayat al-Bukhari (597)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Golongan yang berpendapat bahawa seseorang yang meninggalkan solat tidak perlu mengqadhakannya berpegang dengan dalil ucapan yang terdapat di dalam hadith ini. Ini kerana, ternafinya syarat membawa kelaziman kepada ternafinya perkara yang disyaratkan. Maka menjadi kelaziman bahawa sesiapa yang tidak terlupa, dia tidak perlu solat.
Manakala golongan yang berpendapat bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja perlu untuk qadha berhujah bahawa ia diambil daripada mafhum al-khitab (mafhum di dalam hadis). Maka ia menjadi suatu tanbih (peringatan) dengan sesuatu yang rendah kepada sesuatu yang lebih tinggi. Ini kerana, apabila diwajibkan kepada orang yang terlupa untuk melakukan qadha sedangkan dosa terangkat darinya, maka adalah lebih utama untuk orang yang meninggalkannya dengan sengaja melakukan qadha.
Kata beliau lagi: Wajibnya qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja adalah berdasarkan khitab (ucapan) yang awal. Ini kerana, dia diperintahkan untuk melakukan solat serta ia menjadi suatu tanggungjawab ke atas dirinya. Maka apabila ia ditinggalkan, ia menjadi satu hutang di atas dirinya dan hutang sama sekali tidak akan gugur kecuali setelah ia dilangsaikan. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2/71).
Telah ijma’ ulama’ bahawa mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, wajib mengqadha’ solat tersebut. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 3/71).
Di sisi mazhab Syafi’i, Imam al-Nawawi memperincikan masalah ini seperti berikut: Sekiranya seseorang meninggalkan solat kerana uzur syari’i seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui had, maka sunat baginya untuk segera menqadha’ solatnya, namun sekiranya seseorang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie maka wajib baginya untuk segera menqadha’ solatnya. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 3/70-71).
Berkenaan dengan isu ini, kami berpendapat bahawa adalah dibenarkan bagi individu yang terlepas beberapa solat fardhu untuk menggantikannya dalam satu waktu. Sebagai contoh, seseorang yang terlepas solat Subuh dan Asar boleh menggantikannya pada waktu Isya. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika menggantikan solat yang terlepas sebaik sahaja dia teringat, tanpa sebarang penundaan, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith yang disebutkan sebelum ini.
Dar al-Ifta’ al-Misriyyah bahawa: boleh menunaikan solat qada’ pada bila-bila masa lebih daripada satu solat yang tertinggal. Malah, adalah wajib menggantikan solat yang tertinggal tanpa alasan secepat mungkin. Jika itu sukar, maka segeralah menggantikan solat tersebut mengikut kemampuan anda, walaupun dengan menunaikan solat qada bersama setiap solat fardu yang ditunaikan.[1]
Justeru, menggantikan solat adalah suatu kewajipan bagi sesiapa sahaja yang meninggalkannya, sama ada secara sengaja atau tidak. Ini kerana solat yang terlepas dianggap sebagai hutang kepada Allah SWT dan hutang tersebut perlu dilunaskan. Penting bagi umat Islam untuk memahami bahawa menunaikan solat adalah salah satu daripada rukun Islam yang utama, dan keengganan untuk melunaskan solat yang terlepas boleh menyebabkan seseorang itu menanggung dosa. Dalam Islam, solat adalah kewajipan yang tidak boleh diabaikan, dan memastikan solat dilaksanakan dengan sempurna adalah satu bentuk ketaatan kepada Allah SWT. Perkara ini berdasarkan hadith Nabi SAW:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”
Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)
Ingatlah bahawa Rasulullah SAW turut berpesan:
العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: “Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir.”
Riwayat Tirmizi (2621), Ahmad (22987), Ibnu Majah (1079) dan Nasa’ie (463)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 41-42)
Wallahua‘lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/fatwa/2705/%d9%87% Diakses pada 25 Jun 204