Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada baca tentang syarat sah puasa kena suci daripada haid dan nifas oleh itu saya nak tanya sah ke puasa orang yang dalam keadaan hadas janabah tetapi tidak mandi wajib langsung. Maksud saya dia puasa sahaja tak tak solat sebab hadas janabah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Puasa di dalam bulan Ramadhan merupakan asas kepada rukun Islam. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya berpuasa seperti firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah: 183)
Wanita yang mengalami haid diharamkan berpuasa dan diwajibkan menggantikan puasa fardu yang ditinggalkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Mu’azah al-‘Adawiyyah berkata:
سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلتُ: ما بَالُ الحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ، ولَا تَقْضِي الصَّلَاةَ. فَقالَتْ: أحَرُورِيَّةٌ أنْتِ؟ قُلتُ: لَسْتُ بحَرُورِيَّةٍ، ولَكِنِّي أسْأَلُ. قالَتْ: كانَ يُصِيبُنَا ذلكَ، فَنُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّوْمِ، ولَا نُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّلَاةِ.
Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada Aisyah R.Anha lantas aku berkata: Mengapakah wanita haid itu perlu menggantikan puasanya tetapi tidak menggantikan solatnya? Lantas Aisyah menjawab: Adakah kamu haruriyah (khawarij)? Aku berkata: Saya bukan seorang Haruriyah, tetapi saya hanya ingin bertanya. Kemudian Aisyah menjawab: Kami telah didatangi haid dan kami diperintahkan untuk menggantikan puasa (yang ditinggalkan kerana haid) tetapi tidak diperintahkan untuk menggantikan solat”.
Riwayat Muslim (335)
Bagi mereka yang datang haid, tidak dibenarkan untuk melakukan beberapa perkara yang biasa dilakukan ketika suci. Perkara yang dilarang dilakukan ketika haid ialah :
- Menunaikan solat sama ada solat fardu atau solat sunat
- Tawaf
- Memegang mushaf Al-Quran
- Duduk di ruangan masjid
- Membaca Al-Quran
- Puasa
- Melintasi masjid jika takut mengotorkan masjid
- Bergaul bersama suami (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, hlm. 172-175)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan puasa adalah wajib dan perlu dalam keadaan suci daripada hadas. Walaupun boleh ditangguhkan mandi wajib selepas masuk waktu Subuh, tetapi kewajiban solat tetap berlaku dan tidak sah tanpa mengangkat hadas, yakni mandi wajib. Justeru, kewajiban mandi wajib kerana solat mesti dilakukan.
Berkenaan dengan seseorang yang hanya berpuasa tanpa solat dan dibiarkan dalam keadaan berjunub, walaupun sebahagian ulama’ menganggap hukumnya sah, tetapi penerimaan di sisi Allah SWT adalah dipersoalkan. Ini kerana hadith Nabi SAW:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه
Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.”
Riwayat al-Bukhari (1770) dan (5597)
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Imam al-Baidhawi berkata: “Bukanlah maksud (tujuan) dari pensyariatan puasa itu untuk menahan diri dari lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan ia diikuti dengan memecahkan nafsu syahwat serta mentaatkan nafsu al-ammarah menuju ke arah nafsu al-mutma’innah. Sekiranya yang demikian itu tidak terhasil (melalui puasa), Allah tidak akan melihat ke arahnya dengan pandangan menerima (amalan).” (Lihat Fath al-Bari, 4/139)
Berdasarkan nas di atas juga, meninggalkan solat antara sebesar-sebesar dosa. Justeru, penerimaan pahala di sisi Allah telah tertolak. Kami telah menjawabnya berdasarkan pandangan Fadilatus Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua`lam.