#6170: Bekerja Sendiri/ Swasta Tidak Dikira Sekufu dalam Perkahwinan?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya ibu sebelah pihak perempuan tidak suka dengan calon anak mereka kerana bukan seorang pegawai Kerajaan tetapi sahabat saya itu seseorang yang menjaga agama dan rajin mencari nafkah tetapi ditolak  kerana bukan seorang pegawai kerajaan. Apakah hukumnya di situ ya kerana ibu tersebut seperti tidak yakin dengan orang yang bekerjaya sendiri dan swasta tidak layak dan mampu menjaga anak mereka. Dan apakah yang dimaksudkan dengan sekufu adakah pegawai kerajaan hanya layak untuk berkahwin dengan pegawai kerajaan sahaja? Mohon pencerahan lebih terperinci apakah yg dimaksudkan dengan sekufu dan ciri lelaki yang layak dibuat suami sebetulnya dalam Islam.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sekufu

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan mengemukakan pengertian sekufu dari sudut bahasa dan istilah. Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كَفَاءَة) bermaksud “المُسَاوَة” (sama) atau “المُمَاثَلَة” (seimbang). (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690)

Perkataan al-Kafa’ah juga membawa maksud sama taraf pada kekuatan dan kemuliaan. Antaranya adalah al-Kafa’ah dalam perkahwinan: Dari sudut seorang lelaki itu setaraf dengan orang perempuan dari sudut pangkat dan agama serta selainnya. (Lihat al-Mu’jam al-Wasith, 2/498)

Sebahagian pula berpendapat, al-Kafa’ah membawa maksud: Seorang lelaki itu sepadan atau setanding dengan seorang perempuan, atau dia (lelaki itu) lebih tinggi darinya dari sudut kedudukan dan juga keagamaan. (Lihat Mu’jam Mustalahat al-Fiqhiyyah, hlm. 76)

Manakala dalam istilah bahasa Melayu, menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, sekufu adalah: setaraf, sedarjat, sama martabatnya.

Maksud Sekufu dalam Perkahwinan

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/520-525), ketika membincangkan berkenaan memilih pasangan yang sekufu’, menyatakan: Kufu’ bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek:

  • Agama dan kesolehan

Seorang lelaki yang fasiq tidak sama dengan perempuan yang solehah. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ

Maksudnya: “Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasiq? Mereka tidak sama.”

(Surah al-Sajjadah: 18)

Walaubagaimanapun, kita perlu membezakan antara orang yang beragama dengan orang yang belajar agama. Istilah yang digunakan oleh Nabi SAW kepada perempuan zat al-din (ذَاتُ الدِّيْن) atau dikenali sebagai mutadayyin. Sedangkan yang belajar agama sudah tentu mempunyai ilmu dan kefahaman yang baik, tetapi kadang-kadang tidak diamalkannya. Apa yang perlu, mencari pasangan yang mematuhi agama dan lebih baik apabila mempunyai kefahaman agama serta ilmunya.

  • Pekerjaaan

Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah seperti tukang sapu, tukang bekam, pengembala ternakan, pencuci tandas adalah tidak kufu mengahwini anak perempuan seorang ilmuan, hakim atau ahli perniagaan.

Sebenarnya pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua. Ada yang mulia tetapi bukanlah kaya. Ada pula yang nampak biasa tetapi boleh menghasilkan jutaan ringgit apabila mempunyai kreatif, inovatif dan pandai mencari pasaran serta peluang untuk menjana pendapatan melalui pelaburan dan perniagaan.

  • Tidak cacat

Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk fasakh perkahwinannya. Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.

Kecacatan boleh dibahagikan kepada dua: Pertama, yang mengaibkan seperti HIV, Aids, kusta, gila dan lain-lain. Perkara ini sebaik-baiknya dielakkan melainkan wujudnya persetujuan dan kefahaman yang jelas. Kedua, kecacatan yang kecil seperti cacat sebahagian anggota namun kefungsian masih berlaku. Yang ini tidaklah menjadi penghalang dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan sebaiknya. Kadang-kadang, kita lihat pasangan seperti ini jauh lebih bahagia dari yang sempurna sifatnya.

Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah, tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.

Hal yang demikian adalah kerana pasangan yang sekufu mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima. Justeru itu, seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.

Namun, bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini. Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu, tetapi dengan kerelaannya, perkahwinan itu adalah sah.

Hal ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya. Sekiranya mereka redha menggugurkannya, maka ia tidak perlu dipertikaikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/520-525)

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ

Maksudnya: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.

Riwayat al-Hakim (2/163)

 

Pensyariatan Sekufu dalam Perkahwinan

Seperti yang diketahui, al-Kafa’ah merupakan antara perkara yang dituntut dalam sesebuah perkahwinan. Ini dinyatakan dalam beberapa nas daripada al-Quran dan juga al-Sunnah itu sendiri. Antaranya adalah firman Allah SWT:

وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki-lelaki yang baik begitu juga lelaki-lelaki yang baik itu adalah untuk perempuan-perempuan yang baik.

(Surah al-Nur: 26)

Dalam ayat ini terdapat petunjuk kepada pensabitan sekufu dalam perkahwinan. Ini kerana, Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang perempuan yang baik itu adalah untuk orang-orang lelaki yang baik dan demikianlah juga sebaliknya.

Seperti yang diketahui, perkataan الطَّيِّبَاتُ adalah menunjukkan kepada makna yang umum. Justeru, sekiranya seseorang lelaki itu baik agamanya, tidak kira sama ada dia kaya atau miskin, berbangsa Quraisy atau tidak, maka dia dianggap layak dan sekufu kepada pasangan perempuan yang juga baik dari sudut agamanya.

Kata Syeikh al-Sya’rawi dalam tafsirannya terhadap ayat di atas: “Kami menyatakan pada tafsir Surah al-Nur ayat 3 sesungguhnya perkahwinan itu didirikan atas dasar sekufu sehingga tidak meninggi satu kedudukan daripada kedudukan yang lain. Salah satu bentuk sekufu adalah Surah al-Nur ayat 26.” (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 16/10243)

Demikian juga penetapan al-Kafaah dalam perkahwinan diambil berdasarkan sebuah riwayat daripada Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَخَيَّرُوا لِنُطَفِكُمْ وَانْكِحُوا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوا إِلَيْهِمْ

Maksudnya: “Pilihlah yang terbaik untuk zuriat kamu dan juga yang sekufu dengan kamu, dan bernikahlah dengan mereka.

Riwayat Ibn Majah (1968)

Ciri-Ciri Sekufu

Kata Imam Ibn al-Qayyim: Sesungguhnya para fuqaha telah berbeza pendapat terhadap ciri-ciri al-Kafa’ah. Imam Malik dalam zahir mazhabnya berpendapat bahawa ia adalah sekufu dari sudut keagamaan. Dan dalam sebuah riwayat yang juga daripadanya (Imam Malik), kafaah itu adalah pada tiga sudut iaitu: Agama, merdeka, dan juga selamat dari keaiban-keaiban.

Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa kafaah itu adalah pada nasab (keturunan) dan juga agama.

Imam Ahmad bin Hanbal pula berpendapat bahawa kafaah itu adalah pada agama dan nasab secara khususnya. Manakala sebuah riwayat yang lain dari beliau menyebutkan bahawa kafaah itu ada lima iaitu: Agama, nasab, merdeka, kepakaran (pekerjaan), dan juga harta benda.

Dan apabila diambil kira nasab dalam isu kafaah ini, maka terdapat dua riwayat daripada Imam Ahmad.

Pertama: Golongan arab dengan arab adalah dianggap sebagai sekufu.

Kedua: Seseorang yang berbangsa Quraisy tidak sekufu melainkan dengan orang Quraisy juga. Begitu juga kelompok Bani Hashim tidak dikira sekufu melainkan dengan individu dari kalangan Bani Hashim juga.

Manakala para ashab Imam Al-Syafi’e berpendapat: Diambil kira pada kafaah itu adalah pada agama, nasab, merdeka, kepakaran, dan juga sejahtera dari aib-aib (kekurangan) yang menyebabkan orang jauh daripadanya. (Lihat Zad al-Ma’ad, 5/145)

Kami menyatakan bahawa penetapan nasab keturunan sebagai syarat sekufu adalah kurang tepat. Ini kerana pada zaman Nabi SAW baginda ada mengahwinkan beberapa orang sahabat atau sahabiyyah yang berbangsa Quraisy dengan pasangan yang bukan berbangsa Quraisy.

Sebagai contohnya, baginda SAW mengahwinkan Bilal bin Rabah R.A dengan saudari perempuan Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A yang berbangsa Quraisy. Begitu juga baginda mengahwinkan Zainab binti Jahsy dari kalangan bangsa Quraisy dengan anak angkat baginda iaitu Zaid bin Haritsah.

Maka keadaan ini jelas menunjukkan bahawa sekufu pada nasab keturunan bukanlah suatu yang paling utama diambil kira dalam perkahwinan.

Oleh kerana itulah Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Maka yang menjadi teras hukum Nabi SAW adalah mengambil kira isu agama dalam soal al-kafa’ah secara asas dan juga kesempurnaan. Maka tidak boleh dikahwinkan wanita yang beragama Islam dengan lelaki yang kafir. Tidak boleh juga wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat. Dan al-Quran serta al-Sunnah tidak mengambil kira soal sekufu ini pada perkara-perkara selain dari itu (agama).”

Kata beliau lagi: “Nasab (keturunan) dan juga pekerjaan tidak diambil kira (dalam isu al-Kafaah). Demikian juga tidak diambil kira isu kaya atau miskin. Lalu dibolehkan untuk golongan selain Quraisy berkahwin dengan wanita-wanita berbangsa Quraisy. Begitu juga boleh untuk golongan selain Banu Hashim berkahwin dengan wanita-wanita dari kalangan Banu Hashim. Serta dibolehkan untuk orang-orang yang miskin bernikah dengan perempuan-perempuan yang senang (berada).” (Lihat Zaad al-Ma’ad, 5/144)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pendapat yang paling utama dalam menjelaskan makna al-kafa’ah ialah kesepadanan atau setara pada agama. Ini bertepatan dengan hadith yang telah kami sebutkan tentang petunjuk dalam memilih menantu lelaki iaitu:

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya: “Apabila datang kepada kamu (golongan wali) mereka yang kamu redha akan akhlak dan agamanya maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang besar.”

Riwayat Ibn Majah (1967)

Syeikh A’tiyah Salim menyatakan bahawa rumah tangga yang ingin dibina mestilah berasaskan ketaqwaan dan agama. (Lihat Syarah Bulugh al-Maram, 2/357)

Syeikh Abu al-Hasan al-Sindi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: ”Iaitu apabila ada seorang lelaki yang datang meminang anak perempuan kamu adalah seorang yang kamu redha dengan akhlaknya, kerana akhlak adalah madar (ruang lingkup) bagi eloknya kehidupan seseorang sama seperti agama adalah madar bagi pelaksanaan hak-hak.” (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah, 1/606)


Oleh itu, dalam situasi kawan saudara, kami katakan pekerjaan merupakan salah satu bentuk sekufu. Namun, ia tidak bermakna perkahwinan yang tidak sekufu itu tidak sah kerana yang menentukan sah itu adalah sama ada menepati rukun dan syarat sah nikah atau tidak. Akan tetapi, kami nasihatkan agar perkara ini dibincang secara baik dan berhikmah antara keluarga teman saudara dengan keluarga pihak perempuan. Ingatlah dalam perkahwinan ini, perkara yang perlu diambil kira bukan hanya antara bakal suami dan bakal isteri, tetapi keberkatan dan redha ibubapa. Memilih pasangan yang sepadan adalah perkara yang sangat penting dalam sebuah perkahwinan, ia bertujuan untuk menjaga kemaslahatan dalam rumah tangga dan mengelakkan timbulnya sebarang konflik yang tidak diingini.

Akhir kalam, kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam.