#6172: Kisah Nabi dan Sebekas Anggur Masam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada mendengar seorang ustaz selebriti menceritakan sebuah hadith yang dikatakan bahawa seorang lelaki miskin dari kalangan ashab al-Suffah datang membawa sebekas anggur kepada Rasulullah SAW sebagai hadiah. Rasulullah SAW mengambil bekas itu dan mula makan anggur tersebut. Baginda makan anggur pertama dan tersenyum, kemudian anggur kedua dan tersenyum lagi, sementara lelaki miskin itu hampir terbang kegembiraan melihatnya. Para sahabat memerhati kerana mereka telah terbiasa Rasulullah SAW berkongsi segala sesuatu yang dihadiahkan kepadanya. Rasulullah SAW makan sebiji demi sebiji anggur dan tersenyum, sehingga habis sebekas anggur tersebut. Para sahabat merasa hairan. Lelaki miskin itu sangat gembira dan pergi. Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak berkongsi dengan kami?” Rasulullah SAW tersenyum dan bersabda, “Kamu telah melihat betapa gembiranya dia dengan hadiah ini, dan ketika aku merasainya, aku mendapati ia masam. Aku khuatir jika aku berkongsi dengan kamu, salah seorang daripada kamu mungkin menunjukkan reaksi yang boleh merosakkan kegembiraan lelaki itu.”

Apakah status hadith ini dan bolehkah ia disebarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, Syeikh Ahmad Syarif al-Na‘san[1] ketika ditanya berkenaan status hadith di atas menyatakan bahawa ia adalah hadith palsu.[2] Begitu juga dalam laman web rasmi al-Durar al-Saniyyah yang diselia oleh Syeikh ‘Alawi bin ‘Abd al-Qadir al-Saqqaf turut menyatakan bahawa ia adalah hadith palsu dan tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadith.[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa kisah di atas yang dikaitkan dengan Nabi SAW tidak ada asalnya dan ditemukan dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. Bahkan ia dinilai sebagai palsu oleh sebahagian ulama. Justeru, tidak boleh menyebarkannya kepada umum melainkan untuk dijelaskan kepalsuannya. Ini kerana berdusta atas nama Nabi SAW tidak sama seperti mana berdusta atas nama orang lain.

Kita hendaklah lebih berhati-hati dan berwaspada dalam menyampaikan sesuatu, lebih-lebih lagi apabila perkara itu melibatkan atau berkaitan dengan Nabi SAW kerana dibimbangi kita termasuk dalam golongan yang dikatakan berdusta atas nama Baginda SAW. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291)

Kami mengambil kesempatan di sini agar kita sentiasa berpegang kepada sumber-sumber yang sahih di samping rujukan yang muktabar agar kita sentiasa bersama di atas kebenaran. Adapun kesilapan yang berlaku di kalangan kita adalah perkara biasa bagi manusia walaupun beliau seorang ulama’. Justeru, hendaklah kita berpegang dengan nasihat Saidina Umar R.A kepada Abu Musa al-Asy’ari R.A, antara lain menyebut:

الرُّجُوعُ إلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota Hujung:

[1] Beliau sekarang bertugas sebagai khatib di Jami‘ Ahl al-Badr al-Kiram R.Anhum di Halab dan merupakan tenaga pengajar di sana. Biodata penuh beliau boleh dirujuk di https://www.naasan.net/index.php?page=YXJ0aWNsZQ==&op=ZGlzcGxheV9hcnRpY2xlX2RldGFpbHNfdQ==&article_id=Mjc=&lan=YXI=. Diakses pada 11 Julai 2023.

[2] Lihat https://www.naasan.net/index.php?page=YXJ0aWNsZQ==&op=ZGlzcGxheV9hcnRpY2xlX2RldGFpbHNfdQ==&article_id=MTcxNg==&lan=YXI=. Diakses pada 26 Jun 2024.

[3] Lihat https://dorar.net/fake-hadith/794. Diakses pada 26 Jun 2024.