#6175: Sebuah Negara Islam yang Sebenar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan sifat sebuah negara Islam yang sebenar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Biasanya hal ini dibahaskan dalam Siyasah Syar’iyyah atau kitab yang dinamakan al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh ulama’ seperti Imam al-Mawardi dan lain-lain lagi. Secara ringkasnya, negara Islam yang sebenar adalah kepimpinan daripada orang Islam yang mempunyai sifat takwa serta berlaku adil dan menjunjung sifat amanah. Firman Allah SWT:

 الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

(Surah al-Hajj: 41)

Ibnu Kathir berkata: ‘Athiyyah al-‘Aufi berkata tentang ayat ini, seperti firman-Nya: (وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi,” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/544)

Sayyid Qutb berkata: Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agama-Nya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya? Mereka ialah: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”; (أَقَامُوا الصَّلَاةَ) Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya; (وَآتَوُا الزَّكَاةَ) Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat; (وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ) Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan; (وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ) Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 11/184)

Syeikh Abd al-Aziz al-Tarifi berkata: Tidak tertegak negara Islam melainkan syaratnya thabit dengan thabitnya tiga perkara iaitu mereka yang mendirikan solat, mereka yang menunaikan zakat dan mereka yang melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Kami katakan, ketiga-tiga ini adalah penting kerana terwujudnya hablum minallah dan hablum minannas serta selamat daripada tipu daya syaitan dan hawa nafsu. Sebaliknya dapat menegakkan kebaikan dan menghindar segala kejahatan.

Kita dambakan negara yang sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan ramuannya adalah iman dan takwa dalam hati dan sanubari khalayak masyarakat sesebuah negara bermula daripada pemimpin sehingga kepada rakyat jelata. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

(Surah al-A‘raf: 96)

Ibn Kathir berkata: “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” (Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa), maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para rasul, lalu mereka mengikuti rasul dan bertaqwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan semua larangan. Manakala ayat: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) pula bermaksud hujan dari langit dan tanaman dari bumi. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/420)

Al-Baidhawi berkata: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) bermaksud Allah SWT akan luaskan kebaikan bagi mereka dan mempermudahkannya bagi mereka dalam segenap aspek. Dikatakan maksudnya juga ialah hujan dan tanam-tanaman. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/294)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)