#6180: Balasan yang Tidak Beradab dengan Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum dan balasan bagi orang yang tidak beradab dengan Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Adab adalah satu perkara yang mulia dan besar, sehingga Allah mengajar kita tentang adab dan untuk beradab. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَدَّبَنِي رَبِّيْ فَأَحْسَنَ تَأْدِيْبِيْ.

Maksudnya: “Allah mendidikku dan itulah sebaik didikan.”

Riwayat al-Sam’ani dalam Adab al-Imla’ (hlm. 5). Al-Suyuti menghukumkan hadith ini sebagai dha’if dalam al-Jami’ al-Saghir (309). Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut, isnadnya gharib dalam As’ilah wa Ajwibah (57). Syeikh al-Islam menyebut maknanya sahih, akan tetapi tidak diketahui adanya sanad yang sah tentang hadith ini. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 18/375). Turut dinyatakan sebagai dha’if dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (72) dan Dha’if al-Jami’ (249).

Islam mengajar kita beradab, bahkan Allah mengadabkan Nabi-Nya SAW sebagaimana dalam surah ‘Abasa:

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰۤ ۝١ أَن جَاۤءَهُ ٱلۡأَعۡمَىٰ ۝٢ وَمَا یُدۡرِیكَ لَعَلَّهُۥ یَزَّكَّىٰۤ ۝٣ أَوۡ یَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكۡرَىٰۤ

Maksudnya: “Dia memasamkan muka dan berpaling, Kerana dia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! – Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.”

(Surah ‘Abasa: 1-4)

Berkenaan asbab al-nuzul ayat ini adalah seperti berikut: Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: “

أُنْزِلَ: (عَبَسَ وَتَوَلَّى) [عبس: 1] فِي ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ الأَعْمَى، أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ يَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرْشِدْنِي، وَعِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ مِنْ عُظَمَاءِ الـمُشْرِكِينَ، فَجَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْرِضُ عَنْهُ وَيُقْبِلُ عَلَى الآخَرِ، وَيَقُولُ: «أَتَرَى بِمَا أَقُولُ بَأْسًا؟» فَيَقُولُ: لَا، فَفِي هَذَا أُنْزِلَ.

Maksudnya: Diturunkan (عَبَسَ وَتَوَلَّى)disebabkan Ibn Ummi Maktum R.Anha seorang sahabat yang buta, telah datang bertemu Rasulullah SAW. Beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah berilah kepadaku petunjuk.’ Ketika itu, para pembesar musyrikin ada di sisi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak menoleh ke arahnya dan terus mengadap para pembesar musyrikin tersebut. Baginda SAW bersabda: ‘Pada pandanganmu, adakah apa yang aku katakan ini suatu yang salah?’ Beliau berkata: ‘Tidak.’ Maka diturunkan ayat tersebut.” (Lihat al-Isti’ab Fi Bayan al-Asbab oleh  Al-Hilali dan Ali Nasr, 1425H, 3/495.

Betapa beradabnya Allah, ketika menegur Nabi menyebut dengan kalimah ‘عَبَسَ’ yang bermaksud telah berpalinglah dia tanpa menyebut secara khitab seperti ‘عَبَسْتَ’ iaitu kamu bermasam muka, hai Muhammad. Begitulah juga kita wajib beradab dengan Allah. Sebaliknya apabila melampau, angkuh serta takabbur dari perintah Allah, dan berterang-terangan melanggar perintah Allah, maka balasannya cukup besar. Lihatlah bagaimana hukuman yang dikenakan kepada Firaun, Namruz, Qarun, Haman dan lain-lain lagi.

Benarlah kata al-Hasan al-Basri:

مَن لَمْ يَتَأَدّب مَعَ اللهِ فَوقَ الأَرضِ ، أَدّبَهُ الله تَحْتَ الأَرْضِ

Maksudnya: “Siapa yang tidak beradab dengan Allah di atas muka bumi, nescaya Allah mengadabkannya di bawah muka bumi.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/57)

Marilah sama-sama kita sentiasa mempelajari agama supaya segala amalan kita berbetulan dengan Syariat Allah. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”