#6181: Derma Organ Termasuk dalam Menyeksa Mayat dan Mencacatkan Jenazah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sekiranya pendermaan organ dilakukan selepas kematian, adakah proses pendermaan organ itu termasuk dalam kategori menyeksa jenazah? Seterusnya, adakah pendermaan organ akan mencacatkan jenazah kerana bukan lagi dalam bentuk asal sebagaimana ia dilahirkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, berkenaan hukum derma organ, para ulama berbeza pendapat mengenainya. Ada yang tidak bersetuju dan ada juga dalam kalangan mereka yang mengharuskannya. Kami telah menjawabnya dalam artikel kami, #23: Derma Organ dan Tisu.[1] Ringkasnya, dalam artikel tersebut, kami berpendapat bahawa hukum pendermaan organ dan tisu adalah harus dan amat digalakkan, berpandukan kepada syarat-syarat yang telah digariskan. Pada asasnya, terdapat empat syarat sebagaimana berikut:

  1. Hendaklah orang yang diambil sebahagian daripada anggotanya itu telah memberi keizinan sebelum kematiannya dan dia ialah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya setelah kematiannya.
  2. Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.
  3. Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk tujuan perubatan dan bukan untuk maksud atau tujuan lain.
  4. Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama seperti Syeikh Hasanain Makhlouf, Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi, Dr. Ahmad Sharafuddin, Dr. Rauf al-Shalabi dan ramai lagi. Selain itu juga, institusi-institusi fatwa seluruh dunia seperti Majlis Ugama Islam Singapura, Majlis Ulama Besar Arab Saudi, Majlis Fatwa Kuwait, Majma’ al-Fiqh al-Islami, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Hind, The Islamic Shariah Council UK termasuk Malaysia menghukumkan ia harus dengan syarat-syarat yang telah digariskan.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, berkenaan pendermaan organ orang yang telah meninggal dunia yang disifatkan sebagai menyeksa mayat, kami katakan bahawa benar, pada asalnya di sana terdapatnya larangan untuk menyeksa, menghina mahupun menyakiti mayat. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra’: 70)

Manusia itu merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang dimuliakan dan dihormati semasa hidupnya mahupun telah pergi meninggalkan dunia ini. Imam Jalaluddin Al-Suyuti dan Imam Jalaluddin Al-Mahalli menyebut bahawa tidak boleh dihinakan mahupun dikotori mayat mereka. (Lihat Tafsir al-Jalalain, 5/108).

Begitu juga, Nabi SAW pernah bersabda:

إنَّ كَسْرَ عَظْمِ الـمُؤمِنِ مَيِّتًا، مِثلُ كَسْرِه حَيًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup.

Riwayat Ahmad (24308) dan Abu Daud (3207)

Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Tibi berkenaan hadith tersebut. Al-Tibi menyebutkan, padanya terdapat isyarat bahawa tidak dihina mayat (orang yang telah mati) sebagaimana dia tidak dihinakan ketika masih hidup. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/18).

Begitu juga berkaitan pendermaan organ akan mencacatkan jenazah kerana bukan lagi dalam bentuk asal sebagaimana ia dilahirkan, kami katakan ia adalah benar kerana organ-organ itu sudah pun diberikan kepada orang lain, menjadikan jasadnya sudah tidak lagi sempurna.

Sekalipun begitu, kami ingin tegaskan juga bahawa perlu difahami, pemindahan organ bukan dilakukan atas tujuan yang tiada manfaat. Sebaliknya, ia dilakukan sebagai pilihan terakhir bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan organ tersebut. Tambahan pula, memelihara nyawa ialah salah satu daripada maqasid syariah. Larangan yang dinyatakan tidak dikira dalam konteks ini apabila wujud keperluan yang lebih utama iaitu untuk menyelamatkan nyawa manusia. Pemindahan organ dilakukan apabila tiada alternatif lain bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Oleh yang demikian, ia terkeluar daripada larangan hadith di atas.

Apatah lagi, dari segi logik akalnya, harus merawat dan berubat dengan cara memindahkan anggota manusia sebagaimana harus menggunakan emas kerana keperluan. Hal ini kerana keperluan mendesak ke arah itu. (Lihat Hukmu al-Istifadah min Adha’ al-Mauta oleh Dr. al-Nasimi, hlm. 50)

Tambahan lagi, para fuqaha menaskan harus membedah perut si mati untuk mengeluarkan permata orang lain yang ditelan si mati. Justeru, harus menukilkan anggota mayat lebih aula dan utama kerana kedudukan jiwa lebih dihormati dan besar daripada hal itu. (Lihat Qawaid al-Ahkam oleh Izzuddin bin ‘Abd al-Salam (1/97), Mughni (3/414-415), al-Muhalla oleh Ibn Hazm (5/166-167), al-Asybah wa al-Nazair oleh Ibn Nujaim, hlm. 88, al-Fatawa al-Hindiyyah (1/113,2/360), al-Majmu‘ oleh Imam al-Nawawi (5/266267 & 300), Nihayah al-Muhtaj oleh al-Ramli (3/39), Mughni al-Muhtaj oleh al-Syarbini (1/207), Hasyiah Ibn Abidin (1/661), al-Tasyrih al-Juthmani wa alNaqlu wa al-Ta’wid al-Insani oleh Dr. Bakar Abu Zid, hlm. 15, Hukm al-Istifadah min A‘dha’ al-Mauta oleh Dr. al-Nasimi, hlm. 51-52).

Bahkan, keharusan pemindahan organ itu juga bertepatan dengan kaedah-kaedah fiqh. Di antaranya:

الأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Semua perkara berdasarkan maksudnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 30; al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/54)

Keterangan Dalil: Kaedah ini menunjukkan bahawa semua amalan dikira dan diiktibar mengikut nawaitu dan maksud. Justeru, pemindahan organ manusia berlainan hukumnya mengikut maksud dan waktu. Jika untuk menolong dan memelihara jiwa yang dihormati, mengangkat kemudaratan yang berat dengan melakukan kemudaratan yang ringan, maka sudah pasti ia menjadi maksud yang dipuji dan amalan yang disyariatkan yang sudah pasti diberi pahala dan dipuji pelakunya. Sebaliknya, jika matlamat untuk menghina dan menyakiti mayat dengan perlakuan pembedahan tersebut, maka ia adalah dikeji.

Begitu juga kaedah fiqh yang menyatakan:

إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

Maksudnya: “Apabila bertembungnya dua mafsadah, hendaklah diraikan yang terlebih besar mudarat dengan melakukan yang paling ringan antara kedua-duanya.” (Lihat al-Ashbah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 87; al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 89; Syarh al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah oleh al-Zarqa’, hlm. 147)[2]

Keterangan Dalil: Kaedah ini menunjukkan apabila berlaku pertembungan antara dua mafsadah maka kita melihat yang mana lebih sukar. Justeru, kita mendahulukan mana yang lebih ringan untuk dilakukan. Dalam masalah ini, berkenaan dengan pemindahan organ, terdapat dua mafsadah antara mengambil anggota manusia sama ada hidup atau mati yang mendatangkan kesakitan dan mafsadah yang mana berlakunya seseorang membawa kematian kepada yang ditimpa musibah. Atas asas inilah dibolehkan pendermaan kerana mafsadah yang dihadapi oleh seseorang membawa kematian lebih besar mafsadahnya.

Dalam masa yang sama, dengan perkembangan sains dan teknologi hari ini, mungkin sudah sampai masanya untuk dikaji alternatif seperti organ-organ tiruan atau pengambilan daripada organ haiwan kerana ia adalah jauh lebih baik daripada mengambil hak seseorang manusia. Hal ini kerana keluar daripada khilaf adalah sunat dan digalakkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/derma-organ-dan-tisu/. Diakses pada 1 Julai 2024.

[2] Syeikh Mustafa Al-Zarqa berkata: “[Yang dimaksudkan dengan] meraikan yang paling berat dari keduanya adalah dengan cara meninggalkannya. Ini kerana, mafsadah-mafsadah diraikan dengan dinafikan seperti mana maslahah-maslahah diraikan dengan melakukannya.” (Lihat Syarh al-Qawa’id a-Fiqhiyyah, hlm. 201)