#6185: Mendapatkan Istiqamah dan Thabat dalam Agama

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk kita benar-benar beristiqamah dan thabat atau tetap pendirian tanpa digugah dalam agama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ

Maksudnya:Maka dengan itu, beristiqamahlah kamu di jalan yang benar; seperti yang diperintahkan kepada kamu dan orang yang bertaubat bersamamu; dan janganlah sesekali melampaui batas-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Melihat setiap apa yang kamu lakukan.”

(Surah Hud: 112)

Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Tidak diturunkan kepada Rasulullah pada keseluruhan al-Quran atau satu ayat yang lebih dahsyat dan lebih susah kepadanya daripada ayat ini.”

Al-Hasan Basri berkata: “Setelah ayat ini diturunkan Rasulullah SAW menyinsingkan lengan tangannya sehingga tidak pernah terlihat Baginda SAW ketawa.” Riwayat Ibn Abi Hatim.

Daripada Abu Amru – atau digelar juga Abu ‘Amrah Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi R.A, katanya: “Aku berkata:

يَا رَسُوْلَ اللهِ! قُلْ لِي فِي الإسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ. قالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ.

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selainmu.” Sabda Baginda: Katakanlah ‘ آمَنْتُ بِالله ‘ (Aku beriman kepada Allah) kemudian istiqamahlah.

Riwayat Muslim (38), al-Baihaqi dalam al-Sunan (1/76), Ahmad dalam Musnadnya (5/371), dan al-Daraqutni dalam al-Sunan (3/45).

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, antara cara untuk memperolehi thabat dan istiqamah sebagaimana perintah Allah adalah dengan kita melaksanakan solat, sabar, istighfar dan juga tasbih kerana ia antara penawar yang paling utama dan besar bagi meraih sifat thabat ini. Firman Allah SWT:

 فَاصْبِرْ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ بِالْعَشِيِّ وَالْإِبْكَارِ

Maksudnya: “(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”

(Surah Ghafir: 55)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: “Oleh itu, bersabarlah kamu,” wahai Rasul, sebagaimana para Ulul Azmi sebelummu telah bersabar, “kerana sesungguhnya janji Allah itu benar.” Maksudnya, tidak akan ada keraguan di dalamnya atau kebohongan, sehingga kita merasa sukar untuk bersabar. Sesungguhnya ia adalah kebenaran dan petunjuk semata-mata yang membuat kaum yang sabar bersabar dan orang-orang yang berakal berpegang teguh kepadanya. Ungkapan “sesungguhnya janji Allah itu benar” termasuk dalam ungkapan yang mengajak kita untuk bersabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah dan menjauhi apa yang Allah tidak sukai.

“Dan mohonlah ampun untuk dosamu,” yang menghalangmu untuk meraih kemenangan dan kebahagiaanmu. Jadi, Allah memerintahkan untuk bersabar yang dengan itu harapan dapat dicapai, dan disuruh beristighfar di mana di dalamnya terkandung perlindungan dari perkara yang membahayakan, dan bertasbih memuji Allah terutama “pada waktu petang dan pagi,” yang keduanya merupakan dua waktu yang paling utama. Pada kedua waktu itu dilaksanakan berbagai wirid, tugas-tugas yang wajib dan yang Sunnah; kerana semua itu menjadi pertolongan atas semua perkara.  (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/332)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”