#6187: Bilangan Tentera Bergajah Abrahah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapakah saiz dan bilangan tentera bergajah Abrahah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kisah tentera bergajah Abrahah ini ada dinyatakan dalam surah al-Fil. Firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَـٰبِ ٱلْفِيلِ ١ أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِى تَضْلِيلٍۢ ٢ وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ ٣ تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍۢ مِّن سِجِّيلٍۢ ٤ فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍۢ مَّأْكُولٍۭ

Maksudnya: “Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan (3), Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras (4), Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.”

(Surah al-Fil: 1-5)

Allah SWT mengajak supaya manusia berfikir tentang peristiwa yang berlaku terhadap tentera bergajah Abrahah dengan menghancurkan mereka serta Dialah yang memelihara Baitullah. Manusia sepatutnya melihatnya dengan penuh keyakinan terhadap kekuasaan Allah dan beriman kepada-Nya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 30/408).

Penduduk Makkah telah melihat peristiwa tersebut apabila datang tentera bergajah yang dipimpin oleh Raja Abrahah yang beragama Nasrani ke Hijaz untuk meruntuhkan Kaabah. Raja Abrahah berasal daripada Habasyah yang memerintah Yaman. Apabila mereka ingin memasuki Makkah, Allah SWT telah menghantar sekumpulan burung yang membawa batu yang dibakar untuk dilemparkan kepada mereka sehingga mereka hancur dan binasa. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/459).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur ketika menafsirkan perkataan al-fil ( ٱلْفِيلِ) dalam ayat di atas menyebutkan, perkataan itu datang dalam bentuk ma‘rifah adalah bagi menunjukkan al-‘ahd (العَهْدُ) iaitu gajah milik Abrahah yang merupakan pemimpin pasukan tentera tersebut sebagaimana mereka merujuk kepada tentera yang keluar bersama Aisyah Ummul Mukminin sebagai ashab al-jamal (أَصْحَابُ الْجَمَلِ) merujuk kepada unta yang ditunggangi oleh Aisyah, meskipun dalam pasukan tersebut terdapat banyak unta lain.

Kemudian, Ibn ‘Asyur menambah, dikatakan bahawa tentera Abrahah hanya mempunyai satu gajah, iaitu gajah milik Abrahah, dan namanya adalah Mahmud. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa tentera tersebut mempunyai beberapa ekor gajah lain. Dikatakan, bilangan gajah dalam pasukan tersebut adalah sebanyak lapan ekor. Ada yang berpendapat sebanyak dua belas ekor dan ada juga yang berpendapat sebanyak seribu ekor. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/480).

Selain itu, Dr. Zaid Abd al-Karim juga ada menyatakan, Abrahah kemudian memimpin secara langsung sebuah pasukan tentera yang berjumlah 60,000 dengan dilengkapi oleh beberapa ekor gajah. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh Dr. Zaid Abd al-Karim, hlm. 32)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.