#6190: Nama Gajah Milik Abrahah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah benar gajah milik Abrahah bernama Mahmud? Adakah terdapat hadith sahih tentang berita tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kisah tentera bergajah Abrahah ini ada dinyatakan dalam surah al-Fil. Firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَـٰبِ ٱلْفِيلِ ١ أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِى تَضْلِيلٍۢ ٢ وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ ٣ تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍۢ مِّن سِجِّيلٍۢ ٤ فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍۢ مَّأْكُولٍۭ

Maksudnya: “Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan (3), Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras (4), Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.”

(Surah al-Fil: 1-5)

Allah SWT mengajak supaya manusia berfikir tentang peristiwa yang berlaku terhadap tentera bergajah Abrahah dengan menghancurkan mereka serta Dialah yang memelihara Baitullah. Manusia sepatutnya melihatnya dengan penuh keyakinan terhadap kekuasaan Allah dan beriman kepada-Nya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 30/408).

Penduduk Makkah telah melihat peristiwa tersebut apabila datang tentera bergajah yang dipimpin oleh Raja Abrahah yang beragama Nasrani ke Hijaz untuk meruntuhkan Kaabah. Raja Abrahah berasal daripada Habasyah yang memerintah Yaman. Apabila mereka ingin memasuki Makkah, Allah SWT telah menghantar sekumpulan burung yang membawa batu yang dibakar untuk dilemparkan kepada mereka sehingga mereka hancur dan binasa. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/459).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya tidak ada riwayat yang sahih lagi sabit daripada Nabi Muhammad SAW atau daripada mana-mana sahabat Baginda yang menunjukkan bahawa gajah Abrahah bernama “Mahmud.” Namun, kebanyakan ahli sejarah jelas menyatakan dan begitu juga ramai dalam kalangan ahli tafsir turut menukilkan bahawa nama gajah yang dibawa oleh Abrahah untuk meruntuhkan Kaabah ialah “Mahmud.”  Di antara mereka yang menyebut berkenaan perkara ini ialah:

  • Muqatil bin Sulaiman dalam tafsirnya (4/848) menyebutkan, Abrahah memerintahkan pasukan tenteranya daripada kalangan petani, lalu dia mengeluarkan pasukan-pasukan mereka bersama gajah, yang namanya Mahmud.
  • Ibn Saad dalam al-Tabaqat al-Kubra (1/74) menyatakan, Abrahah menulis kepada Najasyi untuk memberitahunya tentang perkara itu dan meminta agar dihantar gajahnya, Mahmud. Gajah itu ialah gajah yang tidak pernah dilihat seumpamanya di bumi dari segi saiz, tubuh, dan kekuatan.
  • Al-Azraqi dalam Akhbar Makkah (1/146) menyebutkan, apabila Abrahah pada waktu pagi, dia bersiap untuk memasuki Makkah, menyiapkan gajahnya, dan mengatur pasukan tenteranya. Nama gajah itu ialah Mahmud.
  • Ahmad bin Dawud al-Dinawari dalam al-Akhbar al-Tiwal (hlm. 63) menyebutkan, Abrahah sangat marah, lalu bersiap untuk bergerak ke Makkah bagi meruntuhkan Kaabah. Dia mengirim utusan kepada Najasyi, lalu Najasyi menghantar kepadanya seekor gajah sebesar gunung yang dipanggil Mahmud. Maka dia pun bergerak menuju ke Makkah, lalu terjadilah apa yang telah Allah SWT ceritakan dalam Surah al-Fil.
  • Ibn Jarir al-Tabari dalam Tarikh al-Rusul wa al-Muluk (2/138) menyatakan, Abrahah diberitahu tentang perkara itu, lalu dia sangat marah dan berkata: “Ini dilakukan oleh orang Arab kerana kemarahan terhadap rumah mereka, maka aku akan meruntuhkannya batu demi batu.” Dia menulis surat kepada Najasyi untuk memberitahunya tentang hal ini dan meminta agar dihantar kepadanya gajahnya (yang bernama) Mahmud — gajah yang tidak pernah dilihat seumpamanya di bumi dari segi saiz, tubuh, dan kekuatannya.
  • Ibn al-Jauzi dalam al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam (2/128) turut mengatakan, Abrahah menulis surat kepada Najasyi untuk memberitahunya tentang perkara itu, dan memintanya untuk menghantar gajahnya: Mahmud.
  • Ibn al-Athir dalam al-Kamil (1/402) menyatakan, Abrahah sangat marah dan bersumpah akan pergi ke al-Bait Kaabah dan meruntuhkannya. Dia memerintahkan (pasukan tentera) Habasyah untuk bersiap, dan dia berangkat bersama gajah yang bernama Mahmud.

Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (6/337) mengatakan, beberapa orang daripada kalangan Quraisy datang lalu membuang air besar di dalam gereja itu. Apabila berita berkenaan hal itu sampai kepadanya (Abrahah), dia bersumpah akan meruntuhkan al-Bait Makkah (Kaabah). Oleh itu, dia bergerak ke sana dengan pasukan tenteranya dan gajah (yang bernama) Mahmud.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa para ahli sejarah telah sepakat bahawa gajah itu bernama Mahmud, dan tidak disyaratkan perlunya bukti/riwayat yang sabit daripada Nabi SAW untuk hal seperti ini. Dalam isu-isu melibatkan sejarah seperti ini, kebiasaannya sanad tidak begitu diberi penekanan dan sedikit longgar, serta para ulama menyebarkan apa yang terkenal (masyhur) mengenainya, terutamanya apabila ia tidak berkaitan atau melibatkan perkara hukum, akidah, atau apa-apa perkara penting; malah ia lebih kepada cerita-cerita menarik dan anekdot, bukan ilmu yang memerlukan ketelitian dan ketepatan sanad.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)