#6191: Perempuan Iddah Solat Terawih

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan dari sahabat group WA berkenaan dengan seorang isteri yang masih dalam iddah kerana kematian suami. Adakah dibolehkan untuk pergi solat terawih kerana inginkan ketenangan. Anak-anak perempuan semua sudah berkeluarga. Terima kasih diatas jawapannya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Nisa’: 234)

Dapat difahami melalui firman Allah SWT di atas, ‘iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari dan termasuk di dalam bilangan ‘iddah tersebut adalah hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ummu ‘Atiyyah R.Anha meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

‏ لاَ تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ وَلاَ تَكْتَحِلُ وَلاَ تَمَسُّ طِيبًا إِلاَّ إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ

Maksudnya: “Janganlah seorang wanita itu berihdad (berkabung) ke atas si mati melebihi tiga hari melainkan ke atas suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Dan janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian. Adapun ketika haid maka diperbolehkan baginya untuk mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain untuk menghilangkan bau tidak enak.

Riwayat Muslim (938)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak boleh untuk seorang perempuan yang sedang dalam iddah untuk keluar dari rumah sekiranya tiada keperluan yang mendesak. Maka, wajib bagi anda untuk berkabung selama 4 bulan 10 hari di rumah anda sehingga selesai. Justeru, perempuan yang dalam ‘iddah bolehlah solat Tarawih di rumahnya.

Semoga dengan penerangan ringkas ini, kita akan lebih cakna tentang kewajipan ‘iddah yang telah digariskan oleh syara‘. Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dan kekuatan untuk mengikuti setiap perintah Syariat Islam dalam mencapai keredhaan-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.