#6193: Berfatwa Tanpa Ilmu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terdengar orang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda: Siapa yang berkata bukan apa yang aku kata, maka sedialah tempatnya rumah di neraka Jahannam. Dan siapa yang berfatwa tanpa ilmu, maka dosanya di atas siapa yang difatwakannya? Bagaimana kedudukan hadis ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أُفْتِيَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ إِثْمُهُ عَلَى مَنْ أَفْتَاهُ‏.‏ زَادَ سُلَيْمَانُ الْمَهْرِيُّ فِي حَدِيثِهِ ‏:‏ وَمَنْ أَشَارَ عَلَى أَخِيهِ بِأَمْرٍ يَعْلَمُ أَنَّ الرُّشْدَ فِي غَيْرِهِ فَقَدْ خَانَهُ‏.‏ وَهَذَا لَفْظُ سُلَيْمَانَ

Maksudnya: “Barangsiapa diberi fatwa tanpa dengan ilmu maka dosanya ditanggung orang yang memberi fatwa.” Sulaiman al-Mahri menambahkan dalam hadith, “Barangsiapa memberi isyarat kepada saudaranya dalam suatu perkara dan ia mengetahui bahawa yang benar ada pada orang lain, maka sungguh ia telah berkhianat kepadanya.” Dan Ini adalah lafaz Sulaiman.

Riwayat Abu Dawud (3172), al-Hakim dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain (345). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij Sunan Abi Dawud (4657)

Hadith ini menjelaskan kepada kita, betapa besarnya musibah dan akibat memberi fatwa tanpa ilmu. Bahkan, ia adalah perbuatan yang jauh lebih memberi musibah. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW menggambarkan peristiwa akhir zaman, bagaimana golongan yang memberi fatwa adalah di kalangan orang-orang yang jahil. Mereka sesat dan mereka menyesatkan. Benarlah hadith Nabi SAW: Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا، يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba- hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadis ini berkata: Hadis ini menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dicabutnya ilmu di dalam hadis-hadis sebelum ini bukanlah dengan cara memadamnya daripada dada-dada para penghafalnya. Akan tetapi, maknanya adalah dengan mematikan golongan yang memikul ilmu. Lalu orang ramai mengambil golongan yang jahil dan berhukum dengan kejahilan mereka, maka mereka pun sesat dan menyesatkan orang lain. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/224)

Syeikh Muhammad Abu Zahrah mengingatkan kita dengan katanya: Telah zahir dan muncul pada tahun-tahun terakhir ini ramai orang cuba menggambarkan dirinya sebagai ahli ilmu sehingga mereka menisbahkan kepadanya. Ada dalam kalangan mereka telah mendapat kepercayaan dan thiqah manusia. Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai kedudukan di dunia. Mereka itu telah memberi fatwa kepada manusia tanpa ilmu atau sedikit ilmu sedangkan mereka tidak ada sandaran Syar’ie di samping kenyataan mereka tidaklah adanya wajah kebenaran. Mereka itulah dikatakan telah melampau terhadap diri mereka dengan fatwa yang songsang. Akan tetapi mereka menganggap diri mereka sebagai mujaddid atau ulama tahqiq atau pengkaji dan penyelidik yang hebat. (Lihat tulisan al-Fatwa fi Din Allah oleh Muhammad Abu Zahrah dalam Majallah Liwa’ al-Islam, 24 Syawwal 1376 Hijrah bersamaan 5 Mei 1957 Masihi, hlm. 110-111)

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”