Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, adab mufti di sisi Imam Ahmad?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami ringkaskan di sini, pada istilah Syarak berkenaan dengan definisi Mufti:
- Mufti ialah seorang yang menjawab kemusykilan-kemusykilan dalam hal agama. Rujuk Sinaah al-Fatwa, Dr. Ali Jumuah (hlm. 5-6).
- Mufti adalah seorang mujtahid atau faqih. Rujuk al-Syaukani, Irsyad al-Fuhul.
- Mufti ialah seorang mujtahid yang mampu menguasai hukum-hukum syarak tanpa terikat dengan taqlid kepada orang lain.
- Mufti ialah seorang alim yang mampu menjawab persoalan yang ditanya sekalipun sedang berada di dalam kenderaan.
- Mufti ialah individu yang mengkhabarkan hukum Allah SWT untuk mengetahui dalilnya. Lihat al-Ghiyaathi, al-Juwaini (hlm. 81).
Menjawab persoalan di atas, Imam Ahmad berkata: Tidak harus seorang Mufti menjawab semua yang diminta fatwa padanya dan tidak sayugia bagi seorang lelaki ingin menzahirkan diri untuk berfatwa sehingga mempunyai lima adab atau ciri:
- Niat semata-mata kerana Allah, bukan kerana pangkat atau selainnya.
- Seseorang itu mempunyai ilmu, sifat yang baik, tenang dan matang. Jika tidak mempunyai hal ini, seseorang itu tidak mampu menerangkan hukum Syarak.
- Dia mempunyai kekuatan dari segi hujah, pendapat, pandangan di atas fatwanya dan dia benar-benar makrifah.
- Dia berkelayakan dan mempunyai harta. Jika tidak, sudah tentu, orang ramai benci kepadanya. Ini kerana, jika seseorang itu tidak layak dan tidak mempunyai harta yang mencukupi, nescaya dia memerlukan kepada orang ramai untuk bantuan hidupnya. Justeru, mereka boleh memudaratkannya.
- Seorang Mufti hendaklah mengetahui keadaan masyarakatnya dan juga kedudukan orang yang meminta fatwa darinya dengan sedalam-dalamnya, kerana kesan fatwanya akan tersebar kepada khalayak masyarakat.
Al-Imam al-Syatibi menambah: Sifat yang semestinya wujud bagi Mufti sebagai pemberi petunjuk dan mursyid serta fatwanya berkisar kepada kebaikan orang ramai, lantas katanya: Mufti yang sampai kepada puncak kedudukan, yang sanggup menggalas tanggungjawab kemanusiaan dengan pendapatnya sehingga serasi kepada khalayak masyarakat. Justeru, dia tidak memilih pendapat yang keras, begitu juga tidak cenderung dengan mereka kepada jalan-jalan yang amat lemah. Jalan yang benar-benar lurus, yang dibawa oleh Syariat. Ini kerana maksud Syariat bagi orang mukallaf menanggung antara melampau dan cuai. (Lihat al-Muwafaqat, 4/258)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)