Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar ramai yang berkata, Abu Hanifah mendahulukan qiyas daripada hadith atau nas. Benarkah pendapat tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami sengaja memulakan kenyataan ini dengan pertanyaan Rasulullah SAW kepada Mu’az R.A:
كَيْفَ تَقْضِي؟ فَقَالَ: أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللهِ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي، قَالَ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللهِ
Maksudnya: Dengan apakah kamu akan berhukum? Maka Muaz menjawab: Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah. Baginda bersabda: Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah? Maka jawab Muaz: Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW. Baginda bertanya lagi: Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW? Jawab Muaz: Aku akan berijtihad dengan pendapatku. Maka Rasulullah SAW bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufiq kepada utusan Rasulullah SAW.”
Riwayat al-Tirmizi (1327)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa, Khalifah Abu Ja’far al-Mansur pernah menghantar surat kepada Abu Hanifah. Antara katanya: Telah sampai kepadaku bahawa kamu mendahulukan qiyas daripada hadith. Kemudian, Abu Hanifah menjawab surat tersebut, antara lain katanya: “Bukanlah begitu, sebagaimana yang telah sampai kepada Amir al-Mukminin. Sesungguhnya aku beramal yang pertama dengan kitab Allah, kemudian sunnah Rasulullah, kemudian dengan hukum yang diputuskan oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Kemudian dengan hukum yang diputuskan oleh para sahabat. Kemudian selepas itu, jika tiada, maka aku qiyas apabila terdapat khilaf di kalangan mereka.” (Lihat al-Fiqh al-Islami: Murunatuhu wa Tatawwaruhu oleh Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq, hlm. 32)
Dinukilkan daripada Abu Hanifah juga, beliau berkata: Telah dustalah demi Allah, dan dia berbohong atas kami siapa yang berpendapat dan berkata: Sesungguhnya kami mendahulukan qiyas atas nas. Adakah perlu selepas nas kepada qiyas?
Bahkan beliau berkata: Kami tidak qiyas kecuali ketika darurat yang mendesak. Yang demikian itu kerana kami melihat kepada dalil masalah daripada kitab dan sunnah, atau hukuman para sahabat. Maka jika kami tidak dapati dalil, barulah kami qiyas ketika itu.
Sekali lagi kami ulangi sumber hukum di sisi mazhab Hanafi: Adapun dalil-dalil fiqhiyyah seperti yang makruf, Abu Hanifah mengasaskan mazhabnya atas tujuh asas utama sebagai rujukan dan juga sumber hukum.
Pertama: Al-Quran al-Karim, iaitu kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril yang diterima dan dipindahkan kepada kita secara mutawatir. Berada dalam mushaf yang tersusun dan menjadi mukjizat.
Kedua: Al-Sunnah al-Nabawiyyah, iaitu apa yang dithabitkan daripada Rasulullah SAW, daripada percakapan, perbuatan, taqrir, bentuk sifatnya atau akhlak.
Ketiga: Aqwal al-Sahabah, iaitu pendapat dan ijtihad para sahabat sama ada berseorangan atau dipersetujui oleh para sahabat yang lain.
Keempat: Al-Ijma’, iaitu apa yang diijmakkan oleh sahabat Rasulullah SAW pada perkara yang berlaku khilaf, tidak keluar daripada kata-kata mereka kepada yang selainnya. Ijmak ialah persetujuan semua ulama mujtahid di kalangan umat Nabi Muhammad SAW pada satu-satu zaman terhadap sesuatu hukum syarak.
Kelima: Al-Qias, iaitu mengaitkan sesuatu perkara yang tidak dinyatakan hukumnya dengan perkara lain, yang dinaskan hukumnya kerana ada persamaan sebab sesuatu hukum pada kedua-duanya.
Keenam: Al-Istihsan, iaitu menuntut yang terbaik untuk mengikut apa yang diperintahkan dengannya. Justeru, para ulama membahagikannya kepada dua jenis:
Beramal dengan berijtihad, dan yang kuat pada sangkaan akalnya apa yang dijadikannya oleh syarak untuk diijtihadkan, seperti masalah mut’ah. Adakah mengikut kekayaan dan kesukaran diwajibkannya?
Dalil yang bertentangan dengan qias yang zahir, yang membawa kepada bertentangan dengan waham sebelum membuat pengamatan.
Ketujuh: Al-Uruf atau Adat. Apa yang menjadi tenang jiwa dari pihak akal dan diterima dengannya pada kebiasaan.(Lihat Biografi Imam Empat Mazhab, hlm. 57)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)