#6198: Agihan Daging Korban Yang Dimasak Selepas Raya Haji dan Hari Tasyrik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah daging korban dimasak dan diagihkan selepas habis raya Haji dan hari Tasyrik?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Agihan Daging Korban Selepas Dimasak

Pada asalnya, Islam menuntut untuk seseorang yang mendirikan ibadah korban agar diagihkan daging dalam keadaan yang masih mentah dan belum dimasak.

Syeikh Muhammad Ibn Ahmad al-Syatiri menjelaskan, daging korban itu perlu diagihkan dalam keadaan mentah, dengan daging-daging yang tidak rosak, dan daripada daging korban yang sunat. Tidak memadai untuk memberi sedekah daging korban tersebut dalam keadaan sudah dimasak atau sudah dikeringkan. (Lihat Syarh al-Yaqut al-Nafis, hlm. 828)

Syeikh Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri juga menyebutkan perkara yang sama, katanya, disyaratkan bagi daging korban tersebut untuk disedekahkan dalam keadaan mentah supaya dapat dimanfaatkan bagi sesiapa yang menerimanya mengikut apa yang dikehendaki olehnya, sama ada menjualnya atau seumpamanya. Oleh itu, tidak memadai memberi sedekah setelah daging tersebut dimasak, kemudian diajak golongan fakir miskin untuk memakannya. (Lihat Hasyiah al-Bajuri, 2/567)

Meskipun begitu, sekiranya terdapat keperluan untuk dimasak dan diawet terlebih dahulu daging tersebut kerana dikhuatiri akan rosak, maka kami berpendapat ia tidak menjadi sebarang masalah, bahkan lebih utama untuk dilakukan demikian jika diyakini daging tersebut akan rosak apabila dibiarkan secara mentah sahaja.

Agihan Daging Selepas Raya Haji dan Hari Tasyrik

Islam tidaklah mensyaratkan agihan daging korban tersebut mesti disegerakan sebelum habis hari-hari Tasyrik, bahkan diharuskan untuk menyimpan daging tersebut sekiranya terdapat maslahah tertentu; iaitu memberi makan kepada fakir miskin. Ini berdasarkan hadith Buraidah bin Husaib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَنَهَيْتُكُمْ عَنْ لُحُومِ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ، فَأَمْسِكُوا مَا بَدَا لَكُمْ

Maksudnya: “Aku pernah larang kalian dari mengambil daging korban lebih dari satu pertiga, maka sekarang simpanlah untuk keperluan kalian.”

Riwayat Muslim (1977)

Imam al-Nawawi berkata, pendapat yang sahih, larangan yang disebutkan itu telah dimansukhkan secara mutlak. Sekarang, tidak lagi haram atau makruh, sebaliknya diharuskan untuk menyimpan daging korban tersebut lebih dari 3 hari. ‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari pula memberikan komentar seraya berkata, kalimah “simpanlah” itu merujuk kepada daging korban itu secara mutlak. Perintah dalam hadith ini adalah rukhsah atau keringanan dalam agama, dan inilah yang zahir berdasarkan umum hadith. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/129-130; Mirqah al-Mafatih, 4/1255)

Bapa kepada ‘Abd al-Rahman bin ‘Abis pernah bertanya kepada Saidatina ‘Aisyah R.Anha: “Adakah Nabi SAW melarang (daripada) daging-daging korban dimakan lebih daripada tiga hari?” Beliau menjawab:

مَا فَعَلَهُ إِلَّا فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ، فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الغَنِيُّ الفَقِيرَ، وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الكُرَاعَ، فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ. قِيلَ: مَا اضْطَرَّكُمْ إِلَيْهِ؟ فَضَحِكَتْ، قَالَتْ: مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ بُرٍّ مَأْدُومٍ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ حَتَّى لَحِقَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Baginda SAW tidak melakukan sedemikian (tidak melarang daripada perkara tersebut) kecuali pada satu tahun (sahaja) yang mana manusia mengalami kelaparan (pada tahun tersebut), lalu Baginda SAW mahu agar orang kaya memberi makan kepada orang miskin. Sesunggguhnya kami pernah menyimpan kaki haiwan korban dan memakannya setelah lima belas hari.” Aisyah ditanya lagi: “Apakah yang mendesak kamu untuk melakukan sebegitu?” Beliau tertawa dan berkata: “Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang dengan roti gandum yang dimakan bersama lauk  selama tiga hari (berturut-turut) sehingga Baginda SAW kembali bertemu Allah ‘Azza wa Jalla.”

Riwayat al-Bukhari (5423)

Imam al-Nawawi berkata, boleh untuk menyimpan daging korban. Dahulu perbuatan menyimpan daging korban ini dilarang untuk lebih dari 3 hari, kemudian Rasulullah SAW berikan keizinan. Ini thabit dalam beberapa hadith yang sahih dan masyhur. Majoriti fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i bahawa larangan tersebut merujuk kepada pengharamannya. Kemudian pengharaman ini dibahaskan pula pada 2 isu:

  • Pengharaman itu pada mulanya bersifat umum, kemudian dimansukhkan.
  • Pengharaman itu adalah khusus pada tahun hadith tersebut diriwayatkan sahaja, kerana umat Islam ketika itu dalam keadaan kesempitan hidup. Apabila telah lepas tahun tersebut, maka terangkatlah pengharaman itu.

Apa sekalipun hukumnya ketika itu, hukum yang tepat sekarang adalah menyimpan daging korban tidak lagi diharamkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/418)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan ringkas ini, larangan Rasulullah SAW dari menyimpan daging korban melebihi 3 hari itu pada asalnya kerana terdapat maslahah buat para fakir miskin, kemudian selepas itu Baginda memberikan semula keringanan untuk menyimpan daging korban.

Di sini dapat kita fahami, sekiranya terdapat maslahah buat mereka yang memerlukan, maka kita juga dibenarkan untuk melewatkan sedikit agihan daging korban selepas dari Hari Tasyrik, dengan cara menyimpan lebihan daging korban tersebut dan diagihkan pada waktu yang lebih sesuai. Bahkan, jika melewatkan agihan ini akan menyebabkan lebih ramai orang memperoleh manfaat, maka perbuatan tersebut lebih utama berbanding bersegera menghabiskan agihan korban.

Urusan untuk menyimpan daging korban atau mengagihkannya terus sejurus selesai sembelihan, kesemuanya ini tertakluk kepada hajat keperluan masyarakat Islam. Sekiranya maslahah umat Islam dapat direalisasikan dengan menunda terlebih dahulu agihan daging korban selepas dari Hari Tasyrik, maka dibenarkan untuk berbuat demikian. Ini secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang dan ruang untuk kita sama-sama menyumbang dalam projek agihan daging korban yang telah dimasak ke negara-negara Islam lain yang lebih memerlukan seperti Palestin. Kami juga berharap agar ia kelak menjadi salah satu dari amal jariah kita dalam usaha membantu mereka yang teguh berjihad menegakkan agama Allah SWT serta mempertahankan tanah air mereka.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ وَالْمُسْلِمِينَ وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِينَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّينِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ الْمُوَحِّدِينَ وَاجْعَلْ اللَّهُمَّ بِلَادَ الْإِسْلَامِ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, muliakanlah agama Islam dan sekalian umatnya, hinakanlah perbuatan syirik dan kaum musyrikin, binasakanlah musuh-musuh agama, bantulah hamba-hamba-Mu yang berpegang dengan tauhid, dan jadikanlah ya Allah negara Islam aman dan tenang, wahai Tuhan sekalian alam.”

Wallahu a‘lam.