#6203: Kakak Kandung Menyusukan Adik Kandung

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Apakah hukum kakak kandung menyusukan adik kandung sehingga  melebihi 3 kali kenyang? Adakah sama taraf anak susuan ataupun tidak? Jika jadi anak susuan, adakah suami kakaknya itu menjadi bapa susuan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman:

حُرِّمَتۡ عَلَیۡكُمۡ أُمَّهَـٰتُكُمۡ وَبَنَاتُكُمۡ وَأَخَوَ ٰ⁠تُكُمۡ وَعَمَّـٰتُكُمۡ وَخَـٰلَـٰتُكُمۡ وَبَنَاتُ ٱلۡأَخِ وَبَنَاتُ ٱلۡأُخۡتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِیۤ أَرۡضَعۡنَكُمۡ وَأَخَوَ ٰ⁠تُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ

Maksudnya: “DIharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik-beradik perempuan kamu, emak-emak saudara kamu di sebelah bapa, emak-emak saudara kamu di sebelah ibu, anak-anak perempuan daripada adik-beradik lelaki dan anak-anak perempuan daripada adik-beradik perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusui kamu dan adik-beradik susuan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Hubungan antara ibu susuan dengan anak susuannya adalah mahram kerana susuan (rada‘ah) sepertimana yang termaktub di dalam ayat di atas.

Imam Ibn Qasim al-Ghazzi menyatakan bahawa bayi menjadi mahram atas dasar susuan bagi ibu susuan apabila memenuhi dua syarat berikut:

  1. Bayi tersebut berusia bawah 2 tahun qamariyah
  2. Mestilah mencukupi sebanyak 5 kali susuan yang berbeza.

(Lihat Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, hal. 259)

Hukum Kakak Menyusukan Adik

Dibolehkan bagi kakak kandung untuk menyusukan adik sama ada 3 kali kenyang atau lebih, menurut tempoh susuan yang telah ditetapkan.

Namun, hubungan antara adik tersebut dengan kakak yang menyusukannya adalah kekal sebagai adik-beradik. Hal ini kerana, ikatan mahram kerana nasab lebih kuat dan akan didahulukan berbanding ikatan mahram kerana susuan. Ikatan mahram kerana nasab ini tidak akan pernah berubah atau tergugat apa jua keadaannya.

Namun, hukum-hakam mahram kerana susuan tetap berlaku ke atas suami kakak dan anak-anaknya. Hal ini berdasarkan keumuman hadith Umm al-Mu’minin Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Susuan boleh mengharamkan (seseorang untuk dikahwini) sepertimana hubungan nasab mengharamkannya.”

Riwayat al-Nasa’i (5411)

Hukum Suami kepada Kakak Tersebut

Manakala, suami kepada kakak tersebut pula mengambil hukum bapa susuan dari sudut hukum apabila susu yang dihasilkan oleh isterinya itu adalah hasil persetubuhan antara mereka berdua yang halal dan menyebabkan kelahiran. Apabila memenuhi syarat ini maka abang iparnya adalah mahram kerana susuan.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “(Menjadi mahram) Pemilik susu yang dinasabkan anak tersebut kepadanya kerana susu terhasil daripadanya iaitu disebabkan oleh air mani yang dikeluarkan dengan cara terhormat iaitu ketika persetubuhan semasa dalam tempoh perkahwinan (dan menyebabkan kelahiran); atau disebabkan hubungan antara tuan dan hamba sahaya; atau disebabkan persetubuhan syubhah kerana sabit nasab, maka penyusuan adalah pengikatnya. Susu yang terhasil disebabkan persetubuhan zina tidak mengharamkan walaupun makruh berkahwin dengan sesiapa yang disusukan dengan susunya (hasil persetubuhan zina tersebut).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/291)

Kenyataan ini berdalilkan dengan hadith Ummu Habibah R.Anha, ketika beliau mencadangkan kepada Rasulullah SAW agar menikahi sepupu baginda iaitu anak perempuan Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهَا ابْنَةُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ أَرْضَعَتْنِي وَأَبَاهَا ثُوَيْبَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya anak perempuan Hamzah itu (sepupu aku) adalah anak perempuan kepada saudara susuanku, Thuwaibah telah menyusukan aku dan bapanya (Hamzah).”

Riwayat Muslim (1449)

Imam al-Damiri berkata mensyarahkan hadith di atas: “Rasulullah SAW menganggap sepupunya yang asalnya halal dikahwini, menjadi mahram kerana susuan dan haram untuk dinikahi. Baginda menganggap diri baginda sebagai bapa saudara susuan kepada anak perempuan Hamzah.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 8/208)

Maka abang ipar yang asalnya merupakan bukan mahram dan haram dinikahi sementara, bakal menjadi haram dinikahi selama-lamanya jika adik yang disusukan itu adalah perempuan, kerana ipar tersebut mengambil hukum bapa susuan. Walaupun begitu, mesti memenuhi syarat, iaitu mesti kurang dua tahun tanpa makan makanan yang lain dan lima kali susuan yang mengenyangkan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kakak boleh menyusukan adik kandungnya. Tiada larangan di dalam syariat. Hukum-hakam mahram susuan akan terpakai kepada suami kakak (abang iparnya) dan anak-anak mereka berdua; iaitu haram berkahwin, tidak membatalkan wudu’ apabila disentuh, batas aurat sesama mahram.

Namun kakak tersebut tetap kakak kandung dan berstatus mahram kerana nasab. Hubungan nasab lebih dominan berbanding hubungan atas dasar susuan.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita ilmu yang bermanfaat, kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk beramal soleh. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Hindarkan kami daripada azab api neraka.”

Wallahu a‘lam.