#6204: Guna Dana Masjid Untuk Jamuan Raya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum guna duit tabung surau/masjid untuk jamuan raya yang dianjurkan oleh surau/masjid ?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا یَعِظُكُم بِهِۦۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِیعَۢا بَصِیرࣰا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu agar menyerahkan segala amanah dan tanggungjawab kepada orang yang berhak menerimanya, dan apabila kamu mengadili antara manusia, hendaklah kamu menetapkan hukuman dengan adil. Sungguh, Allah memberi sebaik-baik pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

(Surah al-Nisa’: 58)

Wang kutipan derma masjid dan surau adalah amanah yang wajib dijaga dan dipelihara. Ia wajib disalurkan kepada manfaat dan maslahat pengimarahan rumah Allah serta kebajikan masyarakat umat Islam di sekelilingnya.

Ahli Jawatankuasa Masjid yang bertanggungjawab memegang amanah duit masjid dan surau serta menguruskannya wajib memastikan perkara tersebut dialirkan kepada saluran yang betul dan tepat secara telus dan amanah.

Manakala majlis jamuan raya pula di sisi ‘uruf (adat kebiasaan) masyarakat kita adalah salah satu usaha memakmurkan rumah Allah SWT dengan memberi makan dan minum kepada orang ramai, menyatupadukan masyarakat Muslimin serta bergembira atas nikmat Allah SWT demi membesarkan syi‘ar-Nya. Ia bukan amalan kemaksiatan atau dosa, maka ia termasuk aktiviti dan kegiatan pengimarahan rumah Allah dan kemaslahatan umat Islam.

Kami berpandangan situasi ini sama seperti situasi seorang pemimpin (ulil amri) yang mengambil sejumlah harta daripada baitulmal untuk melaksanakan ibadah korban untuk umat Islam. Dengan ibadat korban tersebut, pahalanya dikongsikan kepada sekalian umat Islam dan dagingnya diagihkan sebagai hadiah pemberian makan sesama Muslimin. Dalam situasi ini, pemimpin boleh menggunakan harta baitulmal (harta awam) kerana menyalurkannya untuk kemaslahatan kaum Muslimin. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 9/367

Kami nyatakan, begitu juga Ahli Jawatankuasa Masjid atau Surau yang memegang sebuah dana masjid dan surau. Jika dia menyalurkannya untuk kemaslahatan dan manfaat komuniti Islam yang bukan kemaksiatan atau dosa bahkan merupakan ibadah dan ketaatan, maka ia dibenarkan dan tepat untuk dikiaskan dengan contoh di atas.

Para ulama menegaskan kaedah apabila diamanahkan mengurus hak milik orang lain dengan menyatakan:

تَصَرُّفُ حَقِّ الْغَيْرِ إِنَّمَا يَكُونُ بِالْأَحْسَنِ

Maksudnya: “Apabila kita diberi amanah menguruskan harta orang lain, maka hendaklah kita menyalurkannya kepada perkara yang terbaik.”

Maka AJK masjid dan surau yang bertanggungjawab wajiblah menggunakan wang tersebut untuk kemaslahatan dan kebaikan, sebaik mungkin.

Fatwa Negeri Kedah: Garis Panduan Penggunaan Wang Surau Untuk Aktiviti/Program

Bagi menyokong pernyataan kami, kami bawakan pewartaan Jabatan Mufti Negeri Kedah di dalam terbitan Siri Irsyad al-Hukmi, Edisi 2/2019, seperti berikut:

“ – Wang yang didermakan oleh orang ramai sebagai khairat/kebajikan kepada sesebuah masjid/surau; Harus dimanfaatkan untuk aktiviti-aktiviti yang mendatangkan kemaslahatan ahli jemaah dan anak kariah masjid/surau berkenaan contohnya seperti bayaran saguhati pensyarah dan guru yang mengajar di masjid/surau itu, mengadakan jamuan, majlis berbuka puasa untuk ahli jemaah dan anak kariah masjid / surau dan sebagainya.”

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat dibolehkan untuk menggunakan duit tabung surau atau masjid untuk jamuan raya yang dianjurkan oleh surau atau masjid. Hal ini kerana duit tersebut tetap disalurkan kepada aktiviti pengimarahan dan pengurusan masjid dan surau, dan merancakkan fungsi masjid sebagai pusat penyatuan masyarakat serta perpaduan umat Islam. Walaupun begitu, kami cadangkan wujudkan tabung khas untuk derma jamuan termasuk jamuan hari Raya. Hal ini sebagai keluar dari sebarang khilaf dan tanggapan. Kaedah menyebut:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Di samping melaksanakan ibadah memberi makan dan minum kepada umat Islam di sesebuah tempat. Ini merupakan pahala yang agung di sisi Allah SWT, firman-Nya:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا

Maksudnya: “(Penghuni syurga itu adalah orang yang) memberi makan secara sukarela; sama ada kepada orang miskin, anak-anak yatim mahupun orang susah yang sedang dalam tahanan.”

(Surah al-Insan: 8)

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh sehingga ke akhir hayat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي أَوْجَهَ مَنْ تَوَجَّهَ إلَيْكَ، وأقْرَبَ مَنْ تَقَرَّبَ إِلَيْكَ، وأفْضَلَ مَنْ سَألَكَ وَرَغِبَ إِلَيْكَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu yang paling hebat dalam ibadah sepanjang perjalanan menuju ke arah-Mu, dan hamba yang paling dekat di sisi-Mu, dan hamba-Mu yang paling terbaik dalam berdoa dan mengharapkan kurniaan-Mu.”

Wallahu a‘lam.