#6206: Sebab Turunnya Ayat 221 Surah al-Baqarah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, sebab turunnya ayat 221 daripada Surah al-Baqarah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَا تَنكِحُوا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ ۗ وَلَا تُنكِحُوا الْمُشْرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤْمِنُوا ۚ وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ ۗ أُولَٰئِكَ يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).”

(Surah al-Baqarah: 221)

Ayat ini merupakan laangan kepada orang yang beriman untuk menikahi pasangan-pasangannya dari kalangan orang yang melakukan syirik terhadap Allah SWT. Allah SWT memerintahkan orang lelaki dan perempuan yang beriman untuk memilih pasangannya dalam kalangan orang yang beriman juga dan tidak memilih daripada golongan yang musyrik walaupun yang musyrik tersebut menarik perhatian mereka. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 1:35)

Ayat 221 menjelaskan pengharaman bagi kaum muslimin untuk menikahi wanita-wanita musyrik yang menyembah berhala secara umum, yang mencakupi semua wanita, baik dalam kalangan ahlul kitab mahupun penyembah berhala, kemudian Allah SWT telah mengkhususkan wanita Ahlul Kitab, melalui firman-Nya dalam Surah Al-Maidah ayat 5 yang bermaksud: “(Dan dihalalkan menikahi) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu, jika kamu telah membayar maskahwin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak pula menjadikannya gundik.”

Setelah itu, pengharaman juga ditegaskan daripada menikahkan lelaki musyrik dengan wanita-wanita yang beriman kerana wanita Muslimah tidak halal bagi orang kafir itu dan orang kafir itu juga tidak halal juga bagi mereka.  Oleh kerana itu, Allah SWT menjelaskan bahawa seorang budak lelaki yang beriman meskipun ia seorang hamba keturunan Habsyi adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik meskipun ia seorang pemimpin yang mulia. Hikmah larangan tersebut adalah kerana pergaulan dan perhubungan dengan mereka hanya akan membangkitkan kecintaan kepada dunia dan kebinasaannya serta lebih mengutamakan dunia daripada Akhirat dan hal ini menatijahkan akibat yang buruk manakala pernikahan dengan orang beriman akan membawa keimanan kepada Allah SWT dan keampunan-Nya. Kesemua hukum-hakam tersebut adalah sebagai satu peringatan dan pengajaran kepada umat manusia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/467)

Sebab turun ayat ini kerana Rasulullah SAW telah mengutus sahabatnya bernama Marthad al-Ghanawi ke kota Makkah untuk mengeluarkan kaum Muslimin yang lemah dan dibawah ke kota Madinah. Sesampainya di kota Makkah, seorang perempuan musyrik yang cantik dan berharta menawarkan diri untuk bersamanya. Dikatakan perempuan tersebut bernama Anaq. Tetapi Marthad enggan kerana takutkan Allah SWT. Kemudian, beliau datang kembali kepada Marthad al-Ghanawi untuk berkahwin dengannya. Marthad bersetuju tetapi mestilah mendapat keizinan Nabi dahulu. Sesampainya di kota Madinah, beliau bertanyakan halnya kepada Rasulullah SAW dan meminta izin untuk menikahi perempuan tersebut. Lantas turunnya ayat ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”