#6208: Peranan Tamadun Islam Terhadap Tamadun Kemudian

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah tamadun Islam banyak memberi sumbangan kepada tamadun dunia pada masa kini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Sudah tentu sekali, tamadun Islam mempunyai peranan yang amat besar. Bahkan ungkapan tokoh barat jelas menunjukkan tamadun Islam berkembang dan seterusnya memberi sumbangan kepada tamadun sehingga ke hari ini.

Profesor Roger Garaudy ada menjelaskan mengenai peranan tamadun Islam kepada tamadun akan datang. Beliau menyatakan bahawa seorang rahib Perancis, Gerbert of Aurillac, berkunjung ke Universiti Cordova lalu pulang dengan tahap keilmuan yang hebat sehingga dianggap sudah melepasi keilmuan syaitan. Kemudian, dia dilantik sebagai Paus dengan gelaran Pope Sylvester II. Pada ketika itu, tamadun barat banyak berkiblatkan ilmu-ilmu Islam sama ada dalam lapangan perubatan, aritmetik dan algebra, optik, falsafah, mantik dan sebagainya. Selain itu, universiti-universiti Eropah di Perancis dan United Kingdom juga mengajar penulisan-penulisan al-Razi, Ibn Rushd, Ibn Haitham dan sebagainya, di dewan-dewan kuliah mereka pada kurun ke-16 di Perancis dan pertengahan kurun ke-19 di England. (Lihat Roger Garaudy dalam Limaza Aslamtu, cetakan Maktabah al-Quran, him. 77-79. Ditulis oleh Muhammad Othman al-Khashit)

Golongan barat tidak berhenti sekadar mengambil manfaat daripada Muslimin dalam bentuk teori sahaja, mereka turut mempelajari tentang balai cerap, peta, menyingkap nombor-nombor Arab, nombor sifar, bahan-bahan kimia, farmasi, industri dan sebagainya.

Di samping itu, dalam lapangan kemanusiaan, Roger Garaudy ada menyebutkan bahawa Ibn Khaldun merupakan pelopor kepada teori akademik mengenai sejarah dan sosiologi. Keperibadian seperti ini tidak mungkin muncul tanpa secara tiba-tiba, bahkan fakta ini menunjukkan kemajuan ideologi Islam pada zaman kegemilangannya dalam bidang kemanusiaan.

Beliau juga mengatakan bahawa sains pada satu ketika dahulu tidak berkembang maju kerana pihak gereja menanamkan keraguan bagi menentang ilmu sains atas dakwaan ia menjauhkan seseorang daripada tuhan. Demikianlah norma ini berlaku dalam lipatan sejarah, pihak gereja berterusan menentang ilmu sains. Manakala, dalam masyarakat Islam, ilmu berkembang maju atas prinsip integrasi antara ilmu alam, ilmu kalam, falsafah dan bidang-bidang lain, dengan risalah masjid (ibadah) dan sekolah. Universiti al-Qarawiyyin di Fes, Maghribi, Universiti al-Zaitunah di Tunis, Tunisia, Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir, Samarkand dan Cordova dahulunya merupakan pusat penyebaran ilmu, bukan untuk masyarakat Islam sahaja, malah untuk masyarakat Eropah yang terkesan dengannya lalu mengasaskan pengajian perubatan di Salerno, Itali dan di Montpellier, Perancis bermodelkan pengajian perubatan masyarakat Islam.

Selain itu, dalam bidang matematik pula, terdapat banyak sumbangan orang Islam dalam kemajuan Eropah dan ia membantu kepada perkembangan ilmu aritmetik dan algebra. Tidak perlulah penulis menyatakan kaedah penomboran mereka pada ketika itu yang kini ditulis ‘4444’ tetapi ditulis pada masa lalu sebagai ‘MMMMCDXLIV. Dengan kaedah penomboran seperti ini, proses pengiraan aritmetik dan algebra dahulu amat payah untuk dilakukan.

Jika dibandingkan dengan sumbangan dalam ilmu-ilmu lain, kedudukan ilmu sosiologi juga tidak kurang hebatnya kerana Ibn Khaldun sahaja sudah memainkan peranan yang besar dalam pembinaan prinsip-prinsip ilmu ini. Para sarjana Muslimin juga lebih maju berbanding pakar-pakar astronomi Yunani, sama ada dalam lapangan pencerapan atau astrometri. Mereka juga memainkan peranan besar dalam perkembangan ilmu geografi dan matematik. (Lihat Kerahmatan Islam dan Fenomena Terrorisme oleh Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi, hlm. 109-110)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”