#6212: Sifat Abu Hanifah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami tentang sifat dan akhlak Abu Hanifah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ

Maksudnya: “Sebenarnya yang bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama’)”.

(Surah Fathir:28)

Kami mulakan dengan biografi ringkas Abu Hanifah:

Imam Abu Hanifah adalah salah seorang daripada empat Imam yang terkenal di dalam Islam. Beliau dilahirkan terlebih dahulu sebelum imam-imam yang lain. Imam Abu Hanifah adalah seorang yang berjaya di dalam hidupnya, juga seorang yang bijak dalam bidang ilmu pengetahuan serta cekap di dalam memberi sesuatu keputusan bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

Oleh kerana beliau seorang yang berakhlak atau berbudi pekerti yang tinggi serta mempunyai hubungan yang rapat dengan pembesar negeri, beliau mendapat tempat yang baik dalam masyarakat ketika itu sehingga berjaya menyandang pangkat atau gelaran yang tertinggi, iaitu imam terbesar (al-Imam al-A’zham) atau Ketua Agung.

Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang yang alim dalam ilmu fiqh di negara Iraq, juga sebagai ketua golongan ahli fikir (Ahlu Ra’yi) dan turut mendapat pujian pembesar. Seorang utusan yang dihantar oleh Abdullah bin al- Mubarak (seorang pembesar pada masa itu) berkata: “Imam Abu Hanifah adalah akal ilmu pengetahuan, manakala perutusan yang lain pula berkata beliau sebagai pakar di dalam ilmu fiqh.”

Imam Abu Hanifah dilahirkan pada tahun 80 Hijrah, bersamaan 660 Masihi. Sesetengah pendapat ahli sejarah mengatakan bahawa beliau dilahirkan pada 61 Hijrah. Namun, pendapat ini tidak kuat kerana yang sebenarnya ialah pada tahun 80 Hijrah, sebagaimana pendapat yang
pertama.

Nama sebenar Imam Abu Hanifah ialah al-Nu’man dan keturunan beliau yang selanjutnya adalah sebagaimana di bawah ini:

Thabit, Zuta, Ma’ah, Muli-Taimullah dan akhirnya Tha’labah. Ahli sejarah ada pula yang berpendapat bahawa Imam Abu Hanifah berasal dari bangsa Arab, dari suku (Bani) Yahya bin Asad dan ada yang mengatakan beliau berasal dari keturunan Ibn Rusyd al-Ansari.

Pendapat di atas adalah tidak benar dan pendapat yang sebenar ialah beliau keturunan berbangsa Parsi. Sebagai buktinya, keturunan beliau adalah seperti berikut:

Al-Nu’man, Thabit, al-Marzuban. Al-Marzuban ialah perkataan Parsi yang bererti Ketua Kaum Parsi (merdeka). Bukti yang kedua pula ialah disebabkan perkataan Zuta, ada di antara susunan keturunan beliau. Perkataan Zuta ialah perkataan bangsa asing (Ajam).

Justeru, para tokoh sejarah Islam menyatakan bahawa beliau bukan berasal daripada keturunan Arab dan beliau dikenali sebagai golongan mawla (gelaran kepada mereka yang tidak berbangsa Arab atau tidak berasal daripada keturunan Arab), iaitu mawla kepada Bani Taym Allah bin Tha‘labah daripada keturunan Bakr bin Wa’il. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 6/368; al-Kamil fi al- Du’afa’ al-Rijal oleh Ibn ‘Uday al-Jurjani, 8/235; Wafayat al-A’yan, 5/405; Tahzib al-Kamal, 29/418; Siyar A’lam al-Nubala’, 6/390; Tahzib al-Tahzib, 4/229 dll.)

Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa beliau adalah termasuk daripada golongan orang-orang yang diceritakan oleh hadis Rasulullah SAW, yang bermaksud: “Jika ilmu pengetahuan tertentu kepada hartawan sahaja, maka semua orang Parsi akan berilmu pengetahuan.” (Lihat Biografi Imam Empat Mazhab, hlm. 12)

Dikatakan, Abu Hanifah seorang peniaga di Kufah yang menjual kain. Beliau terkenal dengan benarnya bermuamalah. Beliau melarikan diri daripada sifat menindas. Seorang yang mempunyai wajah yang baik dan baik perbicaraan serta berkorban untuk rakan taulannya. Beliau orang yang tampan di kalangan lelaki. Bahasanya cukup lembut dan suaranya menarik.

Kata Ja’far bin Rabi’: Aku bersama Abu Hanifah lima tahun. Aku tidak melihat orang yang paling banyak diam. Apabila ditanya tentang Fiqh, maka dijawabnya ibarat banjir yang mengalir di lembah. Beliau adalah pakar dalam ilmu qiyas.

Abdullah bin Mubarak berkata kepada Sufyan al-Thauri: Hai Aba Abdillah. Betapa jaraknya Abu Hanifah daripada ghibah atau mencela dan mengumpat. Aku tidak mendengarnya dia mengumpat musuhnya sekali pun. Lantas jawab Sufyan al-Thauri: Dia adalah seberakal manusia yang tak mungkin kebajikannya itu akan dihilangkannya. (Lihat Tarikh al-Tasyri’ al-Islami oleh Syeikh Muhammad al-Khidri Bek, hlm. 321)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”