Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sahabat saya melaksanakan ibadat haji pada tahun ini. Selepas wukuf di Arafah, beliau pulang ke Makkah dan singgah di bilik hotel. Seterusnya bersama dengan isterinya. Selepas keduanya mandi, barulah mereka pergi tawaf di Ka’bah dan sa’ie serta bercukur. Adakah sah hajinya dan adakah dikenakan sesuatu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan firman Allah SWT:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ
Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.
(Surah al-Baqarah: 197)
Ibn Kathir berkata: “ (فَلَا رَفَثَ) di sini bermaksud sesiapa yang berihram dengan haji atau umrah, maka hendaklah dia meninggalkan rafath (رَفَثَ), iaitu bersetubuh. Begitu juga diharamkan kepada perkara yang membawa kepada persetubuhan, berciuman, dan seumpamanya serta membicarakan hal itu di hadapan wanita.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/543)
Justeru, para ulama’ berkata: Di antara larangan ihram terbesar adalah bersetubuh dan ia sama sama ada orang yang sengaja atau jahil, terlupa atau dipaksa.
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, para ulama’ sepakat:
- Jika seorang bersetubuh dengan isterinya sebelum wukuf di Arafah, maka rosaklah hajinya dan wajib kepadanya kifarat dengan seekor kambing dan ada pendapat seekor unta. Seterusnya hendaklah disempurnakan baki kerja hajinya kemudian wajib qadha pada tahun berikut kerana hajinya tidak sah.
- Adapun jika setubuh tersebut berlaku pada masa haji tetapi selepas wukuf di Arafah, hal ini terbahagi kepada beberapa keadaan.
- Jika setubuh berlaku selepas melontar jamrah aqabah dan sebelum tawaf ifadhah, maka hajinya sah tetapi dikenakan dam seekor unta di sisi mazhab Hanafi dan Syafi’i. Sedangkan di sisi mazhab Maliki dan Hanbali seekor kambing sahaja.
- Jika sekiranya persetubuhan berlaku selepas wukuf dan sebelum melontar jamrah aqabah, di sisi Hanafi dan satu riwayat mazhab Malik, hajinya sah dan wajib kifarat dengan seekor unta. Dalam riwayat yang lain, bagi mazhab Malik dan di sisi mazhab Syafi’i dan Hanbali, hajinya rosak dan hendaklah qadha pada tahun berikutnya, serta beliau dikehendaki membayar kifarat dengan seekor kambing di sisi Malik dan seekor unta di sis mazhab Syafii dan Hanbali. Begitu juga, hendaklah disempurnakan baki kerja haji yang lain bersama jemaah haji. Untuk pengetahuan, menyempurnakan ibadat yang rosak hanya khusus dalam ibadat haji sahaja. (Lihat Dalil al-Hajj wa al-Umrah yang disediakan oleh Markaz al-Azhar al-’Alami, hlm. 96-97)