#6218: Nabi Yusuf A.S Memohon Jawatan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi Yusuf A.S memohon jawatan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Surah Yusuf merupakan surah yang amat penting dibuat kajian oleh kita semua.

Menurut al-Fairuz Abadi, nama Yusuf diambil daripada perkataan “asafa-yusufu” (آسف-يوسف) yang bermaksud kesedihan atau kemarahan. Kemungkinan sedemikian adalah lantaran kisah sedih perpisahan dua beranak, yang berlaku kepada Baginda A.S dan bapanya Yaakub A.S sejak kecil. (Lihat Basa‘ir Zawi al-Tamyiz fi Lataif al-Kitab al-‘Aziz, 6/46)

Menurut para mufasir, Surah Yusuf hanya dinamakan dengan nama ini. Tidak terdapat dalam mana-mana riwayat daripada para sahabat mahupun tabiin yang mentafsirkan selain daripada nama ini. (Lihat al-Tafsir al-Wasit li al-Quran al-Karim, 7/299)

Antara yang menyokong pernyataan ini ialah riwayat daripada Ibn Abbas dan Ibn al-Zubair R.Anhuma yang mengatakan bahawa surah Yusuf diturunkan di Makkah. Juga riwayat daripada seorang tabiin, Abdullah bin Amir bin Rabi‘ah bahawa beliau mendengar Umar bin al-Khattab R.A membaca surah Yusuf dalam solat subuhnya. (Lihat al-Durr al-Manthur fi Tafsir bi al-Ma’thur, 4/495)

Jelas sekali surah ini dinamakan dengan nama Nabi Yusuf bin Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim A.S, adalah kerana di dalamnya diceritakan kisah Nabi Yusuf A.S secara terperinci. Selain itu, hanya kisah Nabi Yusuf A.S sahaja yang diceritakan dalam surah ini. Bermula daripada kisah Baginda A.S ketika kecil yang dianayai oleh abang-abang sebapanya, sehinggalah kepada peristiwa Baginda A.S menjemput semua ahli keluarganya tinggal bersama di Mesir, sekaligus membuktikan kebenaran mimpi Baginda A.S ketika kecil, telah dirangkumkan sepenuhnya di dalam surah ini. (Lihat Asma’ Suwar al-Quran wa Fada‘iluha, 207) Hal ini seperti yang dapat dilihat dalam tafsiran surah ini.

Para mufasir telah bersepakat bahawa surah ini turun dalam tempoh Makkiyyah. Lebih tepat, penurunannya adalah pada tahun kesedihan dan ketika berlakunya peristiwa Israk Mikraj sekitar tahun ke-10 kenabian sehinggalah peristiwa Hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 12/197)

Menurut Sayyid Qutb, ketikamana Rasulullah SAW dan para sahabat diuji dengan pelbagai tekanan daripada Quraisy, Allah SWT menurunkan surah ini bagi menunjukkan betapa Nabi Yusuf A.S sejak dari kecil lagi sudah diuji dengan pelbagai ujian dan fitnah. Bermula daripada penganiayaan oleh abang-abangnya, pernah dijadikan hamba yang dijual di pasar, pernah juga dimasukkan ke dalam penjara selama beberapa tahun lamanya barulah selepas itu dia mendapat tempat di hati pemerintah semula. Sayyid Qutb juga menyebut bahawa kisah Nabi Yusuf yang dikeluarkan daripada kawasan kelahirannya, kemudian menapak di bumi Mesir juga, seolah-olah memberi isyarat bahawa Rasulullah SAW akan mengikuti langkah yang sama, iaitu berhijrah dan mendirikan negara Islam di Madinah.

Sayyid Qutb menyebut bahawa penegasan tentang penurunan al-Quran dalam Bahasa Arab, sangat bersesuaian dengan fasa Makkiyyah, yang menyaksikan Rasulullah SAW dan para sahabat berhadapan dengan golongan Quraisy yang merupakan ahli fasahah dan cita rasa Bahasa Arab yang tinggi. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/1949)

Surah Yusuf juga menjadi mukjizat yang nyata kepada masyarakat Arab pada fasa Makkiyyah sebelum Hijrah Nabi SAW, kerana mereka tidak mengetahui kisah Nabi Yusuf A.S. Rasulullah SAW membacakan kisah ini kepada mereka sebelum Baginda SAW bertemu dengan orang Yahudi di Madinah yang mempunyai pengetahuan tentang sebahagian daripada kisah ini menerusi kitab-kitab mereka. Oleh yang demikian, ia menjadi mukjizat yang nyata kepada masyarakat Arab ketika itu, jika mereka mahu berfikir lalu beriman dengan Baginda SAW. (Lihat Wahat al-Tafsir, 7/14.

Berkenaan persoalan di atas, ketika Raja berbicara dengan Nabi Yusuf AS, ternyata Baginda memiliki kemampuan yang tinggi dalam pembinaan teori, menganalisis dan melaksanakannya. Oleh sebab itu, beliau terus berkata kepada baginda,

 إِنَّكَ ٱلْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf) seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami.”

(Surah Yusuf: 54)

Ayat ini bermaksud, “Wahai Yusuf, dengan ilmu dan sifat amanah kamu, kamu memiliki hak untuk memegang mana-mana jawatankuasa pelaksana negara”. Lalu, Nabi Yusuf a.s. menjelaskan sendiri jawatan apa yang bersesuaian buat dirinya dengan berkata,

 قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir). Sesungguhnya aku adalah orang yang mampu menjaganya (dengan sebaik-baiknya) lagi mengetahui cara mentadbirkannya.”

(Surah Yusuf: 55)

Realitinya, jawatan itu jika disamakan pada hari ini, ia mencakupi tugasan empat jabatan kementerian di sesebuah negara, iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian, Kementerian Ekonomi dan Perdagangan dan Kementerian Pembangunan Sosial. (Lihat Kerahmatan Islam dan Fenomena Terrorisme oleh Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi, hlm. 402)

Kami katakan:

Pertama, Nabi Yusuf AS atas kapasiti seorang rasul dengan sifat fatanah, amanah dan siddiq.

Keduanya, ia dimulai dengan tawaran oleh raja mesir berdasarkan siyaq ayat tersebut.

Ketiganya, Nabi Yusuf AS mempunyai kelayakan, amanah dan kemampuan yang luar biasa untuk melaksanakan tugas. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

(Surah al-Qasas: 26)

Al-Maraghi berkata: “Kedua-dua sifat ini, iaitu kepercayaan dan kekuatan, jika ada pada setiap pekerja, maka dia akan mendapat keuntungan dan keberhasilan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/5127)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)