#6219: Faedah Hijrah ke Habasyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, beberapa faedah yang dapat kita ambil hasil hijrah para sahabat Nabi SAW ke Habasyah sebanyak dua kali sebelum mereka berhijrah ke kota Madinah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ثَوَابًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ

Maksudnya: Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”

 (Surah Ali-Imran: 195)

Imam Ibn Jarir al-Tabari menyatakan di dalam tafsirnya: Mereka yang berhijrah dari kaumnya di kalangan orang kafir semata-mata kerana Allah menuju kepada saudaranya di kalangan orang beriman dan mereka dikeluarkan daripada kampung halaman maka Allah janjikan balasan disisi-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 6/322)

Para sejarawan menyatakan bahawa ketika kaum Quraisy menggiatkan lagi seksaan dan tekanan ke atas para sahabat Rasulullah SAW di Makkah al-Mukarramah, Baginda memberi keizinan kepada sebahagian sahabat untuk berhijrah. Dalam Tarikh Ibn Kathir disebutkan, “Muhammad bin Ishaq berkata, ‘Ketika Rasulullah SAW melihat ujian yang menimpa para sahabatnya sedangkan Baginda dalam keadaan selesa disebabkan kemuliaan Baginda di sisi Allah SWT dan bapa saudaranya, Abu Talib, dan Baginda tidak mampu untuk menjadi benteng musibah tersebut, Baginda bersabda kepada mereka,

لَوْ خَرَجْتُمْ إِلَى أَرْضِ الْحَبَشَةِ ; فَإِنَّ بِهَا مَلِكًا لَا يُظْلَمُ عِنْدَهُ أَحَدٌ، وَهِيَ أَرْضُ صِدْقٍ، حَتَّى يَجْعَلَ اللَّهُ لَكُمْ فَرَجَا مِمَّا أَنْتُمْ فِيهِ.

Maksudnya: “Bagaimana kalau kalian keluar ke Habsyah? Tetaplah di sana sehingga Allah bukakan jalan penyelesaian buat kalian daripada musibah ini kerana Habsyah dipimpin oleh seorang raja yang tidak pernah menzalimi seorang pun dan ia juga adalah negara yang baik.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/166)

Faedah Peristiwa Hijrah ke Habsyah

Faedah yang dapat digarap daripada kisah ini ialah:

  1. Pintu masuk ke dalam hati golongan lain dapat dicapai melalui persamaan prinsip-prinsip dan menjelaskan ciri-ciri baik pada pendirian mereka. Hal ini dapat dilihat ketika Ja’far RA membacakan sedikit daripada Surah Maryam yang menyebutkan ciri-ciri baik yang ada pada Nabi Isa a.s. dan Maryam AS, sehingga raja itu turut menangis. Pada kejadian ini, Ja’far tidak mengatakan sama sekali yang disebutkan dalam al-Quran berhubung golongan Kristian seperti isu triniti dan celaan kepada mereka. Tindakan ini menunjukkan bahawa kelompok minoriti Muslim hendaklah sentiasa mencari persamaan dalam prinsip dan perkara-perkara yang dicintai oleh kedua-dua pihak.
  2. Beriltizam dengan prinsip asas walau pada apa jua keadaan. Kita telah melihat para sahabat Rasulullah SAW tidak bersujud kepada Raja Najasyi walaupun mereka dalam keadaan tersepit dan terancam. Sedangkan budaya di sana menuntut mereka untuk bersujud kepada raja. Akan tetapi, mereka tetap menghadap raja dengan penuh izzah dan hormat tanpa bersujud atau melutut kepadanya walaupun mereka terancam dengan pengusiran dan dikembalikan kepada Quraisy kerana wakil Quraisy telah datang dengan hadiah yang melimpah-ruah sebagai bayaran tebusan serta bersujud kepada raja. Disebabkan itulah Raja Najasyi bertanya kepada umat Islam di sana apakah sebab mereka tidak menghormatinya seperti wakil kaum mereka ini? Maka Ja’far pun menjawab, “Adapun tentang penghormatan itu, Rasulullah SAW mengkhabarkan kepada kami bahawa penghormatan ahli syurga ialah ucapan salam dan Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk memberi penghormatan kepada Baginda sama seperti kami berikan sesama kami.” Dalam riwayat lain disebutkan, “Kemudian, Baginda memerintahkan kami untuk hanya bersujud kepada Allah SWT. “(Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad (1/461) dan lihat juga al-Bidayah wa al-Nihayah (4/173).

Peristiwa ini menunjukkan bahawa kelompok minoriti Muslim dituntut untuk tidak menggadaikan prinsip agama mereka dan tidak menerima sebarang ajaran yang bercanggahan dengan prinsip agama dan akidah, atau menjurus ke arah penggadaian identiti. Perkara ini amatlah penting, kerana apalah nilai hidup dalam keadaan aman dan senang sedangkan akidah dan prinsip terancam. Oleh itu, mereka wajib berhempas-pulas dan mengorbankan segalanya demi memelihara identiti Islam dan identiti generasi-generasi terkemudian.

  1. Adalah harus untuk berhijrah ke negara orang kafir dan menetap di sana kerana para sahabat juga menetap di Habsyah sehingga tahun berlakunya Perang Khaibar. Hal ini dapat dilihat melalui kalam Ja’far, “Maka kami pun keluar berhijrah ke Madinah lalu Rasulullah SAW bertemu denganku dan memelukku seraya bersabda:

مَا أَدْرِي بِأَيِّهِمَا أَنَا أَفْرَحُ بِفَتْحِ خَيْبَرَ أَمْ بِقُدُومِ جَعْفَرٍ

Maksudnya: “Aku tidak pasti aku lebih gembira dengan kemenangan di Khaibar atau ketibaan Ja’far (di Madinah).” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/179; al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani, 2/1478)

  1. Kelompok minoriti Muslim hendaklah mencintai negara baharu yang menaungi mereka, bersedih akan tawanan musuh terhadap rakyat dan pemerintahnya, mendoakan kemenangan mereka dan bergembira dengannya, menghadiri perjuangan mereka dan menyampaikan berita gembira atas kemenangan mereka. 427 Perkara ini ada dalil yang membuktikan ia tidak bertentangan dengan wala’ kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan umat Islam.
  2. Memberikan kesetiaan. Al-Baihaqi dan selainnya meriwayatkan daripada Abu Umamah, dia berkata, “Delegasi Najasyi pernah datang bertemu Nabi SAW lalu Baginda berkhidmat buat mereka. Maka para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, cukuplah kami buat sedemikian mewakilimu.” Balas Baginda:

إِنَّهُمْ كَانُوا لِأَصْحَابِي مُكْرِمِينَ، وَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ أُكَافِئَهُمْ

Maksudnya: “Dahulu mereka memuliakan para sahabatku. Maka aku suka untuk membalas jasa mereka.” (Lihat Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi (2/307) dan al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/194).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”