#6221: Zakat Anak Tiri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah anak tiri tu dibawah tanggungan ayah tiri dan adakah diwajibkan bagi ayah tiri menanggung kewajipan zakat anak tirinya  sekiranya ayah kandung sudah tiada.  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Zakat fitrah adalah salah satu jenis zakat yang diwajibkan orang Islam membayarnya setiap tahun. Ia mula difardhukan pada tahun ke dua hijrah ketika difardhukan puasa Ramadhan. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan pelaksanaan zakat fitrah dengan segantang tamar, atau segantang barli ke atas hamba dan orang yang merdeka, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua, daripada kalangan Muslimin, dan baginda menyuruh agar ditunaikan sebelum manusia keluar menuju solat (Hari Raya).”

 Riwayat al-Bukhari (1503)

Imam al-Nawawi menyatakan:  Di sisi ulama mazhab Imam al-Syafi‘i, pendapat yang paling sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut غالب قوت البلد (jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk). (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 6/132)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Zakat Fitrah telah ditetapkan kadarnya, wajib dikeluarkan ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan, bagi setiap mukallaf dan orang yang dibawah tanggungan nafkahnya.

Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:

  • Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.
  • Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan
  • Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan. (Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/95-98)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan anak tiri merupakan anak daripada isterinya dengan suaminya yang terdahulu, atau anak daripada suami dengan isterinya yang terdahulu. Dalam Islam, anak tiri tidak wajib dinafkahi oleh ayah tirinya, meskipun kedua-duanya sudah menjadi mahram. Hal ini kerana hubungan antara ayah tiri dan anak tirinya tidak terdapat padanya hubungan nasab dan kekeluargaan yang menyebabkan ayah tiri wajib menafkahi anak tirinya.

Menurut para ulama, terdapat tiga situasi yang menyebabkan seseorang wajib memberikan nafkah, iaitu:

  • Memiliki hubungan nasab dan kerabat seperti antara ayah kandung dan anak kandungnya.
  • Memiliki ikatan pernikahan seperti suami dan isterinya.
  • Disebabkan oleh pemilikan seperti memiliki seorang hamba, maka dia wajib menafkahinya.
  • Hal ini sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Abu Bakar Syata al-Dimyathi al-Bakri di dalam kitab I’anah al-Talibin : Ketahuilah bahawa sebab kewajiban nafkah terbahagi kepada tiga perkara; Ikatan perkawinan, Kekerabatan, dan Pemilikan. (Lihat I’anah al-Talibin, 4/70)

Begitu juga disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah: pemberi nafkah harus berstatus sebagai pewaris. Jika dia bukan pewaris, maka dia tidak wajib memberi nafkah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 41/80)

Oleh yang demikian dalam isu ini, tidaklah diwajibkan ke atas ayah tiri untuk menanggung kewajipan zakat anak tirinya. Ini kerana ayah tiri tidak diwajibkan untuk menafkahi anak tirinya. Hal ini difahami melalui sebuah kaedah yang menyebutkan

كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang wajib menafkahi seseorang, wajib juga menunaikan zakat fitrah bagi tanggungannya.”

Telah dinukilkan dalam al-Taqrirat al-Sadidah (Hlm. 419) bahawa: jika seseorang itu menafkahi (menanggung) seseorang atas sebab nikah (isteri, anak-anak), kaum kerabat (ibu ayah, saudara) dan khidmat (hamba) maka wajib juga seseorang itu membayarkan zakat fitrah bagi tanggungannya.

Begitu juga al-Syairazi menyebutkan bahawa: Barangsiapa yang diwajibkan ke atasnya zakat fitrah maka diwajibkan juga mengeluarkan zakat fitrah ke atas tanggungannya sekiranya mereka itu muslim. Diwajibkan zakat sekiranya dia mempunyai harta yang lebih dari keperluan nafkahnya. Oleh yang demikian, bapa, Ibu, datuk, nenek dan ke atas diwajibkan mengeluarkan zakat bagi anak, cucu dan ke bawah. Begitu juga diwajibkan ke atas anak atau cucu mengeluarkan zakat fitrah ke atas Ibu, bapa serta datuk nenek  dan ke atas sekiranya diwajibkan untuk menafkahi mereka.  (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, 1/301)

Justeru dengan merujuk kepada perbahasan yang telah dibincangkan sebelum ini, jelaslah bahawa zakat bagi anak tiri bukanlah merupakan tanggungan yang wajib dipikul oleh bapa tiri. Ini kerana, tidak wujudnya hubungan waris antara anak tiri dengan bapa tirinya. Walaubagaimanapun, sekiranya bapa tiri memilih untuk mengambil tanggungjawab dalam menunaikan zakat bagi anak tirinya, tiada kesalahan dalam tindakan tersebut dan sebaliknya, tindakan tersebut adalah amat digalakkan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”

Wallahua‘lam.