#6223: Bilangan Isteri Nabi SAW yang Ditinggalkan Selepas Baginda Wafat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapa orang isteri Nabi SAW tinggalkan selepas Baginda wafat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

din52789@gmail.com.my

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

النَّبِيُّ أَوْلَىٰ بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ

Maksudnya:Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka.”

(Surah al-Ahzab: 6)

Ayat di atas bermaksud Nabi Muhammad SAW adalah lebih utama kepada orang-orang beriman dan lebih dekat bagi mereka berbanding diri mereka sendiri dalam urusan agama dan dunia. Begitu juga kehormatan isteri-isteri Nabi SAW atas umatnya adalah seperti kehormatan ibu-ibu mereka. Justeru, tidak boleh untuk menikahi isteri-isteri Nabi SAW sesudah Baginda wafat. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 418)

Ini jelas menunjukkan bahawa Ummahat al-Mukminin mempunyai hukum yang khusus, iaitu apabila Nabi SAW telah menikahi mereka dan bersama dengan mereka, kemudian Baginda wafat, maka isteri Baginda itu tidak boleh dinikahi oleh mana-mana lelaki lain. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لَكُمْ أَن تُؤْذُوا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا أَن تَنكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِن بَعْدِهِ أَبَدًا

Maksudnya:Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya.”

(Surah al-Ahzab: 6)

Pada asasnya, para ulama berselisih pendapat berkenaan bilangan isteri Nabi SAW, sama ada sebelas orang ataupun dua belas orang. Perselisihan ini adalah disebabkan seorang yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama, iaitu Raihanah binti Syam‘un. Namun, kami berpendapat bahawa Raihanah binti Syam‘un termasuk dalam kalangan hamba-hamba perempuan milik Rasulullah SAW dan bukannya dalam kalangan para isteri Baginda sebagaimana pendapat Ibn al-Qayyim dan ramai ulama sirah. Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #42: Raihanah; Hamba atau Isteri Nabi.[1]

Seterusnya, berbalik kepada soalan di atas, selepas Nabi SAW wafat, Baginda telah meninggalkan seramai sembilan isteri atau Ummul Mukminin yang masih hidup, iaitu Aisyah binti Abu Bakar, Saudah binti Zam‘ah, Hafsah binti Umar, Ummu Salamah binti Huzaifah, Zainah binti Jahsy, Juwairiyah binti al-Harith al-Mustaliqi, Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan, Safiyyah binti Huyai, Maimunah binti al-Harith R.Anhunna.  Manakala dua orang isteri Baginda lagi, iaitu Khadijah binti Khuwailid dan Zainab binti Khuzaimah R.Anhuma telah meninggal dunia semasa hayat Baginda SAW.

Penjelasan lanjut berkenaan biodata dan latar belakang mereka, Ummahat al-Mukminin — Isteri-isteri Rasulullah SAW, bolehlah merujuk kepada buku kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW (hlm. 278-319).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/42-raihanah-hamba-atau-isteri-nabi/. Diakses pada 3 Julai 2024.