#6224: Sejarah Kelambu Kaabah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan sejarah kelambu Kaabah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada zaman jahiliah, kelambu Kaabah tidak mempunyai reka bentuk khusus yang mesti dipatuhi oleh sesiapa yang memasangnya. Kelambu tersebut berwarna-warni dan diperbuat daripada pelbagai jenis bahan seperti kain, kulit, serta langsir yang digantung atau bantal yang dipasang. Al-Waqidi meriwayatkan daripada Ibrahim bin Abi Rabi’ah: “Kaabah ditutup dengan kain kulit pada zaman jahiliah.”

Dalam Islam, orang pertama yang menutupinya adalah Rasulullah dengan kain Yaman. Abu Bakar, Umar, Uthman, Muawiyah, dan Ibn Zubair juga melakukan perkara yang sama. Diketahui bahawa kain Yaman berjalur putih dan merah. Hajjaj pada zaman Abdul Malik bin Marwan menutupinya dengan kain sutera. Pada zaman al-Ma’mun, kelambu Kaabah ditukar tiga kali setahun: sutera merah pada hari Tarwiyah, Qubati pada awal bulan Rejab, dan sutera putih pada 27 Ramadan. Pada zaman al-Ma’mun juga, warna-warna kelambu Kaabah pertama kali disebut dengan jelas.

Orang pertama yang menutup Kaabah dengan sutera hitam ialah Khalifah al-Nasir dari Dinasti Abbasiyah (wafat 622H). Sebelum itu, beliau menutupnya dengan sutera hijau dan kemudian menutupnya dengan sutera hitam, yang berterusan hingga hari ini.

Namun, siapakah yang pertama kali menutup Kaabah? Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad bahawa Nabi Muhammad SAW melarang mencela Tubba’, Raja Himyar, dengan bersabda:

لا تَسُبُّوا تُبَّعًا؛ فإنَّه قد كان أَسلَمَ.

Maksudnya: “Jangan mencela Tubba’, kerana dia telah memeluk Islam,”

Riwayat Ahmad (2280)

Tubba’ al-Himyari adalah orang pertama yang menutup Kaabah sepenuhnya dengan kain “khasf” (الخصف)  dan kemudian dengan kain Yaman “ma’afir” (المعافير), serta kain lembut “mala” (الملاء). Beliau juga membuat pintu dan kunci untuk Kaabah. Selepas itu, para penggantinya terus menutupinya.

Terdapat riwayat daripada penulis sejarah bahawa Nabi Ismail AS adalah orang pertama yang menutup Kaabah. Generasi demi generasi selepas Ismail, Kaabah kekal, namun sejarah tentang penutupannya tidak diketahui sehinggalah zaman Adnan, datuk Nabi Muhammad SAW. Terdapat juga riwayat yang mengatakan bahawa Adnan adalah orang pertama yang menutup Kaabah.

Pada musim haji, kelambu Kaabah yang berlapis kain putih dinaikkan agar para jemaah haji dan umrah tidak memotong kain itu untuk mendapatkan kepingan kecil sebagai berkat atau kenangan.

Pada tahun 1346H – 1926M, Raja Abdul Aziz Al Saud mengeluarkan perintah diraja untuk membina kilang Umm al-Qura untuk membuat kelambu Kaabah. Beliau mengumpulkan tukang-tukang yang mahir dan pekerja yang berkemahiran tinggi. Pada tahun 1382H, dekri untuk memperbaharui kilang itu dikeluarkan. Kilang tersebut terus beroperasi hingga tahun 1977. Raja Abdul Aziz membuka lokasi baru di Umm al-Joud yang terus berkembang dengan kemajuan sains dan seni. Kilang ini terdiri daripada enam bahagian: tali pinggang, tenunan tangan, pencelupan, tenunan mesin, percetakan, dan langsir dalaman.

Dalam “Tahsil al-Maram” disebutkan: “Kelambu Kaabah kini diperbuat daripada sutera hitam dengan lapisan dalam dari kapas putih. Terdapat tali pinggang yang mengelilingi Kaabah (hizam) kira-kira 20 hasta dari tanah. Lebar tali pinggang itu dua hasta kecuali sedikit, ditulis dengan benang perak berlapis emas. Di satu sisi Kaabah terdapat ayat ‘Sesungguhnya rumah pertama yang didirikan untuk manusia’ hingga ‘Tidak memerlukan alam semesta.'”

Kiswah Kaabah ditukar pada 9 Zulhijjah ketika jemaah haji sedang berwuquf di Arafah, dan yang terkini, iaitu bermula permulaan tahun 1444 Hijrah, kiswah Kaabah ditukar pada setiap malam awal Muharram pada setiap tahun baru. Namun bermula Ia diperbuat daripada bahan mentah seperti sutera, kapas, dan benang emas serta perak. Bahan-bahan ini diubah menjadi produk yang sempurna dan nyata. Ketinggian kelambu ialah 14 meter. Di sepertiga bahagian atasnya terdapat tali pinggang yang lebarnya 95 cm dan panjangnya 47 meter, terdiri daripada 16 bahagian yang dikelilingi oleh corak Islam berbentuk segi empat. Di bawah tali pinggang terdapat ayat-ayat Al-Quran yang ditulis dalam bingkai berasingan, dan di antara bingkai-bingkai tersebut terdapat corak lampu dengan tulisan “Ya Hayyu Ya Qayyum, Ya Rahman Ya Rahim, Alhamdulillahi Rabbil Alamin.” Tali pinggang ini disulam dengan sulaman yang menonjol, ditutup dengan benang perak berlapis emas, mengelilingi seluruh Kaabah. Kelambu juga termasuk langsir pintu Kaabah, yang disebut “burqa”, diperbuat daripada sutera dengan ketinggian 6.5 meter dan lebar 3.5 meter, ditulis dengan ayat-ayat Al-Quran dan dihiasi dengan sulaman Islam yang menonjol ditutup dengan benang perak berlapis emas.

Kelambu Kaabah terdiri daripada lima bahagian, setiap bahagian menutupi satu sisi Kaabah, dan bahagian kelima adalah langsir yang diletakkan di pintu Kaabah. Bahagian-bahagian ini disambung antara satu sama lain.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-’Umrah (hlm. 441-445) menyatakan: Al-Azraqi menukilkan pendapat Ibn Juraij, katanya: Tubba’ al-Himyari ialah orang pertama yang memakaikan kelambu Kaabah dengan sempurna berdasarkan mimpinya. Lantas dipakaikannya kelambu pada Kaabah daripada kulit. Kemudian dalam mimpinya dipakaikan al-Wasa’il iaitu kain Habrah (kain yang dicelup) daripada Arab Yaman, kemudian orang-orang ramai melakukannya selepas itu pada zaman Jahiliyah.

Kemudian al-Azraqi meriwayatkan dengan pelbagai riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW memakaikan Kaabah dengan kelambu daripada kain Yaman, kemudian dipakaikan oleh Abu Bakar, Umar, Uthman, Muawiyah, Ibn al-Zubair dan mereka yang selepasnya. Sesungguhnya Umar RA telah menggunakan wang daripada Baitul Mal, dan memakaikan kaabah dengan kelambu daripada kain jenis al-Qabathi (iaitu kain putih yang halus yang dibuat oleh bangsa Qibti Mesir. Ibn al-Zubair dan Muawiyah memakaikan Kaabah dengan kelambu yang dibuat daripada dibaj (sutera).

Pada kebiasaannya, kelambu kaabah digantikan pada hari ‘Asyura. Kemudian Muawiyah menukar kelambu kaabah sebanyak dua kali di dalam setahun. Kemudian al-Ma’mun menukarkannya tiga kali setahun. Dia memakaikan dengan dibaj merah pada hari tarwiyah, dan memakaikan dengan kain jenis al-Qabathi pada hari awal Rejab dan dengan kain dibaj putih pada 27 Ramadhan. Kain kelambu berwarna putih ini dimulai oleh al-Ma’mun pada tahun 206H ketika mereka berkata: “Dibaj merah carik sebelum kelambu kedua.” Lantas beliau bertanya berkenaan yang seeloknya pada kelambu Kaabah. Diberitakan bahawa yang seeloknya ialah dibaj putih, lantas beliau melakukannya.

Al-Azraqi menukilkan bahawa Abdullah bin al-Zubair ketika mahu meruntuhkan Kaabah dan membina semula binaan yang baru telah bermesyuarat dengan orang ramai terlebih dahulu. Jabir bin Abdullah dan Ubaid bin Umair dan selainnya menyuruh supaya diruntuhkannya dan dibina semula kerana ia pernah diruntuhkan. Ibn Abbas dan selainnya pula menyuruh supaya meninggalkan kaabah dalam dalam keadaan yang asal. Namun, Ibn al-Zubair berazam untuk meruntuhkannya. Penduduk Makkah keluar ke Mina dan tinggal di sana selama tiga malam kerana takut ditimpa bala angkara meruntuhkan Kaabah. Ibn Zubair mengarahkan untuk meruntuhkannya, tetapi tiada seorang pun yang berani, tatkala melihat keadaan sedemikian, maka dia sendiri mara ke hadapan membawa sebilah kapak dan meruntuhkannya dan membuang batu-batunya. Apabila mereka melihat tiada apa-apa yang berlaku, lantas mereka ramai-ramai bersepakat meruntuhkannya.

Apabila Ibn Zubair selesai membina Kaabah dia menyiapkan dari dalam dan luarnya, dan dari atas sehingga ke bawahnya, lalu beliau memakaikan dengan al-Qabati. Katanya: “Sesiapa yang taat kepadaku hendaklah dia ke Tan’iem dan melakukan umrah dari Tan’iem. Sesiapa yang mampu menyembelih unta hendaklah dia menyembelihnya. Sesiapa yang tidak mampu, sembelihlah kambing. Sesiapa yang tidak mampu, dia hendaklah bersedekah mengikut kelapangannya. Ibn al-Zubair keluar berjalan dengan orang ramai bersamanya hingga selesai umrah dari Tan’iem sebagai kesyukuran kepada Allah SWT. Tidak pernah dilihat hari di mana ramai hamba dimerdekakan, unta dan kambing disembelih dan juga sedekah lebih banyak daripada hari tersebut. Ibn al-Zubair sendiri telah menyembelih 100 ekor unta.

Adapun menghiasi Kaabah dengan emas, Khalifah al-Walid bin Abdul Malik telah mengutus gabenornya ke Makkah iaitu Khalid bin Abdullah al-Qasri sebanyak 36 ribu dinar. Lantas dibuat pintu Kaabah dan pada bahagian mizab yang dilapisi dengan emas, dan bahagian tiang-tiangnya yang ada di dalam dan pada bahagian lubang-lubang sudut kaabah. Kesemua bahagian mizab dan sudut-sudut kaabah yang diperbuat daripada emas merupakan hasil perbuatan al-Walid. Dia merupakan orang pertama dalam Islam yang meletakkan emas pada Kaabah.

Adapun pintu yang diperbuat daripada emas hasil usaha al-Walid telah dicuri. Hal ini diadukan kepada Amirul Mukminin Muhammad bin al-Rasyid pada zaman pemerintahannya. Beliau mengutuskan kepada Salim bin al-Jarrah untuk membawa di sekitar Makkah dengan 18 ribu dinar tujuan untuk melapisi pintu kaabah dengan emas. Kemudian emas yang ada pada pintu kaabah itu di tanggalkan dan ditambah dengan 18 ribu dinar, maka dilapisi pintu kaabah itu dengan emas sebagaimana yang terdapat pada hari ini, termasuk juga dengan paku-paku lubang pintu dan atapnya. Justeru, jadilah pada pintu emas bernilai 33 ribu mithqal.

Al-Walid bin Abdul Malik juga melakukan batu marmar merah, hijau dan putih pada dalamnya sebagai penguat dan penghadang bagi dindingnya. Lantainya juga dipasang dengan batu marmar. Semua batu marmar yang ada pada Kaabah merupakan hasil perbuatan al-Walid bin Abdul Malik. Dia adalah orang pertama yang menyadurkan lantainya dengan marmar dan diperkuatkannya pada dindingnya. Dialah juga orang yang pertama menghiasi masjid-masjid pada zamannya.

Semoga penjelasan ringkas ini dapat menerangkan berkenaan sejarah berkenaan kelambu Kaabah. Wallahua’lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”