Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika ayah saya masih hidup tetapi tidak diketahui keberadaaanya , boleh ke wali berpindah kepada adik saya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Wali adalah salah satu daripada rukun pernikahan. Tanpanya, maka tidak akan berlaku sesuatu perkahwinan. Antara peranan wali adalah dengan memberi kebenaran untuk bernikah dan wali juga boleh melarang anak perempuannya itu dari berkahwin. Firman Allah SWT:
فَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحۡنَ أَزۡوَٰجَهُنَّ
Maksudnya: “Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya.”
(Surah Al-Baqarah: 232)
Daripada Ma’qil bin Yasar R.A, beliau meriwayatkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan dirinya. Dia berkata:
زَوَّجْتُ أُخْتًا لِي مِنْ رَجُلٍ فَطَلَّقَهَا، حَتَّى إِذَا انْقَضَتْ عِدَّتُـهَا جَاءَ يَـخْطُبُهَا، فَقُلْتُ لَهُ: زَوَّجْتُكَ وَفَرَشْتُكَ وَأَكْرَمْتُكَ، فَطَلَّقْتَهَا، ثُمَّ جِئْتَ تَخْطُبُهَا؟ لاَ وَاللَّهِ لاَ تَعُودُ إِلَيْكَ أَبَدًا، وَكَانَ رَجُلًا لاَ بَأْسَ بِهِ، وَكَانَتِ الْمَرْأَةُ تُرِيدُ أَنْ تَرْجِعَ إِلَيْهِ، فَأَنْزَلَ اللهُ هَذِهِ الآيَةَ: {فَلاَ تَعْضُلُوهُنَّ}، فَقُلْتُ: الآنَ أَفْعَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: فَزَوَّجَهَا إِيَّاهُ.
Maksudnya: “Aku menikahkan saudara perempuanku dengan seorang lelaki, lalu lelaki itu menceraikannya, hingga ketika ‘iddahnya telah berakhir, dia datang untuk meminangnya. Aku berkata kepadanya: “Aku menikahkanmu, menyiapkan tempat tidurmu, dan memuliakanmu, namun engkau menceraikannya, dan kemudian engkau datang meminangnya? Tidak, demi Allah, dia tidak akan kembali lagi kepadamu buat selama-lamanya.” Sedangkan lelaki itu tidak ada keburukan padanya (baik orangnya) dan si perempuan juga ingin kembali kepadanya. Lalu Allah menurunkan ayat ini: ): {فَلاَ تَعْضُلُوهُنَّ} (Maksudnya: “Janganlah kamu menahan mereka daripada berkahwin.”) [Surah al-Baqarah: 232] Aku berkata: “Sekarang aku akan melakukannya wahai Rasulullah.” Dia berkata: “Aku pun menikahkan saudara perempuanku itu dengan lelaki tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (5130) dan al-Tirmizi (2981)
Imam al-Syafi’i berkata: “Ayat ini dengan jelas menunjukkan petunjuk dalam Kitab Allah bahawa seorang wanita tidak ada kebebasan untuk menikahkan diri sendiri, dan hadith ini juga menjadi dalil bahawa perkahwinan mesti dilakukan dengan persetujuan wali bagi suami dan isteri” (Lihat Ahkam al-Quran li al-Syafi’i, 1/174)
Begitu juga, dalam hadith yang lain, sabda Nabi SAW:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا، فَإِنْ اشْتَجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ
Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya. Sekiranya mereka berselisih maka Sultan sebagai wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali.”
Riwayat al-Tarmizi (399)
Namun jika perempuan ingin berkahwin dengan seorang yang tidak sekufu dengannya, maka wali boleh menghalangnya dengan enggan mengahwinkannya dengan lelaki tersebut. Ini kerana wali mempunyai hak dalam memilih pasangan yang sekufu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/253)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam isu ini, jika seorang wanita berhasrat untuk membina rumah tangga, dia perlu mendapatkan wali untuk pernikahannya kerana pernikahan tanpa kehadiran wali adalah tidak sah dan batal. Namun, jika wali wanita tersebut masih hidup tetapi keberadaannya tidak diketahui, maka sultan atau hakim akan bertindak sebagai wali bagi wanita tersebut. Dalam konteks Malaysia, wali yang dimaksudkan adalah juru nikah yang dilantik oleh hakim.
Hal ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
السُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ
Maksudnya: “Sultan sebagai wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali.”
Riwayat Ibn Hibban (4075)
Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Ijma‘ fi Fiqh al-Islami (4/414) bahawa Sultan di sini adalah penmerintah atau Qadhi atau sesiapa yang dilantik oleh pemerintah.
Imam al-Syirazi berkata: Sekiranya tidak ada wali, kerana wali itu (berada) pada jarak yang membolehkan untuk solat qasar (dua marhalah), maka sultan yang mengahwinkan perempuan itu dan tidak boleh wali yang seterusnya (wali ab’ad) mengahwinkan kerana hak perwalian wali yang tiada (berada jauh dua marhalah) masih kekal. Oleh itu, sekiranya wali hakim mengahwinkan perempuan itu yang menggantikan tempat wali nasab, maka sah aqad tersebut. Hal ini kerana ada keuzuran daripada wali nasab maka sultan mengambil tempatnya (menjadi wali). (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Syafi’i, 2/429)
Begitu juga Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa : Jika wali yang paling dekat tidak hadir, maka perlu dilihat keadaannya. Jika dia hilang tanpa diketahui tempatnya, hidup atau matinya, maka sultan akan menikahkan perempuan tersebut kerana tidak mungkin menikahkannya dari pihak wali yang hilang. Jika keadaan tersebut berlanjutan sehingga hakim memutuskan bahawa wali tersebut dianggap telah mati dan hartanya dibahagikan antara waris-warisnya – sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hukum faraid – maka wali beralih kepada yang lebih jauh. Jika tempat wali yang ghaib diketahui, dan jika dia berada pada jarak safar (perjalanan), maka sultan akan menikahkan perempuan tersebut, dan tidak boleh wali yang lebih jauh menikahkannya. (Lihat Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 7/69)
Justeru berdasarkan perbincangan yang telah dijelaskan sebelum ini, dalam situasi di mana seorang wanita ingin membina rumah tangga tetapi keberadaan walinya tidak diketahui, beliau boleh membuat permohonan kepada wali hakim untuk menikahkannya. Dalam konteks ini, perpindahan kepada wali ab’ad tidak dibenarkan kerana wali aqrab masih dianggap hidup. Justeru, wali hakim akan mengambil alih peranan wali aqrab dalam situasi ini.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan:74)
Wallahua‘lam.