#623: Ucapan Takziah Yang Sebenar

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah cara yang sebenar mengucapkan takziah? Adakah cukup dengan mengucap “Takziah” sahaja ataupun terdapat ucapan yang jelas yang menggambarkan ucapan takziah tersebut? Mohon Pencerahan

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Takziah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pernyataan turut bersedih dan berdukacita.

Dari sudut definisi, takziah bermaksud: ‘’Memberikan ketenangan kepada keluarga si mati, dan menggalakkan mereka untuk bersabar dengan jaminan pahala (terhadap perbuatan tersebut), serta mendoakan jenazah si mati yang beragama Islam dan juga doa kepada mereka yang ditimpa musibah’’.

Secara umumnya, hukum takziah di dalam Islam adalah sunat yang dituntut. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu ‘Umarah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ الْكَرَامَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya disebabkan suatu musibah melainkan Allah S.W.T akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak.

Riwayat Ibn Majah (1601)

Imam Al-Sindi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: Takziah kepada saudaranya adalah dengan cara menyuruhnya supaya bersabar. Seperti ucapan ‘’semoga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada kamu’’ dan seumpamanya. (Lihat Hasyiyah Al-Sindi ‘ala Ibn Majah, 1/486)

Lafaz Ucapan Takziah

Takziah di dalam Islam bertujuan untuk mengembirakan dan menghiburkan orang yang ditimpa musibah dan menguatkannya daripada musibah yang sedang dialaminya. Al Musob (المصاب) adalah semua orang yang ditimpa musibah dengan musibah keburukan, baik kerana kehilangan orang yang dicintai, keluarga, atau harta. Maka orang yang terkena musibah perlu dipujuk dengan baik oleh keluarganya, kawan-kawannya, atau jiran-jirannya.

Cara memujuk dan menggembirakan mereka yang terbaik adalah sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada daripada Usamah bin Zaid R.Anhuma, katanya: Ketika kami sedang bersama Nabi SAW, datang seorang utusan daripada salah seorang anak perempuan Baginda yang memanggilnya untuk datang kepada anaknya (cucu Baginda) yang hampir meninggal. Maka Nabi SAW bersabda kepadanya:

ارْجِعْ إِلَيْهَا فَأَخْبِرْهَا أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

Maksudnya:Kembalilah kepada dia dan beritahulah dia bahawasanya kepunyaan Allahlah semua yang Dia ambil dan apa yang Dia beri, dan segala sesuatu di sisi-Nya telah ditentukan tempoh waktunya. Maka perintahkanlah agar hendaklah dia bersabar dan mengharapkan pahala.”

Kemudian anak perempuan Baginda menghantar semula utusan itu kepada Baginda dan memberitahu bahawa dia (anak perempuan Baginda) bersumpah agar Baginda datang kepadanya. Maka Nabi SAW berdiri dan diikuti oleh Sa‘d bin ‘Ubadah dan Mu‘az bin Jabal (lalu pergi kepadanya). Apabila anak itu dibawakan kepada Baginda, nafas di dadanya berombak seolah-olah sedang berada di dalam bekas air. Kemudian air matanya berlinangan. Lalu Sa‘d berkata: “Apakah ini wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:

هَذِهِ رَحْمَةٌ جَعَلَهَا اللَّهُ فِي قُلُوبِ عِبَادِهِ، وَإِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

Maksudnya: “Ini adalah sifat kasih sayang yang Allah telah jadikan di dalam hati para hamba-Nya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-Nya yang pengasih.”

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin pernah ditanya mengenai perincian takziyah ini, makan beliau menjawab: “Bentuk takziah yang paling baik adalah tazkiah yang dilakukan Nabi SAW kepada salah seorang anak perempuan baginda yang menghantar seseorang kepada baginda agar mendatangi cucu baginda yang wafat, maka baginda SAW bersabda kepada utusan tersebut:

مُرْهاَ فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ ، فَإِنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ ، وَلَهُ مَا أَبْقَى ، وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمَّى

Maksudnya:Perintahkan dia untuk bersabar dan mengharap pahala,  hak Allah untuk mengambil dan hak Allah untuk membiarkan. Segala sesuatu di sisi-Nya ada batas ajalnya”

Adapun dalam masyarakat kami, terkenal dengan ucapan takziah sebagaimana ucapan ini:

عَظَّمَ اللهُ أَجْرَكَ ، وَأَحْسَنَ اللهُ عَزَاءَكَ ، وَغَفَرَ اللهُ لِمَيِّتِكَ

Maksudnya: “Semoga Allah membesarkan pahalamu, dan semoga Allah menghiburkanmu, dan semoga Allah mengampuni jenazah (keluarga) mu”.

Ini merupakan ucapan yang telah dipilih oleh sebahagian para ulama, namun apa yang terdapat di dalam sunnah adalah lebih utama dan lebih baik”. (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Uthaimin, 17/339)

Waktu Ucapan takziah

Takziah boleh dilakukan seawal seseorang itu ditimpa musibah sehingga dia melupakn musibah tersebut. Ia juga boleh diucapkan setelah jenazah dikebumikan atau sebelumnya. Jika seseorang bertakziah kepada keluarga jenazah sebelum atau selepas dikebumikan, atau sebelum dimandikan, ataupun sebelum disolatkan, maka hal itu tidak ada masalah padanya dan tujuannya sudah tercapai.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyatakan lagi: “Waktu takziah diucapkan seawal jenazah meninggal dunia, atau setelah terjadi musibah. Jika takziah bukan kerana kematian maka waktu diucapkan ialah sehingga orang yang terkena musibah melupakan musibah daripada fikiran mereka. Hal ini kerana tujuan takziah itu bukan untuk menjadikan musibah itu selamat, akan tetapi tujuannya adalah menguatkan (jiwa) orang yang terkena musibah dalam menanggung musibah ini dan mengharapkan pahala”. (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Uthaimin, 17/240)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan tatacara mengucapkan takziah ini terdapat padanya keluasan. Seseorang itu boleh sahaja mengucapkan takziah di hadapan mereka yang ditimpa musibah itu dengan lafaz yang boleh memberikan kekuatan jiwa kepada orang yang terkena musibah dalam menanggung musibah dan mengharapkan pahala daripada musibah yang menimpa mereka seperti ucapan, “Sabarlah, semoga Allah SWT memberikan kamu pahala yang besar dan ganti yang lebih baik” ataupun seumpamanya.

Namun begitu, ucapan takziah yang paling terbaik adalah sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW:

إنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

Maksudnya:’Sesungguhnya bagi Allah SWT apa yang Dia ambil dan milik-Nya jualah apa yang Dia berikan. Kesemuanya terdapat ajal (tempoh masa) yang tertentu di sisi-Nya’. Maka bersabarlah nescaya kamu akan mendapat ganjaran’’.

Demikian juga boleh bagi seseorang itu untuk mewakilkan orang lain bagi menyampaikan takziah kepada orang yang ditimpa musibah bagi pihaknya seperti yang berlaku dalam hadith Usamah RA di atas apabila Rasulullah SAW menghantar wakil untuk mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa anak perempuannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H