#6231: Al-Maturidiyyah (الماتريدية)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan golongan al-Maturidiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di sebelah timur negara Islam, iaitu di suatu daerah bernama Maturid di wilayah Samarkand, lahir seorang ulama’ yang bernama Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi. Beliau dilahirkan pada tahun 332 Hijrah.

Beliau membawa suatu aliran fikrah dalam kalangan mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah bagi mempertahankan hujah dalam menghadapi beberapa penyelewengan pada zaman tersebut. Beliau ialah seorang ulama’ dalam mazhab Hanafi.

Tarikh lahirnya tidak dapat dipastikan dengan tepat tetapi kemungkinan di sekitar pertengahan abad ke-3. Kemungkinan beliau dilahirkan sekitar tahun 256H.[1] Kemungkinan juga beliau dilahirkan pada tahun 238 H berdasarkan perkiraan bahawa ketika gurunya, Muhammad bin Muqatil al-Razi wafat pada tahun 248H, al-Maturidi berusia 10 tahun. Sekiranya benar, ini bererti beliau mempunyai usia yang panjang, lebih kurang 95 tahun kerana beliau wafat pada tahun 333H di Samarqand. (Lihat Tarikh Mazahib al-Islamiyyah, hlm. 207)

Antara guru-guru bermazhab al-Hanafi yang mengajarnya ialah Muhammad bin Muqatil al-Razi, Abu Bakr Ahmad bin Ishaq al-Juzjani, Abu Nasr Ahmad b. al-Abbas al-Iyadi yang lebih dikenali al-Faqih al-Samarqandi dan Nusair bin Yahya al-Balkhi. Semuanya merupakan murid-murid Abu Hanifah. (Lihat Isyarat al-Maram oleh al-Bayadi, hlm. 23)

Beliau muncul di Asia Tengah pada zaman yang dilanda oleh aliran fikrah yang menyeleweng daripada aqidah yang benar. Ketika itu, timbulnya fahaman Mu’tazilah, Mujassimah, Karramiyyah (dipimpin oleh Muhammad bin Karram al- Sijistani), Qaramitah (dipimpin oleh Hamdan bin al-Ash’ath), Jahmiyyah (dipimpin oleh Jahm bin Safwan), dan ahli tasawuf al-Husain bin Mansur al-Hallaj. Imam Abu Mansur al-Maturidi RH telah memberikan peranan yang besar dalam menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.

Walaupun beliau sezaman dengan Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari, beliau mempunyai cara berhujah dan pengolahan yang lain. Para ulama’ menyatakan bahawa Imam Abu Mansur al-Maturidi lebih cenderung kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara aqidah. Perkara ini ternyata apabila dirujuk kepada risalah-risalah dan kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Abu Hanifah seperti al-Fiqh al-Akbar, al-Fiqh al-Absat, al-‘Alim wa al-Muta’allim, dan sebagainya.

Di sana, terdapat beberapa kekhilafan antara Abu Mansur al-Maturidi dengan Abu al-Hasan al-Ash’ari, antaranya adalah dalam perkara makrifatullah (mengenal Allah). Abu al-Hasan menyatakan wajib menurut syara’, tetapi Abu Mansur berpendapat bahawa wajibnya didapati juga berpandu dengan akal di samping sifat-sifat ma’ani.

Mazhab Maturidiyyah mewajibkan hukum akal di samping syara’ sehingga beliau berkhilaf dengan sesetengah ulama’ fiqh dan hadis. Selain itu, terdapat lagi huraian- huraiannya berhubung dengan qada, qadar, dan lain-lain yang berbeza dengan huraian mazhab Asha’irah.

Abu Mansur al-Maturidi telah meninggalkan pusaka ilmu yang banyak di samping membela mazhab Ahli al-Sunnah dalam menghadapi pelbagai mazhab yang menyeleweng. Antara pusaka ilmunya ialah murid-murid yang ramai dan pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara muridnya ialah:

  • Abu al-Qasim Ishaq bin Muhammad bin Isma’il al-Hakim al-Samarqandi
  • Al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Karim bin Musa al-Bazdawi
  • Abu Ahmad al-‘Iyad al-Hakim al-Samarqandi
  • Abu al-Hasan al-Rastaghfani
  • Abu ‘Ismah bin Abi al-Laith al-Bukhari, dan lain-lain.

Adapun pengikut-pengikut yang meneruskan alirannya, antara mereka ialah:

  • Sadr al-Islam Abu al-Yusr bin Muhammad bin ‘Abd al- Karim al-Bazdawi
  • Abu al-Mu’in Maimun bin Muhammad al-Nasafi (dianggap tokoh ulama’ terbesar dalam mazhab ini selepas Abu Mansur, sehingga dianggap taifahnya seperti al-Shahrastani dalam mazhab Asha’irah)
  • Najmuddin Abu Hafs al-Samarqandi al-Nasafi
  • Nuruddin Ahmad bin Muhammad al-Sobuni
  • Al-Kamal bin al-Humam (ulama’ terbilang dalam mazhab Hanafi), dan lain-lain.

Adapun kitab-kitab yang dikarang oleh Abu Mansur al- Maturidi, antaranya ialah:

  1. Ilmu aqidah atau Ilmu Kalam:
  • Kitab al-Tauhid
  • Kitab al-Maqalat
  • Kitab al-Usul (dikenali dengan nama Usul al-Din, al-Usul fi Usul al-Din, dan al-Durar fi Usul al-Din)
  • Al-Radd ‘ala Usul al-Qaramitah
  • Al-Radd ‘ala Furu’ al-Qaramitah
  • Radd al-Usul al-Khamsah li Abi Muhammad al-Bahili
  • Radd Awa’il al-Adillah li al-Ka’bi (dikenali dengan nama Kitab Radd Ahl al-Adillah)
  • Radd Tahzib al-Jadal li al-Ka’bi (dikenali dengan nama al-Radd ‘ala Tahzib al-Ka’bi fi al-Jadal)
  • Radd Wa’id al-Fussaq (dikenali dengan nama Radd Kitab al-Ka’bi fi Wa’id al-Fussaq)
  • Radd Kitab al-Imamah li Ba’d al-Rawafiq (dikenali dengan nama Kitab Radd al-Imamah li Ba’d al- Rawafid)
  • Bayan Wahm al-Mu’tazilah (dikenali dengan nama Kitab Bayan Auham al-Mu’tazilah)
  1. Ilmu Usul al-Fiqh:
  • Kitab al-Jadal
  • Ma’akhiz al-Shara’i’
  1. Ilmu Tafsir dan ‘Ulum al-Quran:
  • Risalah fi Ma La Yajuz al-Waqf ‘alaih fi al-Qur’an
  • Ta’wilat al-Qur’an (dikenali dengan nama Ta’wilat Ahl al-Sunnah)

Seterusnya, perlu disedari bahawa Abu Mansur al- Maturidi juga seperti Abu al-Hasan al-Ash’ari yang telah membawa satu tajdid dalam pengajian aqidah Islamiah. Hal ini demikian kerana, mereka memasukkan hujah aqliah ketika menghadapi perkembangan yang telah menimbulkan pelbagai fahaman baharu pada zamannya. Sedangkan, pada zaman para sahabat dan generasi awal dalam kalangan tabiin, termasuk juga imam-imam mujtahidin yang pertama lebih bergantung kepada hujah-hujah naqliah daripada al-Quran al-Karim dan Hadis Rasulullah SAW sahaja.  (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, hlm. 43-46)

Semoga Allah SWT merahmati Syeikh Abu Mansur al-Maturidi dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Nota Hujung:

[1] Lihat: The Formative Period of Islamic Thought, Univ. Press Edinburgh, h.312