#6232: Status Jamak Qasar: 2 Tempat Kerja

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada kemusykilan berkenaan Jamak dan Qasar. Sekiranya saya musafir dari rumah, ke 2 tempat kerja yang berlainan. Bolehkah saya jamak dan qasar di dua2 tempat tersebut. Contoh saya gerak ke tempat kerja yang pertama jarak lebih 90km selama 3 hari menetap di situ. Selepas tu, dari tempat kerja pertama ke tempat kerja kedua pun jarak lebih 90km dan menetap di situ selama 3 hari juga. Saya dapatkah rukhsah tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk anda melakukan jamak qasar kerana menepati syarat-syarat untuk melaksanakannya seperti melebihi 2 marhalah, dalam musafir dan tidak melebihi empat hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang). Maka, tiada masalah untuk anda menjamak qasarkan solat di kedua-dua tempat kerja anda.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)