#6233: Membaca al-Quran Sambil Berlunjur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum baca al-quran duduk dan sambil kaki lunjur ke depan Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan).”

(Surah al-Waqi’ah: 77)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya  mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”

Riwayat Muslim (817), Ibn Majah (218) dan Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin, hlm. 581)

Tiada perbezaan di kalangan ulama tentang kewajipan memuliakan al-Quran. Hal ini telah disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’: Ulama bersepakat hukum menjaga mushaf dan memuliakannya adalah wajib. (Lihat al-Majmu’, 2/85)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa, adalah penting bagi kita sebagai umat islam menitik beratkan soal adab ketika ingin mengerjakan sesuatu ibadah kepada Allah SWT seperti membaca al-Quran. Ini kerana kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk mengagung dan memuliakan kalam Allah yang suci. Allah SWT berfirman:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.”

(Surah al-Hajj:32)

Berdasarkan ayat ini, kita dapat memahami bahwa dari sudut pandang Islam, al-Quran bukan hanya kitab suci yang menyajikan ajaran dan petunjuk hidup, tetapi juga merupakan lambang agama yang harus dimuliakan dan dihormati oleh setiap Muslim.

Tiada perbezaan di kalangan ulama tentang kewajipan memuliakan al-Quran. Hal ini telah disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’: Ulama bersepakat hukum menjaga mushaf dan memuliakannya adalah wajib. (Lihat al-Majmu’, 2/85)

Antara adab ketika membaca al-Quran adalah dengan menghadap kiblat dan duduk dengan penuh kekhusyukan serta memberikan sepenuh perhatian terhadap bacaan  al-Quran.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam Fath al-Rahman fi Bayan Hijr al-Quran (hlm.100): disunatkan bagi pembaca yang membaca al-Quran di luar solat untuk menghadap kiblat dan duduk dengan penuh khusyuk serta tenang, inilah yang paling sempurna. Namun, jika dia membaca sambil berdiri, berbaring, di atas katil, atau dalam keadaan lain, ia dibolehkan dan dia tetap mendapat pahala tetapi kurang daripada yang pertama.

Justeru dalam isu ini, tidak menjadi satu kesalahan atau dosa bagi seseorang yang membaca al-Quran dalam keadaan duduk berlunjur. Namun, meninggalkannya adalah lebih afdhal sebagai menjaga adab dan kesopanan ketika membaca al-Quran melainkan terdapat keuzuran yang mungkin menghalang seseorang daripada bersila termasuklah masalah kesihatan seperti sakit belakang, sakit lutut, atau sebarang keadaan fizikal yang menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan apabila duduk bersila. Oleh itu, dalam keadaan-keadaan ini, membaca al-Quran dalam posisi yang lebih selesa seperti berlunjur adalah dibenarkan dan tidak mengurangkan pahala bacaan al-Quran tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahu a’lam.